fbpx

Rumah Mangsa Gempa Dibina

Rumah Mangsa Gempa Dibina

Rumah Mangsa Gempa Dibina

PIDIE JAYA, ACEH, 24 Dis 2016 — Hasrat HALUAN untuk membina Rumah HALUAN Barakah, rumah perlindungan sementara untuk mangsa gempabumi yang dhaif di sini hasil derma ikhlas masyarakat awam Malaysia telah dimulakan di Desa Tampui.

Menurut Ketua Biro Misi Kemanusian HALUAN, Dr Baharudin Suri, untuk Fasa 1, HALUAN akan membina 10 buah rumah berkenaan dengan fasa berikutnya dilaksanakan mengikut kemampuan dana yang terkumpul.

“Kami hanya membantu menyalurkan bantuan teknikal untuk meringankan sedikit derita mereka. Ini tidak mungkin kami laksanakan tanpa derma ikhlas daripada masyarakat kita di Malaysia yang prihatin,” ujar Dr Baharudin.

Pada 26 Disember lepas, pihak urusetia Misi Kemanusiaan Gempa Aceh (MKGA) telah menghantar pasukan ketiganya ke Pidie Jaya diketuai Encik Kamal Abdullah, seorang kontraktor binaan untuk memantau kerja-kerja pembinaan tersebut.

Selain daripada memantau pembinaan Rumah HALUAN Barakah tersebut, anggota pasukan 3, MKGA itu yang berada di kawasan gempabumi turut membuat tinjauan ke atas kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan untuk membantu penduduk yang terkesan dengan bencana gempabumi pada 7 Disember itu. Pengalaman di lapangan itu akan dapat membantu pihak HALUAN untuk bergerak dengan lebih efektif menangani bencana tragedi kemanusiaan di seluruh dunia.

Di antara usaha yang dijalankan pihak berwajib ialah meruntuh dan membersihkan bangunan-bangunan dan rumah yang rosak dan tidak selamat diduduki dan diganti dengan khemah perlindungan sementara sebelum rumah kekal dibina. Khemah dan bangunan sementara juga dibina untuk dijadikan kelas belajar dan musolla menggantikan sekolah, masjid dan madrasah yang rosak.

Dari masa ke semasa, HALUAN akan menyalurkan berita terkini perkembangan aktiviti misi kemanusiaan Gempabumi Aceh. Sumbangan berterusan dalam bentuk dana sangat diperlukan untuk membantu mangsa menjalani hidup seperti biasa.

Sehingga kini, gegaran susulan masih berlaku dan para penduduk sentiasa berwaspada. Situasi yang tidak menentu ini menjadikan kehidupan seharian mereka terhenti dan terpaksa bergantung kepada bantuan daripada pihak berwajib dan badan-badan kebajikan. HALUAN sebagai sebuah NGO kebajikan akan sentiasa membantu mengikut kemampuan dana yang ada yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia.

Teruskan sumbangan anda kepada:-

Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
5622 6350 2611
Maybank

Sila email slip/resit sumbangan dengan tajuk [Aceh] ke unit.kewangan@haluan.org.my
Tel: +603 8926 8892
Fax: +603 8926 6892
Emel: info@haluan.org.my


Laporan oleh Ab Halim Khudri, Urusetia Misi Kemanusiaan Gempa Aceh (MKGA)