fbpx

Meriah Sambutan Aidil Fitri HALUAN 1436H

Meriah Sambutan Aidil Fitri HALUAN 1436H

Meriah Sambutan Aidil Fitri HALUAN 1436H

BANDAR BARU BANGI, 3 Ogos 2015 – HALUAN telah menganjurkan Sambutan Aidilfitri 1436H peringkat pusat bertempat di perkarangan Ibu Pejabat HALUAN pada hari Ahad, 2 Ogos lepas bersamaan 10 Syawal 1436H dihadiri lebih 500 tetamu.

Acara dimulakan pada pukul 10.00 pagi dengan ucapan aluan oleh Pengerusi JK Sambutan Aidilfitri, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin merangkap Setiausaha Agung HALUAN. Beliau menekankan bahawa majlis yang diadakan setiap tahun ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli lama dan ahli baru HALUAN berserta keluarga mereka masing-masing. Turut hadir adalah kepimpinan masyarakat setempat serta ahli-ahli kehormat HALUAN. Perutusan Aidilfitri telah disampaikan oleh Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman yang berbesar hati di atas kesudian para jemputan dan relawan HALUAN menghadiri majlis tersebut.

Acara telah diteruskan dengan perasmian Program Ibadah Korban HALUAN 1436H oleh beliau. Tahun ini merupakan tahun kelima HALUAN melaksanakan program Ibadah Korban dengan penglibatan masyarakat prihatin Malaysia.

Selesai perasmian, majlis diteruskan dengan jamuan yang dihidangkan secara buffet dan para tetamu dijemput menjamu selera. Hasil temuramah dengan para jemputan, mereka berasa sangat gembira dapat menghadiri sambutan aidilfitri kali ini dan sebilangan mereka memberitahu bahawa tahun ini adalah tahun ke empat mereka memenuhi jemputan.

Menurut Puan Norazila Mat, 45 dari Kajang, “acara ini dapat mengeratkan silaturahim, tetamu dapat berkenalan sekaligus mengurangkan jurang usia bagi kalangan ahli lama dan ahli baru terutama yang masih muda.” Majlis bersurai pada jam 12.00 tengah hari dengan harapan penganjur agar masyarakat lebih mengenali HALUAN sebagai sebuah NGO yang Berakhlak, Mendidik dan Berbakti demi menyatupadukan masyarakat Malaysia berbilang bangsa dan agama.

Laporan oleh Fatimah Mohamed Badri