fbpx

Huffaz Ramadhan HALUAN 1436H Labuhkan Tirai

Huffaz Ramadhan HALUAN 1436H Labuhkan Tirai

Huffaz Ramadhan HALUAN 1436H Labuhkan Tirai

BANDAR BARU BANGI, 14 Julai 2015 – Program Huffaz Ramadhan 1436H melabuhkan tirainya dalam majlis penutup yang diadakan di Dewan Seminar, Tingkat 2, Ibu Pejabat HALUAH, Bandar Baru Bangi pada 14 Julai lepas.

Seramai 21 huffaz diraikan, 11 dari Palestin, lapan Syria dan dua orang dari Kemboja . Sepanjang bulan Ramadhan lepas, mereka telah ditempatkan di beberapa buah negeri untuk menjadi imam solat serta memberikan tazkirah mengenai keadaan umat Islam di Palestin dan sebagainya.

Mereka diraikan dalam program yang sederhana tetapi meriah. Program tersebut dipengerusikan oleh Ust. Ahmad Muhammed Jamallullail Tajudin selaku urusetia program sambutan tersebut. Ia telah dihadiri 60 orang ahli HALUAN. Majlis dimulakan dengan kata alu-aluan oleh pengerusi majlis.

Program ini diteruskan dengan ucapan oleh Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam Md Yassin. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian huffaz yang datang bagi membantu mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada saudara-saudara di Palestin, Syria dan Kemboja. Program sebegini telah diadakan selama lima tahun berturut-turut sejak 2011. Dana yang telah dikumpulkan sepanjang Ramadhan akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan di Palestin, Syria dan Kemboja di mana HALUAN mempunyai projek-projek kebaktian masyarakat di sana seperti hospital, maahad tahfiz, santunan ibu tunggal dan tadika serta kem-kem pelarian.

Seterusnya, program diteruskan dengan ucapan daripada wakil dari Palestin, Sheikh Khaled Ali Mohammad Rabah. Beliau menegaskan umat Islam tidak boleh berhenti membantu dan terus membantu terutama dalam isu pembebasan Masjid Al Aqsa dan Sheikh sangat gembira dengan keperihatinan rakyat Malaysia dalam membantu Palestin. Wakil Syria, Sheikh Bassam Achmar Imad yang berkhidmat di Terengganu mengucapkan ribuan terima kasih di atas kemurahan hati masyarakat Malaysia yang sudi menyumbang sejumlah dana untuk rakyat Syria yang sedang menderita ditindas oleh rejim syiah Bashar Assad. Wakil Kemboja Sheikh Ali Abu Bakar yang berkhidmat di Sabah merasa amat teruja kerana sekali lagi dijemput oleh HALUAN dan berharap bantuan haruslah sentiasa disalurkan kepada saudara-saudara seIslam yang ditimpa musibah tidak kira di mana saja mereka berada.

Sementara itu, wakil Terengganu. Encik Mohd Jamil Muda dalam ucapan beliau melemparkan persoalan kepada ahli HALUAN iaitu selepas program huffaz apakah program susulan? Harapan beliau agar akan ada projek susulan untuk memanaskan masyarakat dengan isu-isu terbaru, bukan hanya menunggu Ramadhan berikutnya datang baru hendak digiatkan aktiviti penerangan mengenai pembebasan Masjidil Aqsa daripada cengkaman zionis.

Wakil Pahang , Encik Abd Bashir Abd Ghani bersyukur kerana hubungan baik di antara HALUAN Negeri Pahang dengan Majlis Agama Islam Pahang membolehkan HALUAN menjalankan aktiviti mengimarah Ramadhan di masjid-masjid dalam Pahang dan membenarkan kutipan dilaksanakan di bazar-bazar Ramadhan.

“Serta mereka juga bersetuju untuk memberikan kutipan Jumaat minggu ke 3 dalam bulan Ramadhan kepada HALUAN untuk tujuan ini. Huffaz yang datang ke sini sebelum ini sentiasa berhubung dengan AJK Negeri contohnya dari Gaza, mereka walaupun susah hendak keluar dan masuk Gaza tapi tidak serik untuk datang,” jelas beliau.

Wakil Pulau Pinang, Encik Abdul Halim Khudri bersyukur yang kedua-dua imam yang datang ke Pulau Pinang bukan sahaja boleh bertazkirah di masjid dan surau tetapi juga di bazar-bazar Ramadan. Dengan kehadiran mereka di bazaar, kutipan telah meningkat.

Turut berucap adalah wakil-wakil dari Johor dan Melaka. Sebagai penghargaan kepada para huffaz yang datang, HALUAN telah memberikan cenderahati dalam bentuk wang tunai dan kuih-muih tempatan. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam diiring oleh Pengarah Program Huffaz Ramadhan HALUAN, Encik Ahmad Shahbuddin Abu Bakar.

Di penghujung program, majlis diserikan lagi dengan persembahan nasyid dan qosidah yang merdu oleh para huffaz dari Palestin dan Syria. Nasyid tersebut memberi makna yang mendalam kepada semua yang hadir dalam program tersebut. Wakil urusetia program Ust. Ahmad Muhammed Jamallullail turut menyampaikan nasyid dalam bahasa arab.

Program ini berakhir dengan solat maghrib, isyak, tarawikh dan witir berjemaah diimamkan oleh para huffaz. Harapan kami, walaupun program ini telah berakhir, tugas kita tetap diteruskan dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat dan meneruskan kutipan dana dalam membantu saudara-saudara kita yang tertindas. Semoga program ini menjadi pemangkin dalam menggerakkan kerja-kerja kesukarelawanan dalam masyarakat. Semoga Allah menerima amal-amal soleh kita semua.

Laporan oleh SUK Biro HALUAN Palestin, Muhammad Musab Saari