fbpx

Ride Pray For Syria Melabuhkan Tirai

Ride Pray For Syria Melabuhkan Tirai

Ride Pray For Syria Melabuhkan Tirai

PERMATANG PAUH, 13 Mac 2014 – Program Ride Pray For Syria (RP4S) yang berlangsung sejak 9 November 2013 akhirnya melabuh tirai di Politeknik Seberang Perai hari ini.


Program kerjasama di antara Kumpulan Northern Versys Owners Group (NVOG) dan HALUAN ini bertujuan untuk mengumpul dana bantuan kepada mangsa peperangan di Syria yang masih berlanjutan sejak hampir tiga tahun lalu. Di samping itu, program ini juga dapat memberi kesedaran dan khabar terkini kepada masyarakat awam tentang apa yang sedang berlaku di Syria.

Majlis penutup RP4S menyaksikan penglibatan wakil beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) zon utara. Kehadiran seorang wakil rakyat Syria, Syeikh Jaqmiri Mohammad Ghasan, dalam majlis tersebut telah memberi semangat dan perangsang kepada semua pihak terbabit menjayakan RP4S untuk terus prihatin terhadap apa yang berlaku di sana, sungguhpun program ini sudah berakhir.

Wakil Biro Misi Kemanusiaan HALUAN, En Jamil Muda, dalam ucapan penghargaannya menyeru semua wakil IPT dan juga pelajar Politeknik Seberang Perai supaya bekerjasama membina budaya dan semangat prihatin terhadap isu kemanusiaan. Beliau turut menyampaikan maklumat projek bantuan terkini yang dilaksanakan oleh HALUAN di kem-kem pelarian di sempadan Syria, Jordan dan Turki. “Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menyebarkan kesedaran tentang apa yang berlaku ke atas rakyat Syria kepada masyarakat,” seru beliau.

Turut menyerikan majlis adalah Pengarah Politeknik Seberang Perai, Tn Hj Zulkifli Arifin. Dalam ucapan beliau, Tn Hj Zulkifli menekankan tentang perlunya masyarakat mangambil peduli terhadap apa yang berlaku di dunia Islam, khususnya di Syria serta Palestin.

Sementara itu wakil NVOG, Profesor Dr Hassim Mat, telah memberi penjelasan tentang perjalanan program RP4S yang bermula di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok di Sg Petani sehinggalah berakhirnya di majlis penutup tersebut. Sebanyak RM28,480 berjaya dikumpul sepanjang program ini.

Di akhir program, setiap wakil IPT menerima cenderamata dan sijil penyertaan. Majlis turut dimeriahkan dengan acara serahan replika resit sumbangan untuk rakyat Syria serta penyampaian hadiah kepada peserta pertandingan futsal antara pelajar politeknik.

HALUAN mengucapkan setinggi tahniah dan penghargaan kepada NVOG dan semua IPT serta pihak lain yang terbabit. Semoga program ini membawa keberkatan kepada semua pihak dan dapat diteruskan di masa akan datang.

Sheikh Jaqmiri (kanan) menyampaikan syarahan tentang realiti peperangan yang berlaku di Syria.

Para peserta tekun mendengar syarahan Sheikh Jaqmiri.

Hadirin memanjat doa untuk rakyat Syria.

En Jamil memberi penjelasan tentang projek bantuan terkini untuk rakyat Syria di kem-kem pelarian di sempadan Turki, Jordan dan Syria.

En Jamil (kiri) menyerahkan replika resit kepada wakil NVOG, En Yunos Yusoff (kanan).

Wakil UniKL, En Khairul Shahril Shaffee, (kanan) menerima replika resit daripada En Jamil (kiri).

Masyarakat Malaysia tetap prihatin terhadap musibah yang menimpa saudara mereka di Syria. Semoga Allah merahmati semua pihak yang terlibat.

———-

Laporan Md Akhir Ahmad, MediaHALUAN Cawangan Pulau Pinang.