fbpx

HALUAN Gerakkan Bantuan Banjir

HALUAN Gerakkan Bantuan Banjir

HALUAN Gerakkan Bantuan Banjir

BANDAR BARU BANGI, 20 Nov 2014 – Pusat Operasi (PO) Misi Kemanusiaan Banjir 2014 (MKB14) HALUAN telah dengan rasminya mula memantau keadaan banjir di seluruh negara. Keadaan hujan yang turun dengan lebat di sebahagian besar kawasan timur semenanjung telah menyebabkan kebanyakan sungai melimpah ke kawasan berhampiran.

Beberapa pusat pemindahan mangsa banjir telah mula beroperasi. Terengganu mencatatkan kawasan dinaiki air yang semakin kritikal sehingga berita ini ditulis. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam kenyataannya bertarikh 11 November lepas, fenomena ini disebabkan oleh musim Monsun Timur Laut telah bermula di Malaysia pada 7 November.

Musim ini dicirikan oleh tiupan angin Timur Laut yang bertiup secara konsisten merentasi Laut China Selatan ke negara ini. Dalam tempoh musim ini, negara dijangka mengalami empat hingga lima episod hujan lebat yang menyeluruh dan berterusan selama tiga hingga tujuh hari yang boleh mengakibatkan kejadian banjir di negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung pada November 2014 hingga Januari 2015, kawasan Barat Sarawak dan Timur Sabah pada Januari hingga Mac 2015. Negeri-negeri lain seperti Johor, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang juga berkemungkinan menerima kesan hujan monsun yang boleh mengakibatkan banjir. Namun kenyataan MET pada 20 November mengatakan keadaan laut bergelora, angin kencang, ribut petir serta hujan lebat berkenaan dijangkakan akan berakhir pada 21 November.

Sepertimana biasa, Bilik Gerakan Banjir Negeri (BGBN) HALUAN setiap negeri akan mula beroperasi apabila situasi bencana semakin buruk. Sehingga kini, BGBN Terengganu telah beroperasi sepenuhnya dengan negeri-negeri lain diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. BGBN sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan seperti tentera, polis, JPA3, Jabatan Kesihatan serta agensi lain yang terlibat secara langsung dalam situasi banjir.

Komunikasi antara agensi yang terlibat di dalam misi banjir ini sentiasa dikemaskini. PO MKB14 akan menggerakkan aspek bantuan berbentuk keperluan harian mangsa pada kadar yang munasabah kepada masyarakat awam yang terlibat. Mobilisasi sukarelawan HALUAN ke negeri-negeri yang terkena bencana turut dirancang, menurut Ketua Biro Kebajikan, Encik Mohd Azhar Md Idris. Mengambil iktibar daripada tahun lalu, tidak kurang daripada 15 pasukan dengan kekuatan seramai 300 orang telah digerakkan oleh PO ke kawasan yang memerlukan.

Menurut Encik Azhar lagi, “Ini adalah ujian Allah SWT ke atas kita seluruhnya, menghulur kepada yang memerlukan, membantu tanda kebersamaan, merancang yang termampu tanpa ada sempadan yang memisahkan. Jalinan kepercayaan ini akan HALUAN teruskan dengan penuh rasa tanggungjawab. Semoga kita sama-sama terus untuk berakhlak, mendidik dan berbakti.”

Di antara keperluan asas mangsa-mangsa banjir buat masa ini termasuklah air minuman, makanan kering, susu bayi, lampin bayi, berus dan ubat gigi, sabun, tuala wanita, selimut, tikar dan juga telekung. Segala sumbangan boleh disalurkan ke PO di Jln Medan Pusat Bandar 5, Seksyen 9 Bandar Baru Bangi.

Orang ramai juga digalakkan membantu dalam bentuk sumbangan kewangan melalui akaun berikut:

Nama Akaun: Tabung Kebajikan Kemanusiaan HALUAN
No Akaun: 5622 6350 2611
Bank: Maybank

Nama Akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN)
No Akaun: 1402 3010 0257 18
Bank: Bank Islam

Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Pusat Operasi Misi Kemanusiaan Banjir 2014 (24 jam) di Ibu Pejabat HALUAN melalui talian +6013 313 7324 atau +603 8926 8892.

Laporan oleh mediaHALUAN