fbpx

Mustahaknya Liqa’ Tarbawiyah

Mustahaknya Liqa’ Tarbawiyah

Mustahaknya Liqa’ Tarbawiyah

Liqa’ tarbawiyah itu berasal daripada bahasa Arab yaitu ” لقاء تربوية “, yang bermaksud pertemuan yang mendidik jiwa. Liqa’ bermaksud pertemuan, dan tarbawiyah bermaksud “mendidik”. Pertemuan yang mendidik jiwa bermakna pertemuan yang membangunkan diri kita untuk lebih dekat dengan Allah SWT dan lebih mengenali hakikat kehidupan.

Liqa’ tarbawiyah adalah salah satu di antara suasana soleh yang menjadi rebutan orang-orang Mukmin.

Apa yang dimaksudkan suasana soleh, atau bi’ah solehah ini? Suasana soleh ini bermaksud satu suasana yang memujuk hati kita ini agar sentiasa rindu kepada Allah SWT. Suasana yang menjadikan hati kita terasa hendak menghampiri Allah SWT. Suasana yang mendidik jiwa kita hingga terasa cinta dan berharap kepada hidayah Allah SWT.

Kita Amat Berhajat Kepada Hidayah Allah

Hidup kita ini akan sesat dan tersasar, melainkan Allah SWT berikan petunjuk kepada kita. Kita menjadi Muslim kerana Allah SWT yang pilih serta lorongkan kita untuk memilih jalan ini, dan kita patuh kepada syariat Islam kerana bimbingan daripadaNya. Kita hari ini berasa selamat dengan keIslaman kita, kerana kita diberi hidayah oleh Allah SWT. Sekiranya hidup kita ini tidak dibimbing dan diberi petunjuk oleh Allah SWT, maka kita akan menjadi manusia yang paling hina di atas muka bumi.

Justeru, mencari hidayah dalam kehidupan yang amat sementara ini perlu dijadikan sebagai asas perjuangan tertinggi dalam kehidupan. Maka jalan yang utama untuk mendapat hidayah daripada Allah adalah dengan berjuang mencari kefahaman melalui liqa’ tarbawiyah.

Mengapa ia bermula dengan mencari kefahaman? Mengapa tidak mula dengan qiyamullail, atau solat berjemaah di masjid, atau sedekah sahaja? Nah, bersihkan hati atau bangunkan rohani. Bukankah hati ini ‘raja’ yang paling berkuasa dalam diri? Mengapa mula dengan mengisi kefahaman atau ilmu dulu?

Ya, benar hati itu raja yang mengeluarkan arahan kepada seluruh anggota, tapi seorang raja tidak akan mampu mengeluarkan arahan melainkan atas nasihat ‘bendahara’ kepadanya. Raja bukan tuhan, dia juga makhluk yang lemah dan perlukan nasihat. Maka yang memberi nasihat kepada hati adalah akal fikiran. Pada akallah tempat tersimpannya ilmu dan maklumat. Tahu dan faham itu tempatnya di akal. Jadi Ilmu apa yang kita faham di akal, maka ilmu itulah yang akan memberi nasihat kepada hati. Hati ini adalah tempat wujudnya rasa dan yakin. Apabila hati sudah terasa dan yakin dengan nasihat ilmu tadi, maka barulah dia mengeluarkan arahan untuk bertindak.

Gerbang Kepada Ilmu Adalah Iqra’

Sebab itu perintah yang pertama daripada langit untuk manusia tiba bila Allah SWT mula dengan “Bacalah dengan nama tuhanmu yang menciptakan.” Bacalah di situ antara tafsirannya ialah tuntutlah ilmu kenalilah hidup ini, dengan mengambil Allah itu sebagai guru. Begitu kata Asy-Syahid Sayyid Qutub.

Hendak mengenali hakikat kehidupan ini perlulah bermula dengan ilmu mengenal Allah. Kenapa? Kerana Dia yang menciptakan. Maka siapa yang kenal Allah SWT, maka dia akan kenal kehidupan. Siapa yang jauh daripada ilmu yang membawa kepada mengenal Allah SWT, makin jauhlah dirinya dengan hakikat kehidupan. Oleh itu, dengan kita terus-menerus mencari kefahaman ilmu wahyu ini, barulah lahirnya perasaan untuk menjadi hamba kepada Allah SWT. Rasa itulah namanya iman. Iman dalam jiwa bukan datang secara tiba-tiba, tapi ia lahir daripada kefahaman yang mendalam tentang Islam dan iman. Iman yang benar itu lahir dalam hati setelah kita melalui proses yang panjang untuk memahami ilmu.

