fbpx

Tasawwur Ramadhan

Tasawwur Ramadhan

Tasawwur Ramadhan

14 Julai 2014 – Ramadhan adalah bulan yang agung di dalam Islam. Rahmat Allah SWT semasa bulan Ramadhan berbeza dengan RahmatNya pada bulan-bulan yang lain. Ia istimewa. Tidak sama.

Selalunya manusia menyambut majlis ‘ulang tahun’ dengan bersuka ria, berhibur, jamuan makan, ‘party’ dan seumpamanya. Tapi di dalam Islam, ‘ulang tahun’ Ramadhan disambut dengan berlapar dan berdahaga. Diraikan dengan upacara ibadah dan berhibur dengan beribadah.

Difardhukan berpuasa untuk mendidik seluruh manusia agar kurang makan dan kurang tidur. Apabila kurang makan maka masa tidur pun akan menjadi kurang. Jadi yang lebihnya ialah masa. Masa berjaga menjadi lama. Jadi banyak kerja boleh dibuat dan diselesaikan.

Di dalam Islam, kerja yang termulia di atas muka bumi, kerja yang terbesar, kerja yang terpenting ialah kerja-kerja yang melibatkan ‘pengislahan’ manusia. Kerja membaiki kerosakan umat.

Oleh itu, apabila manusia kurang makan dan kurang tidur, maka banyak kerja mengislah umat akan boleh dilakukan. Dengannya, semakin banyak manusia akan terdidik dan terbangun jiwanya. Lebih banyak jiwa manusia yang akan selamat dan dibersihkan. Jadi, kurang makan dan kurang tidur adalah satu kekuatan sebenarnya. Satu kehebatan.

Kalau kita berfikir dari sudut logik akal, tentunya kurang makan dan kurang tidur ini bakal melemahkan. Tapi logik Al-Quran tidak sama dengan logik akal manusia. Berbeza. Sangat berbeza.

Kurang makan dan kurang tidur ini sebenarnya sebuah kekuatan dan kehebatan.

Buktinya, Allah SWT mentakdirkan peperangan Badar Al-Kubra berlaku di dalam bulan Ramadhan. Sedangkan itu ialah peperangan pertama dalam sejarah Islam. Sengaja Allah SWT meletakkannya di dalam bulan Ramadhan agar kita mendapat gambaran secara jelas bahawa apabila seseorang itu kurang makan dan kurang tidur, ia menjadikan jiwa dalaman kita semakin kuat. Kekuatan kerohanian kita akan lebih tinggi. Semangat juang lebih membara. Bukan setakat peperangan Badar sahaja, malah ada beberapa lagi peperangan yang Allah SWT susun di dalam bulan Ramadhan seperti Uhud dan Khandak.

Jelas kepada kita – kurang makan dan kurang tidur ini merupakan satu ciri orang yang berjuang.

Justeru, kita perlu meyakinkan pemikiran dan persepsi kita bahawa kurang tidur dan kurang makan sebenarnya adalah satu kehebatan. Satu kekuatan. Manakala banyak makan dan banyak tidur itu merupakan lambang kelemahan. Lambang ke’aiban.

Kesimpulannya, umat yang banyak makan dan banyak tidur ialah umat yang lemah. Umat yang terjajah. Tidak mampu bangkit untuk berjuang. Tidak boleh memikul tanggungjawab.

Ramadhan Hadir Membawa Tiga Kekuatan

Oleh itu, Ibnu Qayyim Al-Jauziyah menyebut di dalam bukunya ‘Zaadul Maad’, datangnya Ramadhan ini membawa tiga kekuatan untuk menyelesaikan tiga kelemahan.

Pertama : Berpuasa untuk menyelesaikan masalah berlebih-lebihan dalam makan dan minum.

Kedua : Berqiyamullail untuk menyelesaikan masalah berlebih-lebihan dalam tidur dan rehat.

Ketiga : Beri’tikaf untuk menyelesaikan masalah berlebih-lebihan dalam bergaul sesama manusia.

