fbpx

Biro Pendidikan HALUAN Melawat Sabah

Biro Pendidikan HALUAN Melawat Sabah

Biro Pendidikan HALUAN Melawat Sabah

KUNAK, SABAH 24 Feb 2014 – Biro Pendidikan telah berpeluang mengadakan lawatan empat hari ke Kunak, Sabah bermula 13 Februari lepas untuk meninjau perlaksanaan Kelas Bimbingan Insan (KBI) yang merupakan salah satu program Pusat Pembangunan Minda Insan(PPMI), sebuah program kerjasama di antara HALUAN dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW/EPU).

Tujuan utama lawatan ke Kunak adalah untuk berbincang dengan Biro Pendidikan Negeri Sabah berkaitan isu pendidikan kaum Bajau Laut, perlaksanaan program Kelas Bimbingan Insan, perancangan jangka panjang Biro Pendidikan Negeri Sabah dan bentuk kerjasama yang diperlukan daripada Biro Pendidikan.

Biro Pendidikan juga berpeluang meninjau kawasan KBI di sekitar Kunak di samping mengendalikan kursus untuk tenaga pengajar Kelas Bimgan Insan di sekitar daerah Lahad Datu, Kunak dan Semporna. Kursus tersebut telah diadakan di Kelas Bimbingan Insan Kampung Kabog, Kunak pada 15 Februari.

Seramai 32 orang peserta telah menghadiri kursus asas perguruan tersebut. Para peserta terdiri daripada 23 orang tenaga pengajar Kelas Bimbingan Insan yang bertugas di Kampung Tagupi, Kampung Pamanhutan, Kampung Kabog, Pulau Tandoan, Pulau Mabul dan Pulau Bum Bum. Kursus ini turut dihadiri oleh sembilan orang pelajar khassah Maahad At-Tarbiyah al Islamiyah(MATRI), Perlis yang sedang mengadakan program khidmat masyarakat di sekitar kawasan tersebut.

Tiga orang penceramah yang terlibat dalam pengendalian kursus tersebut adalah Encik Mohd Asri Abd Hamid, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim; Encik Mohamad Ritzuan Baharin, Ketua Biro Pendidikan; dan Encik Abdul Manaf Hashim, Guru Besar Sekolah Rendah Ummi, Alor Setar.

Ceramah pertama bertajuk Guru Sebagai Tugas Mulia telah disampaikan oleh Encik Mohd Asri; diikuti oleh Tanggungjawab Guru oleh Encik Mohamad Ritzuan. Tajuk Kualiti Guru pula disampaikan oleh Encik Abdul Manaf. Dalam masa yang sama Pengerusi Kelab Guru HALUAN, Encik Shamjudin Romani telah mengadakan perjumpaan bersama ahli-ahli Kelab Guru HALUAN Sabah untuk membuat penyelarasan aktiviti sepanjang tahun 2014 di samping perkongsian pengalaman memberi khidmat sosial kepada sekolah-sekolah di sekitar kawasan berdekatan.

Pada sebelah petangnya telah diadakan perbincangan khusus bersama Jawatankuasa Pelaksana KBI bagi menentukan halatuju KBI, merekabentuk kurikulum, bentuk kursus yang diperlukan oleh tenaga pengajar dan pelan tindakan untuk jangkamasa terdekat.

Encik Mohd Ahad Abdul Laja, Ketua Biro Pendidikan Cawangan Negeri Sabah mengharapkan Biro Pendidikan dapat mengadakan kursus lanjutan kepada para peserta kerana mereka adalah penduduk tempatan yang belum pernah mendapat pendedahan kursus asas perguruan.

Laporan oleh Mohamad Ritzuan Baharin, Ketua Biro Pendidikan.