Buktinya dalam Surah Jumaah 62: 2 yang bermaksud :

“…Dialah yang membangkitkan dalam kalangan mereka yang buta huruf (orang Arab) itu, seorang Rasul dalam kalangan mereka, diajarkan kepada Rasul itu ayat-ayatNya (Allah), lalu dibersihkan (aqidah dan akhlak) kaum arab itu dan diajarkan kepada mereka Al-Kitab dan Al-Hikmah (Al-Quran dan Sunnah), dan sesungguhnya sebelum itu mereka betul-betul berada dalam kesesatan yang nyata.”

Hasil daripada melalui proses tarbiah Al-Quran dan Sunnah yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW, maka lahirlah manusia-manusia yang luar biasa iman dan akhlak mereka. Ayat ini hendak menceritakan tentang transformasi yang berlaku hasil daripada pendidikan Rasulullah SAW. Daripada kondisi buta huruf menjadi alim ulama. Daripada hamba abdi yang hina menjadi pemimpin berjiwa hamba. Daripada hina menjadi mulia. Daripada umat yang terkebelakang menjadi umat yang terbaik yang muncul di dalam sejarah peradaban dunia.

Apa puncanya?

“…diajarkan kepada mereka Al-Kitab (Al-Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah).” Dididik selama 23 tahun.

Jadi seandainya kita ingin mengalami perubahan yang sama, maka kita perlu melalui proses yang sama iaitu pendidikan Al-Quran dan Hadis, atau proses tarbiyah Islamiyah. Kaedah pertama untuk kita membuat perubahan diri ialah dengan mencari kefahaman Islam dan Iman yang betul, ataupun menghadiri liqa’ tarbawiyah.

Kerana sekiranya kefahaman Islam dan Iman kita tidak betul, maka ‘setting’ diri kita juga tidak betul. Matlamat dan wawasan kita juga tidak betul. ‘Worldview’, tasawwur dan gambaran kita tentang kehidupan akan mudah tersasar dan terikut-ikut. Begitu juga universalisme, idealisme, pandangan, pendapat, kecenderungan dan cara kita membuat keputusan juga akan tersasar. Untuk mencapai idealisme atau kefahaman tulin tentang hidup ini, kita perlulah bermula dengan ilmu yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu Al-Quran dan Sunnah. Bertolak dari situlah pembangunan dan perubahan diri kita itu akan terarah, sekiranya kita mempunyai kefahaman Islam dan Iman yang betul.

Ibnu Qayyim Al-Jauziyah menyatakan bahawa jalan pertama mencari hidayah adalah berjuang mencari kefahaman, atau liqa’ tarbawiyah. Lagi bersungguh kita mencari ilmu, lagi bersungguh kita berpenat mencari suasana yang mendidik diri ini, maka semakin terbangun serta tertingkatlah diri kita.

Imam Abdul Barr pernah menyebut,

“Kamu sentiasa menjadi ‘Alim, selagimana kamu menjadi pelajar. Sekiranya kamu berasa cukup, maka kamu telah jahil.”

Maknanya selagi mana kita sibuk mencari kefahaman, maka kita akan jadi ‘alim, iaitu mengetahui. Kita tahu apa matlamat hidup, apa hendak dibuat, tahu arah tuju, dan tahu mengawal diri daripada terpesong. Kita jadi ‘Alim, tahu. Tahu bila kita perlu berkahwin, isteri yang bagaimana perlu kita cari. Kalau wanita pula, kualiti suami yang macam mana kita hendak pilih. Kita bertukar menjadi orang yang tahu dan bijak menilai serta membimbing orang lain.

Sebab apa?

