fbpx

HALUAN Lancar Bantuan Musim Sejuk Ke Sempadan Jordan

HALUAN Lancar Bantuan Musim Sejuk Ke Sempadan Jordan

HALUAN Lancar Bantuan Musim Sejuk Ke Sempadan Jordan

SEPANG, 24 Nov 2014 — Pasukan pertama Misi Bantuan Musim Sejuk 2014 Untuk Gaza Dan Syria telah selamat berlepas ke Jordan malam tadi di bawah seliaan HALUAN Malaysia. Seramai tujuh orang relawan termasuk lima wakil mahasiswa Fakulti Komputeran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut menyertai bantuan ini.

Pasukan ini yang diketuai oleh Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan, Encik Muhammad Shakir Sabarudin, akan menyampaikan bantuan rakyat Malaysia di Kem Pelarian Syria Zaatari, Kem Pelarian Azraq dan juga penempatan sementara pelarian Syria Karamah di sempadan Syria-Jordan. Mereka akan berkerjasama dengan NGO tempatan iaitu Islamic Charity Center Society (ICCS) dan Jordan Hashimite Charity Organisation (JHCO). Mereka juga akan dibantu oleh relawan Kelab Siswa HALUAN di Jordan.

Saban tahun, HALUAN melancarkan kempen bantuan musim sejuk bagi membantu pelarian serta penduduk Syria dan Gaza yang masih dibelenggu kezaliman dan berhadapan dengan krisis kemanusiaan. Kempen terbaru tersebut telah berlangsung sejak awal bulan November dan akan berakhir pada akhir bulan Februari tahun hadapan.

Pelbagai program telah dirancang untuk mengumpul sumbangan dana serta menjalin kerjasama masyarakat bagi membantu golongan yang memerlukan ini. Antaranya, HALUAN akan menggencarkan acara taklimat, ceramah dan pameran kesedaran dan program-program amal bersama masyarakat awam. Kerjasama dengan badan-badan korporat juga disusun bagi menaja barangan bantuan serta sara hidup keluarga yatim.

Menurut pengarah kempen, Encik Ahmad Shahabudin Abu Bakar, beberapa pasukan relawan lain akan menyusul ke lapangan untuk menyampaikan amanah masyakakat Malaysia kepada saudara mereka di Syria dan Palestin ini. “Alhamdulillah, pasukan pertama sudah berlepas malam tadi untuk menyampaikan bantuan di sempadan Syria-Jordan. InsyaAllah awal Disember nanti kita akan menghantar satu lagi pasukan ke kem-kem pelarian Syria di wilayah Gaziantep dan Kilis di sempadan Turki-Syria. Mereka akan bekerjasama dengan NGO Turki, iaitu IHH Humanitarian Relief FoundationPasukan yang sama juga akan menghantar bantuan ke Ein el-Hilweh, iaitu kem pelarian Palestin terbesar di Lubnan yang juga menempatkan pelarian dari Syria,” jelas Ahmad Shahabudin.

Bagi kawasan yang tidak dapat dimasuki kerana kancah peperangan, HALUAN akan menyalurkan bantuan melalui kerjasama NGO tempatan. Di Syria, NGO Al-Sarraa Foundation sudah pun mula menghantar bantuan kecemasan berbentuk kayu bakar dan susu bayi kepada mereka yang terkepung di Ghouta Timur serta kem-kem lain di sekitar kota Damaskus, seperti Qudsayya, Daraa, Darya dan Moadamyeh.

Manakala untuk bantuan di Gaza, HALUAN akan bekerjasama dengan Al-Sarra Foundation, sepertimana lazimnya dalam musim sejuk dan bencana banjir akhir tahun lalu.

Al-Sarraa Foundation adalah sebuah NGO yang ditubuhkan oleh aktivis Robitah Ulamak Palestin dan beroperasi di Palestin, Syria, Lubnan dan Turki.

Masyarakat prihatin boleh berhubung dengan pihak sekretariat kempen ini untuk mengatur kerjasama program kesedaran berbentuk kuliah, ceramah kesedaran ataupun pameran di samping menghulur bantuan melalui talian +603 5166 0599 (pejabat operasi) atau +6012 954 7861 (Encik Mus’ab Saari).

Bantuan ikhlas anda boleh disalurkan melalui akaun berikut:

Tabung Kebajikan Kemanusiaan HALUAN
Maybank Berhad : 5622-6350-2611

atau

Tabung Palestin HALUAN
Maybank Berhad : 5644-9020-8528
Bank Islam Malaysia Berhad : 14-023-01-003429-2

Semoga semua usaha dan sumbangan anda mendapat ganjaran terbaik daripada Allah SWT.

Laporan Biro Misi Kemanusiaan