fbpx

Ramadhan Bersama Huffaz Sasar Dana Kemanusiaan

Ramadhan Bersama Huffaz Sasar Dana Kemanusiaan

Ramadhan Bersama Huffaz Sasar Dana Kemanusiaan

SUBANG PERDANA, 17 Julai 2012 — Program Ramadhan Bersama Huffaz Palestin, Syria dan Somalia sepanjang Ramadhan kali ini membuka peluang kepada masyarakat prihatin untuk menambah saham akhirat mereka melalui penyertaan dalam projek-projek bantuan kepada masyarakat Islam yang sangat memerlukan di negara-negara tersebut.

Program yang diajurkan secara bersama oleh Biro HALUAN Palestin dan Biro Misi Kemanusiaan HALUAN ini menyasarkan dua projek bantuan utama yang akan dilaksanakan di Gaza dan juga projek misi kemanusiaan di Somalia dan Syria.

Menurut Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan, projek bantuan untuk Palestin merupakan kerjasama HALUAN dengan NGO Sahabat Al-Aqsha Indonesia dan Al Sarraa Foundation For Humanitarian Relief, iaitu sebuah NGO di bawah Rabitah Ulamak Palestin. Dua projek utama tersebut adalah bantuan biasiswa kepada 60 mahasiswa perubatan Palestin yang sedang belajar di Sudan dan juga pembinaan pusat madrasah syar’iah di Dar Al-Balah, Gaza.

“Semua 60 pelajar perubatan yang sedang menuntut di universiti-universiti di Sudan ini berasal dari Gaza dan Tebing Barat. Sebagaimana yang kita maklum, perubatan merupakan sektor yang sangat penting untuk Palestin, jadi kita tidak boleh biarkan masalah kewangan menghalang pelajar-pelajar miskin ini daripada menamatkan pengajian mereka,” jelas Dr Syed Muhammad Haleem semasa menyampaikan taklimat di pejabat Biro HALUAN Palestin di sini. Kos yang diperlukan oleh setiap pelajar untuk tujuan perbelanjaan sara hidup harian merangkumi keperluan makanan, kediaman, buku-buku dan pengangkutan adalah sebanyak USD100 sebulan, menjadikan jumlah keseluruhan dana yang diperlukan sebanyak USD 72,000.

Bagi pembangunan pusat madrasah syar’iah, ia bakal membuka peluang pendidikan kepada 750 orang kanak-kanak di Gaza. Projek ini merupakan saranan bantuan dalam sektor pendidikan yang dibuat berikutan lawatan relawan HALUAN ke Gaza pada bulan April 2012 lalu di mana pemegang amanahnya adalah Kementerian Wakaf Palestin di Gaza di bawah Perdana Menteri, Ismail Haniyyeh. Dana bantuan yang diperlukan adalah sebanyak USD 200,000.

Projek bantuan kepada pelarian Syria di negara sempadan dan juga mangsa-mangsa kekejaman yang berada di dalam daerah Syria sendiri akan diteruskan oleh Biro Misi Kemanusiaan HALUAN. Antara bantuan yang diperlukan termasuklah kelengkapan perubatan “first aid” untuk kegunaan di kem pelarian dan keluarga mereka yang masih berada di dalam Syria, dan pakej makanan asas yang mengandungi beras, pelbagai kekacang, minyak masak, minyak zaitun dan gula. Setiap pakej bantuan tersebut memerlukan belanja sebanyak RM150.

Biro Misi Kemanusiaan HALUAN di bawah ketuanya, Dr Baharudin Suri, juga akan meneruskan misi kemanusiaan ke Somalia yang dilaksanakan sejak pertengahan tahun lepas. HALUAN telah berbakti ke Kem Pelarian Dadaab di sempadan Somalia-Kenya, iaitu sebuah kem pelarian yang terbesar di dunia dengan kapasiti sekitar 700,000 ribu orang. Saban hari rakyat Somalia berhijrah ke situ meninggalkan kampung halaman mereka yang sedang dilanda krisis kemarau dan politik. Pelarian Somalia yang hampir 100% Muslim itu amat memerlukan bantuan makanan, pendidikan dan perubatan.

Antara bantuan yang disampaikan oleh HALUAN termasuklah pembinaan dugsi, iaitu sistem pengajian pondok bagi anak-anak belajar dan menghafal al-Quran dan ilmu hadis, bantuan perubatan di kem pelarian dan bantuan keperluan asas makanan.

Semoga program Ramadhan Bersama Huffaz ini direbut oleh seluruh masyarakat sempena bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan barakah ini. Kita diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW melalui sebuah hadis dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.”

Sebarang sumbangan untuk projek bantuan di Palestin boleh disalurkan melalui
Nama Akaun: Tabung Palestin HALUAN
No Akaun – BIMB: 14-023-01-003429-2
No Akaun – Maybank: 5644 9020 8528

Manakala bantuan untuk misi kemanusiaan di Syria dan Somalia boleh disalurkan melalui
Nama Akaun: Tabung Kebajikan Dan Kemanusiaan HALUAN
No Akaun – Maybank: 5622 6350 2611