fbpx

Kampung Mesilou Disantuni Pasca Bencana

Kampung Mesilou Disantuni Pasca Bencana

KUNDASANG, 11 Julai 2015 – Susulan Misi Kemanusiaan Gempa dan Banjir Ranau 2015, HALUAN Cawangan Sabah terus menggiatkan aktiviti yang dapat menjalin hubungan silaturrahim dengan penduduk di Kampung Mesilou. Sebelum ini, penduduk Kampung Mesilou telah mendapat bantuan yang disalurkan oleh HALUAN hasil sumbangan masyarakat semasa misi kemanusiaan tersebut dilaksanakan.

Sebagai aktiviti susulan, HALUAN Sabah dengan kerjasama sebuah NGO tempatan iReach Kasih telah mengadakan majlis berbuka dan bersahur bersama penduduk kampung berkenaan. Kesempatan ini turut diambil oleh HALUAN Sabah bagi memberi semangat dan motivasi kepada penduduk yang terlibat dengan bencana gempa bumi dan banjir lumpur.

Majlis itu telah dilaksanakan di Masjid Kampung Mesilou dengan kehadiran sekitar 50 orang penduduk kampung. Penduduk kampung juga telah bergotong-royong untuk memasak juadah berbuka menggunakan set dapur yang telah disumbang oleh HALUAN kepada masjid tersebut.

Majlis telah bermula pada jam 4.30 petang dan diakhiri dengan solat subuh keesokannya. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah majlis berbuka puasa, solat berjamaah, tazkirah, qiamullail dan majlis bersahur. Majlis ramah mesra sepanjang program berbuka puasa ini jelas telah dapat membina kasih-sayang dan rasa insaf di kalangan mereka yang hadir.

Semoga komitmen HALUAN Sabah dapat membangkitkan kembali semangat masyarakat Kampung Mesilou untuk meneruskan kehidupan seharian. Ikatan silaturahim yang berjaya dibina akan dipereratkan lagi dengan program-program susulan yang akan diatur.