fbpx

KADER 2014 Menggembleng Para Belia

KADER 2014 Menggembleng Para Belia

KADER 2014 Menggembleng Para Belia

SHAH ALAM, 8 Julai 2014 – Seramai 344 peserta yang terdiri daripada anggota dan kepimpinan Biro Pemuda, Biro HALUANITA dan Kelab Siswa HALUAN dari seluruh negara telah berkumpul di Kem Bumi Jati untuk menyertai Kolokium Anjakan Daie Rabbani (KADER) 2014 yang bertemakan “Membangun Himmah, Menyemarak Dakwah.”

Program KADER yang merupakan acara tahunan yang ke-4 berlangsung selama tiga hari bermula pada 4 Julai. Program ini bertujuan mengumpul dan menggembleng para belia untuk bersama-sama dalam medan dakwah dan tarbiah secara lebih sistematik seiring dengan semangat berkobar-kobar yang dimiliki. KADER yang berlangsung pada tahun ini dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan menjadikannya lebih bermakna kepada para peserta dengan peluang melakukan amal ibadah secara berjemaah serta membina jaringan ukhuwah sesama mereka.

KADER telah dirasmikan oleh Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman yang turut mengisi slot ucaptama. Beliau menegaskan bahawa penglibatan belia dalam mewarisi kerja-kerja yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW ini sangat penting.

“Keadaan masyarakat dan umat Islam terutamanya sangat memerlukan kepada para belia untuk membawa perubahan kearah yang lebih sejahtera,” ujar beliau.

Selain itu, KADER kali ini turut membariskan lebih daripada 10 penceramah berwibawa daripada pelbagai kemahiran dan latarbelakang. Turut diselitkan perkongsian pengalaman bersama barisan kepimpinan dan ahli HALUAN yang berpengalaman dalam bidang dakwah dan tarbiah.

Pengarah KADER, Encik Wan Mohd Naim Wan Mansor berkata penyertaan KADER kali ini lebih ramai daripada tahun sebelum-sebelum ini. Beliau menaruh harapan yang tinggi kepada semua peserta yang hadir.

“Saya berharap para peserta dapat mempraktikkan segala ilmu dan perkongsian yang telah diperolehi sepanjang menghadiri program ini,” pesan Encik Wan Mohd Naim.

Program berakhir dengan bacaan Resolusi KADER 2014 yang dipimpin oleh Setiausaha Kerja, Biro Pemuda, Encik Muhd Ridha Abdul Ghani.

Program ini sewajarnya diteruskan sebagai program tahunan bagi melahirkan lebih ramai belia yang bergerak aktif menyumbang tenaga dalam kerja-kerja dakwah dan tarbiah di kampus dan juga menabur bakti kepada masyarakat.

Laporan oleh SUK, Biro Pemuda, Encik Muhd Ridha Abdul Ghani