fbpx

HALUAN Lunaskan Amanah Korban 2014

HALUAN Lunaskan Amanah Korban 2014

HALUAN Lunaskan Amanah Korban 2014

BANDAR BARU BANGI, 1 Nov. 2014 – Sebagai sebuah NGO berdaftar yang amanah dan telus mendidik dan menyantuni masyarakat, HALUAN telahpun melunaskan hasrat peserta korban 2014 yang lalu dengan menghantar pasukan-pasukan relawannya sendiri ke Somalia, Myanmar, Thailand, Kemboja dan India.

Sejumlah 2505 bahagian korban yang telah diamanahkan oleh rakyat Malaysia telah selesai dikorbankan mengikut syarat-syarat sah korban di bawah pemerhatian relawan kami. Menurut laporan rasmi Urusetia Korban HALUAN 2014, seramai 16 anggota relawan HALUAN telah diterbangkan khas ke setiap lokasi tersebut.

Di lokasi berkenaan, mereka telah bertemu dengan kepimpinan wakil-wakil NGO tempatan beberapa hari menjelang Eidul Adha untuk memeriksa dan mengesahkan kondisi haiwan-haiwan korban berkenaan. Malah di sesetengah lokasi, relawan kami turut membantu proses penyembelihan berkenaan demi mewakili rakyat Malaysia yang prihatin dengan kemelut kehidupan masyarakat Islam di benua asing.

“Ini kali yang ke-14 kami melaksanakan korban demi amanah rakyat Malaysia. Sudah lumrah bagi kami memastikan setiap urusan korban dirancang dan dilaksana secara teliti untuk memastikan segala syarat sah korban dapat dipenuhi semuanya. Sebab itu kami amat berhati-hati dengan siapa kami berkoloborasi di negara sana. Relawan kami mendapat arahan jelas apa fungsi mereka setiba di lokasi. Dan kami memastikan agar agihan daging itu sampai ke kelompok sasaran mereka yang sangat memerlukannya,” jelas Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Encik Mohd Azhar Md. Idris.

Di benua Afrika, di kem pelarian Daadab persisiran sempadan Somalia-Kenya, pasukan relawan HALUAN telah diketuai oleh Encik Mohd Azhar bersama seorang lagi relawan muda. Menurut beliau, perjalanan sejauh 374 km selama lapan jam dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda memberi pengalaman baru betapa peritnya kehidupan pelarian yang terpaksa menghuni padang pasir kontang yang panas terik. Sebanyak 595 ekor kambing telah selamat dikorbankan dan diagihkan kepada pelarian berkenaan yang serba miskin compang-camping.

Di benua Asia pula, di selatan Myanmar, pasukan relawan HALUAN diketuai Encik Abdul Halim Kudri. Beliau yang ditemani oleh seorang lagi relawan telah bergerak ke daerah Meiktila untuk berkerjasama dengan NGO tempatan di situ. Sebanyak lima ekor lembu telah selamat dikorbankan dan diagihkan kepada penduduk yang sudah bertahun tidak menjamah daging.

Beliau yang pernah beberapa kali ke kawasan Muslim miskin Rohingya berkata, “mereka ini hidup tertindas dan serba miskin pula. Ramai ibu yang dicincang di depan mata anak-anak mereka sendiri, menzahirkan keganasan puak ekstrimis penganut Buddha di sini yang memperjuangkan kedamaian dan kesamarataan. Tapi dunia tetap membisu. Namun mereka tetap tidak menggadaikan aqidah mereka demi sesuap nasi. Mereka ini jiran tetangga yang sangat hampir dengan kita sedangkan kita makan kenyang, tidur lena saban malam.”

Di Kemboja, Dr Baharudin Suri, seorang relawan berpengalaman luas dalam misi-misi kemanusiaan antarabangsa HALUAN telah mengetuai pasukannya bersama seorang anggota lain. Mereka telah mengorbankan 111 ekor lembu dan 52 ekor kambing di sembilan buah daerah di Kemboja.

Di benua India, pasukan VIP HALUAN diketuai oleh Ahli Kehormat HALUAN, Encik Baseer Ahmad, dan disertai oleh Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman, Naib Presiden 1 Ustaz Abdul Hadi Osman, serta Setiausaha Agung Encik Mohd Ghani Salleh. Mereka telah melaksanakan ibadah korban di daerah Ramanathapuram, Theeni, Kilakarai dan Vellore. Sebanyak 100 ekor lembu telah dikorban di sana.

Sementara itu, Pasukan Korban HALUAN ke Selatan Thai telah bertolak melalui jalan darat dketuai oleh Encik Kamal Abdullah. Pasukan ini telah mengorbankan 20 ekor lembu.

Atas sebab-sebab keselamatan, tiada Pasukan Korban HALUAN yang dihantar ke Syria dan Palestin pada tahun ini kerana keadaan negara yang sedang bergejolak. Namun bagi memastikan amanah korban rakyat Malaysia benar-benar terlaksana, HALUAN telah bekerjasama dengan NGO yang dikenali dan dipercayai, Yayasan As-Sarra yang telah menyempurnakan amanah korban di Syria dan Palestin bagi pihak rakyat Malaysia.

Selain itu, ibadah korban HALUAN di luar negara turut dilaksanakan di negara Mesir dan Jordan yang diurus oleh para pelajar daripada Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) di negara tersebut.

“Kami di HALUAN telah melakukan yang terbaik mungkin untuk memastikan agar amanah peserta korban 2014 ini terlaksana sebaik cara mengikut syarat-syarat sahnya. Dan alhamdulillah, amanah tersebut dapat kami lunaskan dengan izin Allah SWT jua. Saya ingin menegaskan bahawa setiap peserta yang mengambil bahagian telahpun kami poskan sijil penyertaan dan foto korban daripada HALUAN Malaysia sebagai bukti terlaksananya korban mereka pada tahun ini,” jelas Encik Azhar.

“Sekiranya ada di kalangan tuan-puan yang belum menerima sijil dan gambar korban berkenaan, silalah hubungi Urusetia Korban HALUAN 2014 di talian 03 8926 8892 dan bercakap terus dengan Encik Muhammad Izzat Abdul Ghani. Saya bagi pihak HALUAN ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang menaruh harapan dan kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan amanah korban bagi pihak anda pada tahun ini. Semoga Allah menerima amalan tuan-puan sebagai amalan soleh dan diganjari dengan pahala berlipat ganda serta diberi keampunan dan memperolehi redha Allah SWT. Pada tahun 2015 bersamaan 1436H ini, silalah sekali lagi berkorban melalui HALUAN insyaAllah,” katanya lagi.

Laporan oleh Unit Media HALUAN