fbpx

Kesukarelawanan Bersama UiTM Lendu

Kesukarelawanan Bersama UiTM Lendu

Kesukarelawanan Bersama UiTM Lendu

LENDU, MELAKA, 31 Julai 2015 – HALUAN mengorak langkah baru dengan mempromosikan penyertaan ke dalam pasukan relawan HALUAN di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Melaka. Ia adalah satu inisiatif bersama di antara HALUAN cawangan negeri Melaka dengan UiTM bertujuan mencari anggota relawan di kalangan belia khususnya mahasiswa.

Mahasiswa dilihat sebagai golongan yang amat sesuai memangkinkan kerja-kerja kesukarelawanan demi merealisasikan hasrat masyarakat dan negara untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang prihatin.

Buat julung kalinya, HALUAN dipelawa secara langsung ke Program Sukarelawan HALUAN Bersama Pelajar UiTM Melaka bagi menceritakan latar belakang, misi dan visi serta berkongsi pengalaman dan kisah yang terdapat dalam lipatan sejarah HALUAN. Dalam majlis tersebut, Ketua Biro Relawan HALUAN, Encik Hasri Ahmad menceritakan secara umum latar belakang HALUAN serta aspirasinya khusus kepada golongan muda. Beliau berharap agar penyertaan ke dalam kumpulan relawan ini mampu memberi manfaat pembangunan diri di samping mendapat credit points daripada pihak universiti.

Majlis diserikan lagi dengan ceramah khas oleh Encik Noorazman Mohd Shamsudin mengenai kasih sayang sesama manusia. Dalam penyampaiannya, beliau memberikan pelbagai senario yang meruntun jiwa dan berkesan dalam mewujudkan semangat sukarela demi membantu mereka yang kesusahan dan memerlukan. Beliau membangkitkan pelbagai persoalan untuk para mahasiswa UiTM memikirkan perihal kepentingan berkasih-sayang dan bantu-membantu terhadap orang lain tanpa mengira batas geografi, bangsa dan agama.

Kemuncak majlis ini ialah ucapan dari Rektor UiTM, Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim. Beliau memuji inisiatif penganjur menjalinkan kerjasama dengan HALUAN. Beliau turut berharap para hadirin dan pelajar-pelajar fakulti perakaunan khususnya mengambil peluang tersebut menyertai relawan HALUAN dan pihak UiTM sedia memberikan kerjasama untuk sebarang program relawan di masa akan datang. Kerjasama yang bermanfaat kepada kedua-dua belah pihak wajar dikembangkan ke kampus UiTM yang lain.

Penyampaian cenderamata dan jamuan aidilfitri mengakhiri program sukarelawan tersebut. Penyelaras relawan HALUAN Melaka, Encik Shahkirin Mohd Shah mengungkapkan rasa syukur kepada Allah SWT di atas peluang ini dan beliau menegaskan, kumpulan sukarelawan UiTM ini, mesti disiapkan dan didorongkan ke program mega pada bulan September ini, iaitu Konvensyen Belia Relawan HALUAN (KOBAR) 2015 bagi memantapkan kefahaman dan meperkemaskan gerak kerja sukarela.

Laporan Biro Relawan HALUAN