fbpx

Peningkatan Transformasi Dalam JDK Kali Ke-8

Peningkatan Transformasi Dalam JDK Kali Ke-8

Peningkatan Transformasi Dalam JDK Kali Ke-8

SHAH ALAM 16 Dis 2016 – Kursus Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja atau singkatannya JDK kini memasuki transformasi berskala besar dalam menyediakan barisan remaja lelaki dan wanita yang berpotensi tinggi dalam dakwah dan kepimpinan di pelbagai situasi.

JDK Kepimpinan yang julung kali khas diadakan ini telah berlangsung di Kem Bumi Jati, Shah Alam dan dihadiri seramai 200 pelajar lepasan SPM dari seluruh negara. Mereka daripada beberapa buah sekolah angkat HALUAN itu diberi latihan intensif kepimpinan selama seminggu dari 10–16 Disember 2016. Kemuncaknya, kumpulan pelajar ini akan bergabung dengan JDK 2016 peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 17–24 Disember nanti di beberapa lokasi seluruh negara.

Perasmian penutup JDK Kepimpinan 2016 ini telah disempurnakan oleh Ustaz Ruslan Said, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), mewakili Ketua Pengarah JAKIM. Dalam ucapan beliau, yang sangat relevan kepada kita dalam konteks mendidik jiwa, katanya, “Apabila membasuh pinggan, kita akan memiliki dua kebaikan. Pertama, pinggan itu bersih. Kedua, tangan kita pun bersih. Begitulah kehidupan kita, semasa kita mengajak orang lain ke arah kebaikan, kita sebenarnya membersihkan diri kita pada masa yang sama.”

Beliau juga menyatakan bahawa JAKIM amat menyanjung usaha HALUAN dalam pendidikan generasi akan datang. JAKIM melalui pesanan Tan Sri Ketua Pengarahnya akan sedaya upaya menyalurkan apa jua kemudahan atau bantuan kepada HALUAN dalam merealisasikan agenda untuk ummah ini. Turut hadir semasa perasmian ialah Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman; Ketua Biro Pengajian Tinggi merangkap Pengarah Induk JDK 2016, Prof. Madya Dr. Solehuddin Shuib; dan YDP HALUAN Selangor, Encik Zainusham Yusuf.

Di dalam kursus ini, para pelajar didedahkan dengan beberapa modul antaranya Modul Anjakan Paradigma, Modul Khidmat Masyarakat, Modul Dakwah dan lain-lain lagi. Remaja, dalam kapasiti mereka sebagai individu yang menyampaikan Islam kepada sesiapa sahaja, perlu mempunyai jati diri yang utuh dan semangat relawan yang jelas. Memberi khidmat adalah salah satu kesungguhan yang dituntut daripada seorang pendakwah. Menyantuni masyarakat umpamanya, adalah sikap yang perlu dibentuk dan diasuh sejak usia muda. Kemahiran berkomunikasi adalah satu kemestian sekiranya ingin menjadi pemimpin. Manakala akhlak yang baik adalah kunci di dalam berdakwah.

Bermula 17 hingga 24 Disember ini, JDK 2016 peringkat kebangsaan pula akan berlangsung di beberapa lokasi antaranya Zon Utara di Kem Paya Pahlawan, Jitra, Kedah; Zon Timur di Kem Sri Chap, Kelantan, di Kem PLKN, Padang, Kacong, dan di SM Agama Al Ihsan, Kuantan, Pahang; Selatan di Kem Dayang, Pekan Nanas, dan Institut Pemantapan Dan Perkaderan Akidah Malaysia (IPHAM), Jelebu, Negri Sembilan; dan Zon Tengah di MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor. Manakala Zon Sabah telah melaksanakannya lebih awal pada 7 November lepas.

HALUAN menggenggam inisiatif pendidikan remaja serta menyelami transisi kehidupan mereka dalam kehidupan yang kian mencabar ini. JDK yang telah mencapai usia penganjuran ke 8 akan terus diperkemaskan seiring dengan cabaran mendatang. Kami turut terharu dengan kesungguhan banyak pihak seperti JAKIM, Agensi Kerajaan Persekutuan, semua Majlis Perbandaran dan Kerajaan Tempatan, Surau-surau dan Masjid-masjid dan yang paling kami kasihi, ibubapa serta seluruh rakyat Malaysia yang tidak jemu-jemu berkongsi pandangan dan cadangan demi kecemerlangan duniawi dan ukhrawi anak-anak kita.


Laporan oleh Setiausaha JDK 2016, Nur ‘Izzat Nur Arif