Jalan penyelesaian untuk masalah yang pertama iaitu berlebih-lebihan dalam makan dan minum ialah dengan cara berpuasa. Makan melebihi had contohnya. Makan tak ikut masa. Banyak cerewet tentang makanan. Makan hanya yang sedap-sedap dan hebat-hebat saja. Ia menjadi begitu untuk memenuhi hajat kerongkong, bukan hajat keperluan badan. Apabila berlebih-lebihan makan, maka tidur dan rehat pun akan jadi lebih. Apabila banyak rehat dan banyak tidur maka tidak banyaklah kerja (islah) dibuat.

Apabila datangnya fenomena ‘makanan junk’, banyak masalah berlaku seperti obesiti, lebihan berat badan, diabetes dan lain-lain. Sepatutnya makan ikut keperluan badan, bukan ikut selera kerongkong.

Jika kita menelusuri sirah para anbiya’, makanan mereka yang popular sepanjang sejarah ialah kurma, minyak zaitun, kismis, buah tin, dan roti keras. Rasulullah SAW makan roti keras, Umar Al-Khattab makan roti keras. Begitu juga Imam Syafiie, Hasan Al-Banna, pun makan roti keras. Kalau dipandang makanan-makanan seumpama ini mengikut selera lidah atau kerongkong, tidaklah sesedap mana pun. Tetapi kalau untuk sekadar keperluan badan, itu sudah cukup baik dan memadai.

Jelasnya di sini bahawa, makan bukanlah tujuan. Bukan matlamat utama kehidupan para pejuang. Ia sekadar cukup untuk memenuhi keperluan jasad dan tenaga badan saja. Makanan itu sendiri kena berkhasiat, tidak semestinya sedap dan nampak menarik. Tapi kalau kita lihat realiti masyarakat kita hari ini kadang-kadang, memenuhi selera makan sudah menjadi perjuangan hidup hingga sanggup merantau jauh mencari makanan yang popular. Jalan-jalan cari makan.

Mari kita lihat Surah Muhammad ayat 12.

Apa kata Allah tentang makan?

“Dan orang-orang kafir yang menikmati keseronokan itu, mereka makan sepertimana makannya binatang ternak, dan nerakalah tempat kembali mereka.”

Bagaimana cara makan binatang ternak?

Lembu, kambing, kerbau, unta dan lain-lain, yang dibela dalam bentuk ternakan ini, mereka makan untuk mendapat kekuatan badan.

Untuk apa kekuatan badan digunakan? Untuk keluar cari makan. Kemudian mereka makan pula untuk kali kedua, untuk apa? Untuk dapat kekuatan badan.

Untuk apa? Untuk pergi cari makan juga. Binatang makan agar badan kuat untuk mempunyai tenaga bagi mencari makan. Kemudian berikutnya makan lagi untuk badan sihat untuk pergi cari makan. Jadi begitulah pusingannya. Tidak ke mana-mana. Makan menjadi matlamat hidup dan perjuangan binatang ternakan.

Untuk manusia, putaran tanpa kesudahan ini dihentikan dengan datangnya puasa. Puasa hadir untuk menyelesaikan masalah ini, hendak mengingatkan kita bahawa hidup ini ada matlamat lain yang lebih besar dan mulia daripada semata-mata memenuhi tembolok. Jadi kita perlu melatih diri menjadi orang yang kurang makan agar kita boleh bekerja lebih dalam memburu matlamat hidup yang lebih besar iaitu redha Allah SWT.

Begitu.

Masalah kedua ialah berlebih-lebihan dalam tidur dan rehat. Jalan penyelesaiannya ialah dengan bangun malam yaitu berqiyamullail.

Zaman sebelum tahun 1990an dulu, kebanyakan rumah bersifat sama. Antaranya ialah setiap rumah hanya ada satu bilik tidur. Jadi, bila tiba masa untuk tidur malam, bersepahlah anak-anak di sana-sini. Malam ini tidur di ruang tamu, esok malam tidur di dapur, lusa di tepi dinding, bawah meja makan dan sebagainya.

Jadi apabila selepas subuh semua orang tidak lagi boleh menyambung tidur. Kerana nanti orang lalu lalang, langkah ke sana ke sini, tersepak dan sebagainya. Jadi peluang untuk tidur semula kurang.

Tapi zaman moden hari ini di kebanyakan rumah, anak-anak mempunyai satu bilik setiap orang. Ada yang berhawa dingin. Jadi, peluang untuk sambung tidur menjadi luas dan mudah. Jadi budaya buruk berlebih-lebihan dalam tidur dan rehat ini merentasi hampir semua keluarga. Ini satu budaya yang meng’aibkan. Budaya yang rendah serta tidak sihat sebenarnya.

