fbpx

Cakna Palestin Sempena Raya Warga Maran

Cakna Palestin Sempena Raya Warga Maran

Cakna Palestin Sempena Raya Warga Maran

MARAN, PAHANG, 25 Ogos 2014 – Pameran Palestin oleh Biro HALUAN Palestin Pusat dan Negeri Pahang telah mencuit hati pengunjung ke majlis silaturahim sempena sambutan hari raya warga Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Dewan Taman Tasik Maran, Majlis Daerah Maran 25 Ogos lepas.

Majlis bertujuan mengeratkan lagi silaturahim antara warga JAIP dengan masyarakat Islam di Maran diserikan lagi dengan jamuan hari raya serta penyampaian saguhati kepada bakal-bakal haji dari seluruh daerah di Pahang.

Tetamu khas adalah YB Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Maran, Dato’ Ismail Abdul Mutalib dan YB Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah Dan Tugas-tugas Khas Negeri Pahang, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad dan beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri.

Pameran dan jualan amal Palestin yang dikendalikan oleh pihak HALUAN mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Ramai pengunjung yang datang telah mengambil kesempatan untuk memperolehi informasi berkaitan Palestin melalui pameran tersebut. Gerai jualan HALUAN yang menawarkan muffler, baju T dan cenderahati lain turut mendapat perhatian pengunjung yang ingin membelinya sebagai tanda sokongan mereka kepada perjuangan Palestin.

Dalam majlis berkenaan, pihak HALUAN turut diminta untuk menayangkan video nasib umat Islam di Gaza dan kezaliman pihak zionist sepanjang majlis berlangsung.

Menurut Ketua Biro HALUAN Palestin Pahang, Encik Abd Bashir Abd Ghani, jemputan pihak JAIP kepada HALUAN untuk turut serta adalah suatu pengiktirafan jabatan berkenaan terhadap usaha pihak NGO ini khususnya dalam isu Palestin.

Pihak JAIP Pahang dan Pejabat Agama Islam Daerah serta sekolah-sekolah agama di bawah kelolaan kerajaan Negeri Pahang telah membuat kutipan terdahulu bagi mengisi tabung Gaza dan semua derma berkenaan telah diserahkan kepada pihak HALUAN dalam majlis tersebut.

Alhamdulillah sejumlah RM41,000 derma untuk Gaza telah berjaya dikumpulkan dan diserahkan oleh Pengarah JAIP Pahang, Dato’ Mohd Nor Abd. Rani kepada ketua Biro HALUAN Palestin Pahang di akhir majlis.

Encik Bashir merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak JAIP yang telah memberi kepercayaan kepada HALUAN Pahang dalam menjayakan majlis tersebut. Pihak HALUAN juga mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang telah menyumbangkan derma.

Isu Palestin dan Gaza telah menarik perhatian masyarakat untuk menjadi warga yang prihatin dan pemurah bagi membantu saudara seIslam di Gaza yang kini sedang diperangi dan dibunuh dengan kejam oleh rejim zionis. Teruskan sumbangan ikhlas anda kepada:

Nama akaun : TABUNG PALESTIN HALUAN
Maybank Berhad : 5644-9020-8528, atau
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2

Sebarang pertanyan boleh dibuat di talian: +603 5166 0599
Atau layari laman web kami di: http://haluanpalestin.org

Laporan oleh Biro HALUAN Palestin Pahang