fbpx

Banjir Luar Biasa Di Kuantan

Banjir Luar Biasa Di Kuantan

Banjir Luar Biasa Di Kuantan

kuantan-01KUANTAN, 4 Dis 2013 — Keadaan banjir yang melanda daerah Kuantan semakin buruk di mana lebih 12,000 penduduk telah dipindahkan dan semakin banyak kawasan perumahan serta laluan utama ditenggelami air.

Paras air yang naik secara mendadak berikutan hujan yang berterusan menyebabkan ramai penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda. Bahkan ramai anggota keselamatan dan pihak berkuasa sendiri turut menjadi mangsa, menyebabkan gerakan operasi bantuan kurang lancar dan terhad.

Bencana banjir kali ini agak luar biasa kerana banyak kawasan perumahan yang berpenduduk padat telah ditenggelami air termasuk di pusat bandar Kuantan. Bekalan elektrik dan air di bandar tersebut turut terputus.

Menurut jurucakap HALUAN Cawangan Pahang, Hj Abd Bashir Abd Ghani, keadaan banjir sehingga pagi ini masih bertahan. Walau bagaimanapun penduduk sekitar telah dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk berpindah kerana hujan diramal berterusan sehingga esok. Beliau turut menjadi mangsa apabila kediamannya di Cenderawasih, Bukit Setongkol telah ditenggelami air banjir sedalam lebih satu meter. Beliau sekeluarga kini menginap sementara di Surau Al Ikhwan, Bukit Setongkol.

“Sehari sebelumnya rumah saya sudah dinaiki air, tetapi beransur surut. Saya tidak sangka pula selepas beberapa jam air menjadi keruh dan naik semula secara mendadak. Kami sekeluarga terpaksa berpindah pada pukul 10 malam,” kata Hj Abd Bashir. Menurut beliau lagi, hampir 80 peratus ahli HALUAN di daerah Kuantan menjadi mangsa banjir. Di antara kawasan perumahan yang terjejas teruk termasuklah Perkampungan Sg. Isap, Permatang Badak, Bukit Rangin, Perkampungan Cenderawasih dan Taman Inderapura.

Ketua Penyelaras operasi bantuan banjir HALUAN Cawangan Pahang, Hj Syed Jamaluddin Syed Hassan, menjelaskan bahawa bilik operasi banjir di Pejabat HALUAN Cawangan Pahang telah mula beroperasi sejak malam tadi bagi membantu ahli-ahli HALUAN yang terlibat dengan banjir. “Disebabkan ramai ahli HALUAN yang turut menjadi mangsa banjir dan kekurangan kemudahan serta logistik khasnya kenderaan pacuan empat roda, operasi bantuan kami agak terhad. Tambahan pula banyak jalan yang ditutup kerana ditenggelami air,” jelas beliau. “Kami berharap lebih ramai relawan dari luar kawasan dapat datang membantu lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang di mana semakin banyak pusat penempatan banjir dibuka sedangkan anggota sukarelawan tidak ramai.”

Menurut laporan dari bilik operasi banjir HALUAN Cawangan Pahang, ramai mangsa banjir berada dalam kesejukan terutamanya kanak-kanak kerana kekurangan selimut dan keadaan tempat yang sesak. Kaum wanita juga menghadapi kekangan untuk menunaikan solat kerana tidak mempunyai telekung.

Orang ramai yang ingin membantu mereka yang sedang ditimpa musibah ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun berikut:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan & Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank Berhad

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Pusat Operasi Misi Kemanusiaan Banjir 2013 (24 jam) di Ibu Pejabat HALUAN melalui talian 019 600 7658 atau 03 8926 8892.


Laporan disediakan oleh Biro Penerangan HALUAN Cawangan Pahang.