fbpx

Hangat ProCAST Zon Timur

Hangat ProCAST Zon Timur

Hangat ProCAST Zon Timur

MACHANG, 24 Nov 2014 – Biro Pendidikan HALUAN Zon Timur dengan kerjasama Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) telah menganjurkan Program Cemerlang Akademik Sahsiah Terpuji (ProCAST) peringkat Zon Timur selama empat hari bermula 21 November lepas.

Program bertempat di Kompleks Perhutanan Bukit Bakar Machang, Kelantan ini mendapat sambutan hangat daripada 61 orang peserta lelaki dan perempuan. Seramai 27 orang fasilitator dan urusetia telah mengembleng tenaga bagi menjayakan program ini.

Program ini diadakan atas empat objektif utama. Pertama, mendedahkan peserta kepada kemahiran berorganisasi. Kedua, melatih peserta untuk menguasai kemahiran kepimpinan. Ketiga, melahirkan pelajar yang berketrampilan dan mempunyai kemahiran ‘softskill’ iaitu Kemahiran Komunikasi, Kemahiran Kepimpinan, Team Building, Kemahiran Pengurusan Emosi dan Pengurusan Perubahan. Akhir sekali, objektifnya adalah untuk melahirkan pelajar yang berminda tarbawi.

Pada hari pertama, peserta dibahagikan di dalam kumpulan melalui aktiviti ‘Ice Breaking & Team Building’. Pada malamnya, peserta didedahkan dengan Kemahiran Komunikasi yang disampaikan oleh Encik Wan Azmi Abdullah. Pada hari kedua pula, peserta diajar Kemahiran Pengurusan Emosi dan Kemahiran Kepimpinan masing-masing oleh Encik Mahmud Jaafar dan Encik Siddiqi Jamaluddin. Manakala pada sebelah malam pula diadakan slot bersama Dr Hamdi Ahmad yang bertajuk Pembinaan Sahsiah Pemimpin.

Pada hari ketiga, peserta disegarkan dengan aktiviti ‘outdoor’ iaitu Jejak Kepimpinan. Pelbagai aktiviti menarik diadakan di setiap ‘checkpoint’ aktiviti. Peserta turut menonjolkan bakat masing-masing dalam slot Malam Bakat Kepimpinan. Hari terakhir peserta dimeriahkan lagi dengan aktiviti menanam pokok bersama Pegawai Perhutanan Negeri Kelantan. Sebanyak 150 pokok telah ditanam di Kompartmen 38, Hutan Simpan Kekal Cabang Thongkat, Machang.

Kem Komandan ProCAST, Encik Syed Ihsan Syed Mohd Khair dalam ucapan beliau berkata, “Program ini adalah untuk mendidik peserta menjadi pejuang Islam. Harapan saya juga ialah agar para peserta dapat mengamalkan setiap yang dipelajari dalam kem ini dan mengajarkannya kepada orang lain. Akhir sekali, saya berharap mereka dapat menjadi pemimpin yang hebat pada masa akan datang.”

Harapan beliau juga ialah supaya peserta dapat mengikuti dan membantu aktiviti dan program yang dijalankan oleh KeARAH di masa hadapan agar dapat digencarkan lagi usaha untuk mendedahkan masyarakat kepada aktiviti berbentuk Islami.

Laporan oleh Fatin ‘Aliah Rusli, Biro Pendidikan HALUAN