fbpx

Semarak Jatidiri Perawat KKH

Semarak Jatidiri Perawat KKH

Semarak Jatidiri Perawat KKH

SEPANG, 1 Julai 2014 – Seminar bertema “Kita Berbakti, Ummat Bahagia” anjuran Unit Medical Officer-House Officer (MOHO), Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) telah diadakan di Seri Bayu Resort, Bagan Lalang, Sepang baru-baru ini.

Seramai 23 peserta dari seluruh negara telah menyertai sesi ceramah, pembentangan dan perbincangan yang merangkumi perkongsian pengalaman, soal jawab dan bengkel peningkatan ilmu. Unit MOHO KKH adalah himpunan doktor-doktor muda KKH yang berusia kurang daripada 40 tahun dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan siswazah, pegawai perubatan am, pegawai pergigian, pegawai perubatan dalam latihan sarjana dan pakar perubatan.

Menurut pengarah seminar, Dr Diyana Abdullah, teras objektif seminar tahun 2014 ialah “Rijal & Massa” yang bertujuan mengeratkan jalinan ukhwah di antara doktor-doktor muda KKH serta memperbaharui rangkaian perhubungan di antara mereka daripada aspek perkembangan kerjaya dan kehidupan peribadi, perjalanan dakwah dan peningkatan pendidikan. Di samping itu, mereka juga dapat berbincang antara satu sama lain dan mengetahui dengan lebih lanjut tentang ruang dan peluang untuk berperanan dalam masyarakat melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan KKH.

“Kekangan cuti dan jadual tugasan membuat ramai ahli KKH tidak dapat sertai seminar MOHO kali ini. InsyaAllah kita yakin lebih ramai yang akan sertai seminar ini di tahun depan bila KKH dapat menyusun tarikh yang lebih sesuai. Namun seminar tahun ini tetap mencapai objektifnya di mana semua peserta yang hadir telah melahirkan rasa puashati mereka,” berkata Dr Diyana, seorang pelajar sarjana tahun akhir bidang patologi.

Kapten Dr Mohd Azrul Yunus berkata beliau terasa amat bertuah dapat hadir ke program berkenaan bersama isteri dan anak-anak kecilnya. “Saya sudah sertai program Motivasi Minda Medik atau 3M beberapa kali semasa saya masih menuntut di universiti lagi. 3M ini rupanya suatu program mindsetting yang bagus dan jelas untuk kami. Banyak kekusutan kita sebagai pelajar medik di awal usia dapat kita rungkaikan dengannya.”

“Daripada situ saya dapat rasakan bahawa KKH ini mempunyai satu wawasan yang sangat jelas di segi pembentukan amaliyat dan sahsiah seorang perawat perubatan. Saya pun ajak kawan-kawan lain untuk sertai program ini beberapa kali. Sekarang selepas menjadi pegawai perubatan dalam tentera, ilmu yang saya kumpul sekian lama melalui KKH membuat saya tegap mantap beribadah sebagai seorang doktor Muslim yang berkhidmat untuk semua bangsa dan agama,” kata beliau yang baru selesai tugasan tiga bulan bersama Rejimen Askar Melayu di Raja di Sabah bawah pasukan Eastern Sabah Security Command (Esscom).

Bagi Dr Nusaibah Mutmainnah Azmi pula, pendedahan kali pertama kepada MOHO selepas bergelar doktor pergigian sangat menguja jiwa beliau. Beliau merasakan terlalu banyak input berharga yang diberikan hingga terasa terangsang untuk mengimbau peluang membuat ijazah sarjana suatu hari nanti. Doktor pergigian muda Dr Hanisah Hamdan berkata peluang kali pertama menyertai MOHO selaku FYDO (first year dental officer) memang menguja jiwa kerana peserta didedahkan kepada pelbagai resam dunia kerjaya yang tidak pernah diketahui sebelum ini.

Suami beliau, Encik Mohd Afiq Jamarudin, seorang ahli fisioterapi bertauliah turut menyertai MOHO untuk menimba pengalaman. Beliau yang berkhidmat di Institut Sukan Negara (ISN) merasakan pendedahan di awal usia akan cepat mematangkan ahli KKH biar apapun bidang sains kesihatan dan perubatan yang mereka ceburi.

Penceramah jemputan terdiri daripada pakar-pakar perubatan, aktivis masyarakat dan penggerak dakwah berpengalaman yang berkongsi ilmu dan pengalaman mereka supaya peserta bersedia dengan ilmu kedoktoran dan pada masa yang sama mampu menyumbang khidmat mereka kepada masyarakat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. Selain itu, aktiviti riadhah dan sukaneka keluarga turut diadakan bagi mengeratkan hubungan peserta dan keluarga masing-masing. Sungguh meriah sambutan yang diberikan di mana ramai peserta mempunyai anak-anak yang kecil.

Seminar yang dirancang ini telah berjaya menghimpunkan doktor-doktor muda KKH yang bersedia menghadapi cabaran-cabaran mendatang yang lebih besar. Di samping sokongan keluarga, mereka juga berusaha mendekatkan diri kepada masyarakat sesuai dengan tema yang dipilih pada tahun ini.

Laporan oleh Zahir Zainudin,
Kelab Kesihatan HALUAN