fbpx

Alumni HiMEGA BBQ di Pantai Sri Chap

Alumni HiMEGA BBQ di Pantai Sri Chap

Alumni HiMEGA BBQ di Pantai Sri Chap

KOTA BHARU, 12 Mei 2014 – HALUAN Cawangan Kelantan telah menganjurkan program Tautan Hati siri ke-12 selama dua hari bermula Jumaat 9 Mei di Pantai Sri Chap, Bachok. Program santai ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta lepasan Program Hijrah Menara Gading (HiMEGA). Peserta terdiri daripada 30 orang lelaki dan 30 orang perempuan.

HiMEGA merupakan program tahunan HALUAN yang mensasarkan kepada lepasan SPM sebagai mempersiapkan mereka untuk memasuki alam kampus. HiMEGA yang lalu yang telah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dihadiri hampir 400 peserta dari seluruh negara. Empat puluh orang daripada kalangan peserta adalah dari negeri Kelantan.

Objektif program adalah untuk mengumpulkan para lepasan HiMEGA baru-baru ini untuk saling bertaaruf dan mengeratkan ukhuwah. Selain itu, ia juga adalah sebagai proses untuk mewujudkan suasana yang baik serta mendidik dalam kalangan lepasan HiMEGA yang masih bercuti buat masa ini. Pengarah program Tautan Hati, Encik Ahmad Akram Solihin Zakaria dalam ucapan beliau berkata, “Sebagai remaja Islam, kita harus sentiasa mendekatkan diri kita dengan suasana yang mendidik jiwa, iaitu suasana didikan Islam, kerana hanya dengannya kita akan menjadi remaja muslim yang lebih baik dan produktif.”

Aktiviti kemuncak adalah pada sebelah malamnya iaitu BBQ yang turut dimeriahkan oleh ahli-ahli HALUAN Kelantan. Turut hadir adalah Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman. Antara lain, beliau berkata , “sebagai manusia, kita wajib untuk sentiasa melihat segala yang ada dengan pandangan agama dan hanya mengharapkan redha Allah SWT.”

Pada hari kedua, peserta diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti pantai yang bermula selepas subuh hingga jam 8 pagi. Usai bersarapan, peserta mengikuti perkongsian pengalaman belajar di Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) oleh Encik Jumat Mat Salleh seorang bekas graduan KTD.

Majlis penutup telah disampaikan oleh Dr. Zulkifli , Penasihat Program Tautan Hati. Beliau menegaskan bahawa zaman persekolahan telah tamat dan peserta harus siap-siaga untuk memasuki fasa baru dalam pembelajaran. Oleh itu, remaja memerlukan bimbingan yang baik, kerana bimbang dipengaruhi unsur luar yang merosakkan.

Kolej Teknologi Darul Naim (KTD) merupakan kolej angkat HALUAN. KTD memberi keutamaan kepada kecemerlangan akademik tanpa mengabaikan pendidikan akhlak. Pendidikan seimbang itu boleh menjadikan graduan sebagai manusia yang sedar tentang tanggungjawabnya terhadap Allah dan masyarakat. Pendaftaran dibuka sekarang, layari http://www.ktd.edu.my/

Laporan oleh Fatin ‘Aliah Rusli