fbpx

Muktamar HALUANITA Mengukuhkan Potensi Wanita

Muktamar HALUANITA Mengukuhkan Potensi Wanita

Muktamar HALUANITA Mengukuhkan Potensi Wanita

BANDAR BARU BANGI, 6 Mei 2014 – Biro HALUANITA buat julung kalinya telah menganjurkan Muktamar HALUANITA yang bertempat di Auditorium Dr. Zainuddin Jaffar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor bersempena sambutan Jubli Perak HALUAN dari 2-4 Mei.

Bertemakan “Berakhlak, Mendidik dan Berbakti”, acara gilang-gemilang ini telah dihadiri oleh para perwakilan dan ahli HALUANITA serta pemerhati dari seluruh negara. Beberapa badan NGO tempatan dan antarabangsa turut dijemput bagi memeriahkan muktamar ini. Di antara wakil NGO yang hadir termasuklah Pertubuhan IKRAM Malaysia, Sahabat Aqso Indonesia dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).

Muktamar HALUANITA membuka tirai dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah programnya, Puan Norizan Mohd Noh, diikuti ucapan oleh Ketua Biro HALUANITA, Puan Alfiah Samingan. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg Puan Che Azizah Che Rashid, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita mewakili Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, YBhg Dato’ Munirah Abdullah Bajanuddin. Puan Che Azizah dalam ucapannya menyarankan agar wanita perlu bijak mengadun antara menguruskan keluarga dan memperkukuhkan potensi diri. Segala gerak kerja ini jika dijalankan secara berstruktur, pasti membuahkan hasil yang lebih baik.

Majlis diteruskan dengan ucapan dasar oleh Ustaz Muhammad Noor Awang Kechik, Yang DiPertua HALUAN Cawangan Kelantan. Beliau telah mengupas tajuk “Bersama Memperkukuh Potensi Wanita Sebagai Tonggak Kekuatan Ummah”. Di antara perkara yang diberi keutamaan ialah tanggungjawab wanita sebagai ‘nukleus’ dakwah sebagai satu strategi yang signifikan.

Pada sesi petang, ahli dewan telah menyaksikan pembentangan perbahasan oleh para perwakilan HALUANITA yang terdiri daripada 16 perwakilan termasuk perwakilan dari setiap negeri dan perwakilan daripada luar negara seperti Mesir, Jordan dan United Kingdom. Sesi perbahasan ini penting sebagai mekanisme semak dan imbang sebagai muhasabah dalam rangka memperkukuhkan gerak kerja HALUANITA di seluruh negara.

Mengulas mengenai penganjuran muktamar ini, Dr. Amalina Abdullah, wakil daripada Wanita IKRAM berpendapat bahawa program seperti ini sangat relevan terutamanya dalam memperkukuh potensi wanita. Menurut beliau, Wanita IKRAM amat mengalu-alukan jaringan kerjasama dari pihak HALUANITA dalam mengetengahkan isu-isu wanita.

Saudari Ummi Kalsom Mohd. Khalid selaku Naib Pengerusi Biro Pembangunan Sumber Manusia PEMBINA pula berkata, “masyarakat kita pada hari ini kurang prihatin terhadap ancaman berat seperti serangan pemikiran yang merosakkan akidah dan akhlak. Justeru, kita yang diberi kesedaran oleh Allah seharusnya bergabung tenaga menghulurkan tangan memimpin masyarakat khususnya para wanita kembali mendekati Allah SWT.”

Manakala, Ibu Khadijah Khawariy, wakil Sahabat Aqso Indonesia pula menekankan bahawa wanita dan juga HALUANITA tidak perlu mencari contoh ikutan yang lain selain yang telah diwariskan kepada kita oleh Rasulullah SAW. Beliau turut mengusulkan HALUANITA untuk terlibat dengan isu-isu global dengan membuat lawatan ke luar negara seperti Gaza, Syria, dan lain-lain dalam menghayati perjuangan mereka dan berkongsi pengalaman yang dilalui kaum wanita di sana.

Disediakan oleh Nur Nashrah Isahak
Jurufoto, Siti Farhana Lokman
Unit Media Biro HALUANITA