Kerana kita terus-menerus mencari ilmu dan kefahaman tanpa henti. Pada umur 20 kita mencari majlis ilmu, dan terus sehingga 24 tahun masih mencari ilmu.Apabila datang umur 25, kita terasa sudah ingin untuk berkahwin. Maka Allah SWT akan memandu kita cara bagaimana untuk memilih pasangan kita. Dengan siapa kita perlu berkahwin, orang yang bagaimana, bila, rumah tangga yang macam mana, semua perkara sudah dipadatkan dengan ilmu yang diperlukan. Kita akan ‘alim, tahu dalam membuat keputusan dalam kehidupan maka Allah SWT akan membimbing keputusan pilihan kita.

Tapi kalau di umur 20 kita mencari majlis ilmu, tetapi bila datang umur 24 kita berhenti, maka kita telah memutuskan carian kita. Pada usia 25 kita hendak berumah tangga. Maka pada ketika itu kita tidak lagi ‘AlimKeputusan dan idea memang akan ada. Tapi keputusan yang terpelihara serta ‘Alim sudah meninggalkan kita. Kebanyakannya jadi tersasar. Kita membuat keputusan dalam keadaan kita tidak lagi dibimbing oleh Allah SWT. Sebelum itu kita tahu, tetapi oleh kerana kita berhenti, maka waktu itulah Allah SWT melepaskan kita daripada naunganNya. Maka fikirkanlah.

Terpimpin Dalam Membuat Keputusan Hidup

Sebagai seorang pelajar di IPT, kita membuat berbagai-bagai keputusan dalam kehidupan seharian. Henak ambik subjek apa, nak pakai apa, bergaya macam mana, hendak rumah tangga macam mana, nak bergaul macam mana, bila nak bersukan, bila nak tidur, bila nak bangun, bila nak study, bagaimana nak guna masa, serta bagaimana nak guna IT alam maya yang mencabar dengan selamat.

Kalau kita terus menerus belajar, cari kefahaman, cari liqa’ tarbawiyah, maka Allah akan bagi kita ‘Alim, TAHU. Tahu nak mengguna IT alam maya dengan betul, tahu nak memilih kawan, tahu nak mengurus masa dan lain-lain lagi. Tapi apabila putus saja kita mencari kefahaman, maka kita akan hilang kemahiran, hilang ke’aliman dalam mengurus masa, memilih kawan, nak berdepan dengan cabaran langit terbuka dan lain-lain. Kita sudah tidak lagi ‘Alim. Kita pun hidup dengan keputusan-keputusan yang tersasar.

Al-Maududi menyebut : “Iman itu dinamik.” Ia tidak statik. Iman itu turun dan naik. Sifatnya aktif. Kerana Iman tempatnya di hati. Hati itu boleh berbolak-balik. Manusia itu sifatnya pelupa. Jadi bila kita berhenti mencari kefahaman, maka kita akan menjadi jahil, tidak tahu. Apabila kita tak tahu, tidak ada ilmu, maka hati kita akan gagal menerima nasihat.

Lalu keluarlah keputusan-keputusan yang tersasar dan tindakan yang kurang tepat.

Jadi begitulah mustahaknya liqa’ tarbawiyah atau majlis hidayah ini dalam kehidupan kita selaku manusia yang sentiasa memerlukan bimbingan daripada Allah SWT. Memang menjadi tradisi orang-orang beriman atau orang yang dibimbing oleh Allah SWT ini, iaitu membiasakan diri selalu berada di dalam lingkungan liqa’ tarbawiyah atau pertemuan yang mendidik jiwa atau majlis ilmu.

Justeru, marilah kita mengikuti jejak langkah mereka yang terpelihara ini, agar kita selamat dalam mengawal diri kita menjadi hamba yang diredhai oleh Allah SWT dan berjaya di dunia dan di akhirat. Siapa yang banyak luangkan masa dengan mengikuti tarbiyah Al-Quran dan Hadis, maka makin teranglah hidupnya, makin hampir dirinya kepada redha Allah SWT.

Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna menyebut ;

“Umat Islam ibarat satu kumpulan manusia yang berada di dalam kegelapan. Mereka meraba-raba, terjatuh, berlanggar sesama mereka. Sedangkan di tangan mereka ada lampu suluh tapi tidak tahu menyalakannya.”

Apakah maksud lampu suluh itu? Ia adalah Al-Quran dan Sunnah. Mari kita kembali kepadaNya.


Laporan oleh Luqmanul Hakim Muhammad Jamil
Universiti Madinah, Ahli HALUANSiswa