fbpx

7 Lulus Ujian Radio Amatur

7 Lulus Ujian Radio Amatur

7 Lulus Ujian Radio Amatur

BANDAR BARU BANGI, 17 Nov 2015 — Seramai tujuh orang relawan HALUAN telah lulus ujian tahap pertama sebagai pengguna radio amatur atau pun ham radio, enam bulan setelah mereka menjalani kursus asas untuk tujuan tersebut di Ibu Pejabat HALUAN di sini.

Mereka adalah kumpulan pertama dalam sejarah NGO ini yang berjaya lulus ujian bertulis yang melayakkan mereka memiliki lesen radio amatur serta peralatan perhubungan elektronik untuk tujuan khidmat masyarakat.

Menurut Ketua Biro Penerangan HALUAN, Encik Khairul Azman Ahmad Abkari, usaha sulung biro berkenaan selaku penganjur program telah mula menampakkan hasil dengan kumpulan pertama lulusan tersebut.

“Saya difahamkan bahawa mereka sedang mendaftarkan diri dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengawalselia semua urusan pendaftaran, perlesenan serta penjagaan spektrum jalurlebar dalam negara,” jelas beliau kepada mediaHaluan.

Langkah tersebut perlu untuk membolehkan relawan HALUAN yang telah lulus untuk memperolehi “call sign” ataupun petanda panggilan unik untuk diri masing-masing yang perlu mereka gunakan ketika berhubung melalui alat radio amatur masing-masing.

“Ini bermakna HALUAN telah maju setapak lagi dalam urusan perhubungan elektronik sekaligus menaiktarafkan sistem bantuan misi kemanusiaan dan perhubungan kami. Syabas saya ucapkan kepada kumpulan perintis ini yang telah diketuai oleh koordinator latihan, Dr Samsul Bahari Mohd Noor,” katanya lagi.

Di antara relawan yang kini dilesenkan adalah daripada Biro Penerangan sendiri, Biro Misi Kemanusiaan, Biro HALUAN Palestin, Biro Relawan serta Biro Kebajikan. Sasaran utama HALUAN adalah biro-biro yang sentiasa hampir dengan masyarakat. Musim tengkujuh yang mulai tiba sekarang akan menjadi medan pertama untuk para relawan ini bergiat menyantuni masyarakat berasaskan moto HALUAN iaitu Berakhlak, Mendidik dan Berbakti.

Radio amatur atau ham radio adalah penggunaan frekuensi spektrum radio yang ditetapkan oleh Suruhanjaya berkenaan untuk tujuan rekreasi swasta, pertukaran mesej bukan komersial, uji kaji wayarles, latihan diri dan komunikasi kecemasan. Istilah “amatur” digunakan untuk mentakrifkan orang yang telah diberikan kuasa yang berminat dalam amalan radioelektrik dengan tujuan semata-mata peribadi dan tanpa motif kewangan.

Frekuensinya berbeza daripada penyiaran radio komersial, keselamatan awam seperti polis dan bomba, atau perkhidmatan radio dua hala profesional seperti penguatkuasaan maritim, penerbangan, teksi, dan lain-lain.

Layari berita sebelumnya di http://www.haluan.org.my/v5/berita-haluan/86-haluan-pusat/2134-relawan-bergiat-kuasai-ham-radio


Laporan oleh Muhammad Zakiran Mahmud, Setiausaha Kerja Biro Penerangan HALUAN