fbpx

ASSAK77 & HALUAN Korban Lembu di Air Banun

ASSAK77 & HALUAN Korban Lembu di Air Banun

ASSAK77 & HALUAN Korban Lembu di Air Banun

AIR BANUN, GERIK, 15 Ogos 2019 — Persatuan Alumni Sekolah Menengah Sains Kedah (ASSAK 77) telah sudi menyumbangkan dua ekor lembu korban sempena Aidiladha 1440H lepas untuk penduduk perkampungan orangasli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun di sini.

Salah sebuah daripada lapan buah kampung tertua di RPS berkenaan, Kampung Air Banun, adalah tapak kerja aktiviti kemasyarakatan HALUAN cawangan Pulau Pinang yang tetap dan berterusan.

ASSAK77 telah sudi menjemput HALUAN untuk aktiviti korban pada tahun 1440H ini di mana tugas pelaksanaan korban dan kenduri untuk orang kampung telah diserahkan pengendaliannya kepada pihak HALUAN. Manakala kerja melapah dan mengagihkan daging berjalan lancar dengan kerjasama penduduk setempat. Pihak Yayasan EMKAY juga bermurah hati menyumbangkan seekor lembu lagi menjadikan tiga ekor semuanya.

Selain agihan daging untuk keluarga orangasli di empat buah kampung berdekatan, pihak ASSAK77 turut membantu proses memasak dan menghidang masakan tengahari untuk jamuan penduduk Kampung Air Banun dan Kampung Sungai Raba. Mereka turut dibantu oleh pasukan relawan pemuda kampung seramai 20 orang daripada pasukan bolasepak Banun FC.

“Kira-kira 25 orang relawan HALUAN dan ASSAK77 terlibat telah berkampung sejak petang 12 Ogos hingga hari korban pada 13 Ogos. Janji kami kepada ASSAK77 adalah kami akan membantu mereka melaksanakan program ini hingga selesai. Dan kami berjaya melaksanakannya dengan baik sekali. Syabas saya ucapkan kepada kesemua ahli HALUAN Pulau Pinang yang terlibat,” berkata Naib YDP 4 HALUAN Pulau Pinang, Encik Shukri Nordin di lokasi.

Aktiviti persiapan korban dan jamuan yang melibatkan gotong-royong penduduk kampung dengan relawan serta petugas dakwah Jabatan Agama Islam Perak berjaya mengeratkan silaratulrahim serta menceriakan lagi program yang diadakan.

Kampung-kampung orangasli yang telah menerima daging korban adalah kampung sasaran utama iaitu Kampung Air Banun, disusuli Kampung Sungai Raba, Kampung Kolam dan Kampung Bagan. Penyampaian daging tersebut telah dilaksanakan oleh wakil ASSAK77, Encik Mazlan Ayob.

Pemberian t-shirt berwarna biru “Kami Rakan HALUAN” kepada para pemuda pemain bola sepak Banun FC menambah mengeratkan lagi hubungan. Pasukan ini ditaja oleh Biro HALUAN Fitrah, sebuah biro khusus yang menangani golongan belum-Islam dan mualaf, dua tahun turut-turut.

Seorang ahli Banun FC, Hasinal Lahi, 18 tahun, amat teruja menceritakan pengalaman pertama beliau menyertai aktiviti Hari Raya Korban ini.

Menurut Hasinal, pengalaman yang paling manis sekali adalah ketika ditugaskan bersama pasukan pemuda kampung untuk membersihkan dan membasuh perut lembu yang mengambil masa selama dua jam di air Sungai Raba. Beliau yang juga merupakan lepasan SPVM bidang akuakultur berhasrat memulakan projek ternakan ikan air tawar yang bernilai tinggi di kampungnya.

“Saya berharap aktiviti korban sebegini dapat diteruskan lagi supaya penduduk kampung di sini akan terus menerus mendapat manfaat serta pengalaman yang berguna di masa akan datang,” katanya kepada wartawan HALUAN.

HALUAN ingin merakamkan jutaan terima kasih khususnya kepada ASSAK77, penduduk Kampung Air Banun dan Kampung Sungai Raba serta sukarelawan HALUAN dan juga kepada pembimbing dakwah kawasan daripada JAIP, Ustaz Mohd Bahari Latif, yang telah banyak membantu bagi menjayakan aktiviti Hari Raya Korban bagi tahun ini.


Laporan Ahmad Amzar Shukri, Biro Pemuda HALUAN P.Pinang