fbpx

Bakat Insan Gantian Modal di SEMAI 2015

Bakat Insan Gantian Modal di SEMAI 2015

Bakat Insan Gantian Modal di SEMAI 2015

BANDAR BARU BANGI, 16 Nov 2015 — Apa kata kalau istilah modal insan digantikan dengan “bakat insan” dalam melestarikan pencapaian yang lebih agung dalam penyelidikan dan kejayaan organisasi?

Mantan Naib Canselor UTeM, Prof Dato’ Dr Ahmad Yusoff Hassan dalam ucaptama beliau semasa Seminar Pembangunan Modal Insan ke-7 (SEMAI VII) menyarankan cendekiawan, teknokrat dan ahli akademik untuk menerokai penggunaan bakat insan sebagai gantian kepada modal insan. Beliau memberikan penekanan kepada pengurusan bakat insan yang merupakan kepentingan strategik dan faktor kejayaan bagi sesebuah organisasi yang dinamik. Beliau berharap agar penerapan ini akan mampu membina pemimpin generasi hadapan yang lestari serta memiliki daya saing yang tinggi.

SEMAI VII menyediakan platform perkongsian bagi mengetengahkan hasil kajian dan penyelidikan dari seluruh negara pada peringkat nasional. Pihak penganjur menaruh harapan agar hasil penyelidikan yang dibentang dan ide yang dilontarkan sepanjang seminar ini berlangsung dapat membuka jalan ke arah pembentukan masyarakat intelektual tinggi yang berakhlak mulia di samping mampu mencapai prestasi yang cemerlang di Malaysia dan seterusnya di persada dunia.

SEMAI VII dan Seminar Siswazah kali ke-2 ini telah dianjurkan secara selari oleh Akademi Penyelidikan HALUAN dan Biro Pengajian Tinggi HALUAN dengan kerjasama Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), KTD cawangan Kuala Lumpur (KTDKL) dan Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIP) pada 16 November lepas di KTDKL di sini.

Bertemakan “Integriti Pemangkin Generasi yang Mapan”, pihak penganjur berharap usaha ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang dinamik di Malaysia dalam melahirkan generasi yang mapan, mengamalkan budaya integriti di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Seramai 60 pembentang dan peserta yang terdiri daripada para penyelidik dari pelbagai IPT seluruh negara telah hadir untuk membentangkan hasil kajian dan penyelidikan mereka. Sebanyak 24 kertas kerja SEMAI dan 26 kertas kerja Seminar Siswazah yang meliputi pelbagai topik telah dibentang dalam lima sesi selari yang berlangsung.

Ucaptama kedua pada sebelah petangnya telah disampaikan oleh Prof Madya Dr Khairiyah Md Yusof, pengarah Pusat Pengajian Kejuruteraan UTM. Antara perkongsian menarik beliau adalah tentang kaedah pembelajaran berpusatkan pelajar ‘student centered learning’.

“Pelajar yang cemerlang dan mempunyai daya fikir yang tinggi hanya dapat dihasilkan daripada proses pembelajaran yang melibatkan interaksi secara dua hala di antara mereka dan tenaga pengajar dan penyelidikan. Saya ingin sarankan agar para pendidik lebih peka dengan kaedah ini serta sentiasa cuba menghadiri bengkel-bengkel teknik mengajar yang efektif dan produktif,” tambah beliau.

SEMAI VII telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abu Azam Md Yassin. Beliau berharap agar pertemuan sebegini dapat mengeratkan ukhuwah di kalangan para penyelidik seterusnya dapat menjalin kerjasama yang baik dalam menjayakan pembangunan modal insan di Malaysia.

KTDKL turut berbesar hati menerima sumbangan projek model wakaf dalam bentuk al Quran Juz-Amma oleh penyelidik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Roslan Ahmad. Selain pembentangan hasil penyelidikan akademik, SEMAI kali ini turut menerima beberapa kertas kerja berkaitan aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan NGO HALUAN dalam mendidik dan berbakti kepada masyarakat dan negara.

Salah seorang pembentang dari Universiti Malaysia Pahang, Dr Wan Faizal ketika ditemuramah berkata SEMAI merupakan suatu medan terbaik bagi ahli akademik terutamanya ahli-ahli HALUAN untuk membentangkan hasil dapatan daripada kerja-kerja khidmat masyarakat yang telah dijalankan, di samping membuka peluang untuk perbincangan dan perbahasan bagi meningkatkan kualiti khidmat masyarakat di masa hadapan.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman. Beliau mengupas dua punca kelemahan umat Islam hari ini sama ada dari segi kekuatan politik, ekonomi, intelektual, pengurusan mahupun sosial adalah kerana lemahnya iman dan akhlak. Beliau mengajak hadirin untuk kembali kepada penghayatan al-Quran di dalam kehidupan nescaya kelima-lima kekuatan umat itu akan terbina dengan sendirinya.


Laporan oleh Wan Nuha Wan Mansor, Setiausaha SEMAI VII