Umat yang berjuang ialah umat yang tidak banyak tidur. Tidur yang disuruh oleh syarak, yang ditunjukkan oleh sunnah ialah selepas isyak, pukul 10 atau 11 malam dan bangun sebelum pukul lima pagi. Bangun awal sebelum azan subuh berkumandang.

Ada saintis membuat kajian mendapati kalau seseorang itu tidur dalam tempoh (sunnah) itu, tisu-tisu badan yang mati akan cepat pulih. Tapi kalau tidur lewat, pukul 1.00 atau 2.00 pagi, maka proses pemulihan itu akan menjadi lambat dan terbantut. Tidak normal.

Mustahaknya kurang tidur atau bangun awal pagi ini, hingga ada satu surah yang membincangkan tentangnya iaitu Surah ke 73 Al-Muzammil. Surah Muzammil ini mendidik kita untuk bingkas bangun. Menyeru kita untuk bangkit!

Hidupkan malam dengan qiyamullail. Bangunkan kekuatan rohani.

Masalah ketiga pula berlebih-lebihan dalam bergaul. Jalan penyelesaiannya ialah dengan jalan i’tikaf.

Dalam kehidupan kita hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa begitu banyak berlaku pergaulan. Bolehkah kita hidup tanpa ada pergaulan? Mustahil. Memang kita perlu bergaul sesama manusia dalam kehidupan ini. Bergaul ketika berada dalam rumah, di pejabat, dalam kereta, dalam telefon, sembang berdua bertiga dan sembang berlima. Kadang-kadang banyak aktiviti kemanusiaan, kemasyarakatan, banyak program, event, dan lain-lain yang menyebabkan berlakunya pergaulan.

Jika diamati, dalam banyak-banyak pergaulan itu tentunya ada yang menguatkan dan ada pula yang melemahkan kita. Ada yang baik dan ada yang melalaikan. Ada yang membangunkan iman dan ada yang meruntun iman.

Maka, dalam penyelesaian berlebih-lebihan dalam bergaul ini, kita disuruh untuk mengurangkan pergaulan-pergaulan yang tidak membina keimanan atau yang kurang membawa kebaikan.

Justeru, jalan penyelesaiannya ialah dengan cara beri’tikaf.

I’tikaf ini maknanya berdiam. Bukan diam kosong. Tapi diam yang memberi kekuatan iaitu bermuhasabah, melihat aib diri, ma’rifatullah, memuji Allah SWT, beruzlah mengasingkan diri duduk di dalam masjid, beristighfar, membaca quran dan berzikir. Menutup sementara hingar-bingar transaksi dunia luar untuk membina kekuatan dalaman yang sudah terhakis. Suatu proses pengukuhan semula atas inisiatif orang itu sendiri.

Berdiam yang membangunkan keimanan ini sangat perlu dalam kehidupan kita seharian. Setiap hari dalam masa 24 jam kita perlu mengambil beberapa waktu untuk duduk, asingkan diri, beri’tikaf.

Kalau sepanjang masa dalam sehari itu kita guna untuk bergaul dan bersembang saja, maka di situ Islam melihat gelagat kita itu sebagai satu kelemahan sebenarnya. Banyak bercakap. Sikit beramal. Perlu keseimbangan di antara bergaul sesama manusia dengan beri’tikaf. Semakin banyak kita bergaul, semakin banyak kita perlu berdiam, mencari masa untuk bersunyi-sunyian mengasingkan diri sambilbermuhasabah.

Banyakkan masa bersama Allah SWT sedapatnya di kesunyian dinihari.

Rawatan Jiwa Secara Intensif

Inilah tasawur Ramadhan yang dipakejkan secara khusus oleh Allah SWT untuk kita sebagai umat manusia bagi menyelesaikan permasalahan yang dinyatakan tadi dengan tujuan untuk membangunkan kekuatan.

Kekuatan roh.

Kekuatan jiwa.

Kekuatan rohani.

Dengan kekuatan inilah, kita akan dapat hasilan yang menjadi matlamat Ramadhan iaitu taqwa.

Kuliah oleh Abdul Nasir Salleh
Diolah oleh Luqmannul Hakim Muhamad Jamil