fbpx

Solidariti: Presiden HALUAN Rayu Masyarakat Bantu Palestin

Solidariti: Presiden HALUAN Rayu Masyarakat Bantu Palestin

Solidariti: Presiden HALUAN Rayu Masyarakat Bantu Palestin

ISTANBUL, 8 Okt 2023 — Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, merayu semua ahli HALUAN dan masyarakat Malaysia umumnya menzahirkan solidariti membantah keganasan berterusan rejim zionis terhadap penduduk Palestin.

Semalam, pejuang Palestin di Gaza melancarkan serangan mengejut “Taufan al-Aqsa” ke wilayah yang dijajah di kawasan sempadan Gaza, mengakibatkan jumlah kematian dan kecederaan yang sangat besar di pihak tentera zionis dan pendatang Yahudi. Serangan dibuat setelah tentera zionis dan pendatang Yahudi secara beterusan tidak mengendahkan amaran menghentikan pencabulan ke atas Masjid al-Aqsa dan penduduk Palestin di Tebing Barat serta Kota Baitul Maqdis.

Lebih 50 pengkalan tentera zionis diserang secara serentak, sehinggakan pengkalan di Re’im yang merupakan ibu pejabat Bahagian Operasi Gaza tentera zionis, berjaya dirampas. Dilaporkan lebih 5,000 roket dilancarkan ke dalam wilayah yang dijajah, termasuk kota Tel Aviv.

Susulan serangan itu, tentera zionis melancarkan serangan balas ke atas penduduk Gaza dengan menyasarkan Hospital Indonesia di Beit Hanoun, dan juga kawasan berpenduduk padat di Kota Gaza. Lebih 250 penduduk Gaza terbunuh, sementara lebih 1,500 buah rumah dan bangunan apartmen tinggi termasuk Al-Watan Tower dan Palestine Tower di Kota Gaza musnah ranap sama sekali.

Pemimpin zionis, Benjamin Netanyahu, dalam kenyataannya berikrar akan meneruskan serangan secara habis-habisan sehingga Gaza menjadi sebuah “pulau yang ditinggalkan”.

Dr. Abdullah Sudin, yang sedang dalam kunjungan kerja di Istanbul, menyertai demonstrasi bersama masyarakat Turki membantah kejahatan rejim zionis yang berterusan ke atas Gaza dan wilayah Palestin yang lainnya, sehingga mencetus pergolakan yang tidak henti.

Saya merayu ahli HALUAN dan seluruh masyarakat Malaysia serta umat Islam umumnya, untuk menzahirkan solidariti bersama penduduk Palestin dan mempertahankan Masjid al-Aqsa,” seru beliau semasa berada dalam Masjid al-Fateh di Istanbul.

Dr. Abdullah Sudin juga melancarkan kempen Gaza Emergency Appeal bagi memudahkan rakyat Malaysia membantu penduduk Gaza di saat genting ini. HALUAN akan menyalurkan bantuan kecemasan yang lazimnya diperlukan seperti penginapan, perubatan, makanan dan pakaian, serta rawatan psikologi.

Anda boleh turut menyumbang secara dalam talian di capaian berikut:

https://www.haluan.org.my/donations/gaza-emergency-appeal-2023/


Laporan Ketua Biro HALUAN Palestin

Ustaz Mohammad Umar Aiman Osman, di Istanbul.