fbpx

Hayati Ramadhan 1435H Bersama Huffaz Palestin, Syria Dan Kemboja

Hayati Ramadhan 1435H Bersama Huffaz Palestin, Syria Dan Kemboja

Hayati Ramadhan 1435H Bersama Huffaz Palestin, Syria Dan Kemboja

BANDAR BARU BANGI, 25 Jun 2014 — Sebagai bulan yang membawa penuh penuh rahmat, keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT, ketibaan Ramadhan dinanti-nantikan dengan penuh doa dan harapan. Setiap orang yang beriman, samada kanak-kanak mahupun dewasa, lelaki atau wanita akan berlumba-lumba meraih kebaikan sepanjang bulan ini.

Ramadhan kali ini sekali lagi bakal memberi pengalaman yang sangat bermakna kepada masyarakat Malaysia apabila seramai 20 orang imam dan huffaz al-Quran dari Palestin, Syria dan Kemboja akan bersama-sama mengimarahkan Ramadhan melalui program solat terawih dan sesi pengajian ilmu al-Quran. Program yang dianjurkan oleh HALUAN Malaysia buat tahun keempat berturut-turut ini mendapat sokongan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bertemakan “Membela Ummah Membebaskan Al-Aqsa,” program ini merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kefahaman dan penglibatan masyarakat Islam di Malaysia terhadap tanggungjawab mereka ke atas permasalahan yang melanda umat Islam, terutamanya keadaan Masjid al-Aqsa yang sedang dijajah dan diancam oleh Zionis.

Menurut pengarah program, Shahbudin Abu Bakar, para iman dan huffaz untuk tahun ini dipilih dengan teliti bagi memastikan masyarakat Malaysia mendapat manfaat sebaiknya. “Petamanya, kita pastikan mereka ini mempunyai kelulusan terbaik dalam ilmu al-Quran. Kita juga perhatikan sejarah serta latar belakang mereka, bahawa mereka ini adalah merupakan penghafal al-Quran yang aktif menyampaikan ilmu berteraskan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, sepertimana kita di Malaysia,” jelas beliau kepada MediaHALUAN ketika meraikan ketibaan sebahagian daripada para imam jemputan di sini.

Melalui program ini, para imam antara lain akan menyampaikan tazkirah atau penerangan tentang perkembangan umat Islam di negara mereka di samping berkongsi pengalaman dengan masyarakat kita bagaimana mereka mendekati al-Quran. Pelbagai program diatur oleh pihak penganjur, termasuklah anjuran program solat tarawih berimamkan imam atau huffaz jemputan ini, sesi tazkirah dan penerangan di surau, masjid, pejabat dan juga sekolah, serta bengkel penghayatan al-Quran samada secara individu atau berkumpulan.

Orang ramai atau jawatankuasa masjid serta surau boleh menghubungi pihak urusetia program bagi mendapatkan maklumat lanjut atau menyusun jadual program di tempat mereka. Sila hubungi talian En Muhammad Mus’ab di talian 03 5166 0599 atau 010 537 8303. Anda juga boleh dapatkan maklumat lanjut di www.haluan.org.my.