fbpx

HALUAN Jayakan Sunathon Di Langu, Thailand

HALUAN Jayakan Sunathon Di Langu, Thailand

HALUAN Jayakan Sunathon Di Langu, Thailand

LANGU, THAILAND, 10 Mei 2014 – HALUAN sekali lagi menabur khidmat dan bakti merentasi sempadan antarabangsa. Rekod cemerlang dan gigih sepanjang berkhidmat di dalam dan luar negara mendapat kepercayaan ramai pihak bersesuaian dengan mottonya “Berakhlak, Mendidik dan Berbakti.”

Kali ini, HALUAN mendapat pelawaan dari Nida Suksasat School, sebuah sekolah agama di selatan Thailand untuk menyertai festival sambutan hari perayaan ilmu yang dianjurkannya.

Festival sambutan perayaan ilmu yang bertemakan ‘Pride of Nida’ yang diadakan pada 5 dan 6 April disambut meriah oleh para pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah. HALUAN melalui Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) diberikan peluang mengadakan pameran misi kemanusiaan dan pemeriksaan kesihatan serta majlis berkhatan secara percuma. Seramai 13 orang relawan daripada KKH diketuai Dr Noram Azlan Ramli telah terlibat manakala 30 orang relawan dan pasukan perubatan tempatan turut menjadi penyelaras dan pembantu dalam menjayakan program tersebut.

Ketibaan pasukan relawan KKH disambut baik warga kakitangan sekolah. Sudut kesihatan yang disediakan untuk KKH amat menggalakkan kehadiran para hadirin yang terdiri daripada penduduk sekitar. Lebih 100 penyertaan dicatatkan menjalani pemeriksaan kesihatan dan kerjasama yang diberikan semua pihak amat memuaskan.

Menurut seorang guru di Nida Suksasat School, Ustaz Abdullah, program seumpama ini amat dinantikan oleh penduduk Muslim di sekitar Langu kerana kos pemeriksaan kesihatan dan berkhatan amat mahal dan tidak semua penduduk di situ berkemampuan. Encik Abdul Halim Khudri, wakil perhubungan HALUAN ke Langu, di dalam ucapannya berkata kedatangan HALUAN ke daerah Langu di wilayah Satun ini selari dengan polisi HALUAN iaitu membantu di semua tempat yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama atau bangsa.

Majlis sambutan perayaan ilmu turut diserikan dengan kehadiran penasyid dari Ma’had at-Tarbiyah al-Islamiyah yang mendendangkan beberapa buah nasyid semasa malam keilmuan. Ia kemudiannya diikuti dengan ucapan Pegawai Daerah Langu, Encik Dumrung Deesakul. Beliau menyatakan antara lain rasa gembiranya dapat bersama dalam majlis perayaan ilmu ini dan berterima kasih di atas kesudian HALUAN mengadakan program kebajikan tersebut.

Penasihat HALUAN, Ustaz Darus Senawi turut menyampaikan ceramah pada malam tersebut yang berkisar mengenai penyatuan Muslimin. Beliau telah menyarankan agar setiap orang Islam mengambil berat permasalahan yang dihadapi oleh saudara-saudaranya di serata tempat sebagai gambaran Muslim yang sebenar. Antara penceramah tempatan yang membuat penyampaian khas pada malam itu ialah Ustaz Zakaria Hashim dari Hat Yai dan Dr Anis dari Universiti Narathiwat.

Majlis sunaton yang berlangsung keesokan harinya mendapat penyertaan daripada 50 orang kanak-kanak. Acara ini adalah acara penutup bagi sambutan majlis ilmu di Nida Suksasat School. Rata-rata para ibu-bapa dan penjaga yang ditemui menyatakan rasa gembira dan berterima kasih kepada pihak sekolah dan HALUAN di atas khidmat yang jarang mereka perolehi tanpa sebarang kos. Pengetua sekolah, Ustaz Abdul Malek turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak khususnya HALUAN dan berharap agar ia boleh menjadi agenda tahunan pihak sekolah.

Laporan oleh Umar Ismail, mediaHALUAN