fbpx

SKH Nurses Rangka RnD Khidmat KKH

SKH  Nurses Rangka RnD Khidmat KKH

SKH Nurses Rangka RnD Khidmat KKH

skh-01KELANG, 29 Okt 2014 – Para jururawat relawan di bawah Sains Kesihatan HALUAN (SKH) yang semakin ramai telah sekali lagi bertemu untuk merangka beberapa strategi berkesan projek kemasyarakatan dengan penekanan kali ini kepada rawat dan dakwah (RnD).

SKH Nurses yang bernaung di bawah sayap Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) telahpun bertemu setiap bulan sejak Julai lepas untuk mengenalpasti peranan, skop dan kemampuan profesion kejururawatan dalam melestarikan usaha-usaha kebajikan serta kemasyarakatan yang sering dilaksanakan oleh KKH dengan input yang lebih bermakna di sudut persediaan khidmat kejururawatan, baik untuk misi bencana ataupun misi kemasyarakatan am.

Menurut AJK Pusat SKH merangkap Ketua Unit SKH Wilayah Tengah, Encik Muhammad Afiq Jamarudin, siri-siri pertemuan lepas yang sering dimasukkan sesi cernaminda telah berjaya membentuk kefahaman yang lebih jitu di kalangan jururawat relawan di Wilayah Tengah tentang peranan mereka di luar daripada tempat kerja.

“Kita ingin mengajak mereka yang berprofesyen murni ini untuk bersama HALUAN menyantuni beberapa segmen masyarakat di luar sana yang tidak begitu bernasib baik untuk memperolehi khidmat kesihatan daripada doktor, apatah lagi daripada doktor pakar. Kami di SKH Nurses dan selepas ini SKH Pharmacists akan berusaha untuk meningkatkan input kami untuk melestarikan perkhidmatan KKH agar lebih tersusun, profesional dan mampan setanding dengan apa yang ditawarkan oleh gerakan medikal antarabangsa,” jelas beliau kepada mediaHALUAN.

“Agar kami tidak tersasar daripada niat yang satu, setiap pertemuan kami sentiasa didahului dengan sesi tazkirah yang menyegarkan minda dengan pesanan-pesanan daripada Allah dan Rasulullah SAW. Itu dulu sebelum kami membincang skop agenda yang tersedia,” tegas beliau yang banyak mendorong adik-adik muda untuk tampil bersukarela bersama KKH.

Pada tazkirah minggu ini, Naib Presiden 3 (Hubungan Kaum & Kemasyarakatan) HALUAN Malaysia Prof. Madya Dr. Azizan Ahmad telah mengingatkan para peserta mengenai peri pentingnya memenuhi tuntutan persiapan akhirat terlebih dahulu sebelum keperluan duniawi. Persiapan ini merupakan penyediaan minda untuk seseorang jururawat itu mencapai ketenangan atau sakinah dengan mendekapkan diri kepada peraturan hidup Islam di setiap masa.

“Dia akan dapati segala urusan dunianya akan menjadi lebih lancar dan baik bila Allah diletakkan di depan. Hubunganya dengan Allah dia jaga sentiasa, supaya setiap detik Allah akan sayang kepada dia. Hatinya tenang dan dunia ini seakan-akan mempersembahkan dirinya kepada dia. Sebaliknya, orang yang hidup bermatlamatkan dunia semata-mata akan dapati kehidupan ini seperti kacau-bilau, tiada ketenangan dan seolah tidak diberkati. Jadi semacam Allah tidak endah kepadanya kerana dia menyepikan Allah daripada kehidupannya. Hatinya lemah, miskin, sakit dan berpenyakit dan dunia ini datang kepadanya dengan sebatas apa yang ditakdirkan kepadanya sahaja. Dia tidak mendapat lebih daripada itu,” pesan Dr Azizan yang juga seorang motivator berpengalaman dan pensyarah sains di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Jadi kita kena melabur ke dalam masyarakat, selain daripada kita berkerja seharian makan gaji dengan majikan. Kita mempunyai kepakaran dan kemahiran yang tiada pada orang lain iaitu merawat orang. Maka kita kena gunakan anugerah Allah ini untuk membantu mereka yang tidak berupaya untuk mendapat rawatan biasa di klinik dan hospital kerana kekangan tertentu. Betapa mulianya darjat seorang jururawat bila dia sanggup keluar berkhidmat kepada masyarakat sebegini di luar daripada tugasan formal mereka. Transformasi perlu bermula daripada diri kita sendiri, dan tidak perlu kita tunggu sehingga kita sempurna baru nak bermula. Jangan bertangguh untuk berubah,” ujarnya lagi.

Menurut koordinator kejururawatan SKH, Puan Salsah Bariman, pasukan SKH Nurses yang semakin mantap ini sedang merangka beberapa strategi RnD untuk dikemukakan kepada KKH Pusat. Selain membantu mengemaskinikan keperluan teknikal kejururawatan bersama Quartermaster pusat KKH, SKH Nurses juga ingin mengenderai beberapa siri projek khidmat kesihatan dan pergigian bawah KKH dengan kerjasama Kelab HALUAN Fitrah (KHF).

“Kita dalam proses mengenalpasti bagaimana kita boleh menumpah bakti kita bukan sahaja di kelaziman kelompok orang Muslim tetapi juga di penempatan bukan Muslim seperti di kampung-kampung baru dan estet-estet sawit dan getah jauh di pendalaman. Ramai di antara mereka tidak bernasib baik kerana miskin, tiada kenderaan sendiri dan rumit di segi kewangan. Mereka juga berhak mendapat pembelaan kesihatan dan pergigian seperti masyarakat yang lain. Sukarelawan kami sedang menyiapkan beberapa siri kertaskerja untuk membolehkan KKH dan SKH sama-sama menabur bakti kepada golongan terpinggir ini,” tegas beliau yang merupakan pesara jururawat pergigian yang banyak berbakti secara sukarela di Sarawak, Sabah dan semenanjung.

KHF merupakan salah sebuah kelab di bawah HALUAN yang memfokuskan kepada usaha memberikan maklumat serta imej yang betul tentang Islam kepada segenap lapisan masyarakat, serta membetulkan salahfaham yang berlaku.