fbpx

Aktivis HALUAN Johor Promosikan IPT Angkat

Aktivis HALUAN Johor Promosikan IPT Angkat

Aktivis HALUAN Johor Promosikan IPT Angkat

JOHOR BAHRU, 5 Mei 2014 – Demi melatih sukarelawan muda untuk tampil ke medan amali masyarakat, HALUAN Malaysia cawangan Johor telah melaksanakan projek mempromosikan beberapa kolej angkat HALUAN bersempena dengan Karnival IKIMfm di Plaza Angsana dari 25-27 April lepas.

Antara lain, projek tersebut bertujuan menggembleng tenaga muda sukarelawan HALUAN untuk berlatih berinteraksi dengan masyarakat awam selain mempromosikan dua buah institusi pengajian tinggi angkatnya iaitu Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) di Kota Bahru, Kelantan dan Insititut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) di Kangar, Perlis.

“Kita dalam proses memasyarakatkan HALUAN. Selain memperkenalkan diri kita kepada masyarakat di JB ini, kita juga ingin menarik perhatian para lepasan SPM,STPM dan STAM untuk terokai bidang-bidang pengajian deeniyah mahupun teknologi dan pengurusan perniagaan di dua buah IPT tersebut, yang menitikberatkan pembentukan sahsiyah Islamiyah di samping meraih kecemerlangan akademik,” berkata Encik Kamdani Masturi selaku Ketua Pemasaran KTD di Johor.

KTD misalnya adalah di antara kolej swasta yang cemerlang dalam melaksanakan program franchise pendidikan tinggi di antaranya daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Di samping itu, graduannya berpeluang melanjutkan pelajaran mereka ke beberapa buah unversiti luar negara termasuklah Teesside University, Southhampton Solent University, The University of Winchester, dan Griffith College Dublin. Sementara itu, IPTIPs pula menawarkan kursus-kursus diploma dalam bidang Al-Quran dan Hadith, Usuludeen, Syariah dan Kewangan Islam.

HALUAN Johor telah membuka gerai promosinya di karnival tersebut untuk membantu mempromosikan dua buah kolej angkatnya yang cemerlang itu.

Encik Kamdani menyifatkan pameran ini sebagai langkah alternatif mendapatkan pelajar selain promosi yang di buat di sekolah-sekolah melalui Unit Kaunseling. Tenaga pemuda juga dapat dimanfaatkan dalam aktiviti sebegini, tambah beliau. Secara umumnya, gerak kerja yang dilaksanakan itu dapat memberi pendedahan kepada anggota HALUAN dalam kerja-kerja luaran melibatkan masyarakat di samping menggerakkan tenaga pemuda untuk mempelbagaikan lagi aktiviti pemasaran IPTS yang ada.

Laporan Mohd Khairy Abd Jaafar, HALUAN Cawangan Johor