fbpx

Karnival Masyarakat Meriahkan Bandar Baru Bangi

Karnival Masyarakat Meriahkan Bandar Baru Bangi

Karnival Masyarakat Meriahkan Bandar Baru Bangi

BANDAR BARU BANGI, 24 Nov 2014 – Karnival Usahawan & Komuniti Bangiku yang telah berlangsung di Kompleks PKNS, Seksyen 9 di sini telah berjaya menarik sekitar 500 orang pengunjung terdiri daripada warga tempatan dan pengunjung luar.

Ia bertujuan mendedahkan kepada orang awam berkenaan keusahawanan dan aktitviti-aktiviti masyarakat yang dijalankan di sekitar Bandar Baru Bangi. Antara lain adalah untuk memperkenalkan HALUAN kepada orang awam sebagai sebuah NGO Islam yang mengendalikan program-program kemanusiaan, pendidikan dan penyebaran dakwah Islam.

Karnival tersebut dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (Bangiku) dengan kerjasama Pejabat ADUN Bangi, Ahli Majlis Zon 23, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), MAPIM, Usahawan Impak, Muslim Care, IKRAM & Gabungan Masjid & Surau Bangi. Program berlangsung daripada pukul 10.00 pagi sehingga 10.00 malam.

Pihak HALUAN diwakili oleh HALUAN Unit Putrajaya, kolej angkat HALUAN; Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) dan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD). Selain daripada itu, turut diadakan juga adalah aktiviti jualan bahan bacaan bahasa Inggeris untuk kanak-kanak dan jualan amal barangan Palestin.

Seterusnya, pada pukul 2.00 petang, Kelab Kesihatan HALUAN & Biro Guaman HALUAN telah memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan dan khidmat guaman secara percuma kepada semua pengunjung yang hadir dan serentak dengan itu pendaftaran untuk relawan HALUAN juga telah diadakan. Majlis diteruskan dengan ceramah Palestin yang disampaikan oleh Encik Noorazman Mohd Shamsuddin selaku Timbalan Ketua Biro HALUAN Palestin.

Pertandingan mewarna turut dikendalikan oleh HALUANITA melibatkan kanak-kanak berumur antara empat ke sembilan tahun. Acara kemuncak program ini adalah persembahan nasyid oleh artis baru Malaysia iaitu Azhar Hilmi yang telah mendendangkan lima buah lagu daripada album sulung beliau sendiri.

Wakil daripada Kolej Teknologi Darulnaim, Encik Abdul Rahman Zabidin berkata, “Saya mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana menyusun karnival ini kerana ia dapat memberikan informasi kepada usahawan dan komuniti di sekitar sini. Dengan ruang yang diberikan ini, saya dapat menwar-warkan bahawa Kolej Teknologi Darulnaim akan membuka cawangannya di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi tak lama lagi. Antara program pengajian yang bakal ditawarkan adalah seperti Diploma Sains Komputer, Diploma Elektronik, Diploma Perakaunan dan beberapa program pengajian yang lain.”

Laporan MediaHALUAN