fbpx

Terkini Misi Bantuan Banjir 14 Disember ‘07

Terkini Misi Bantuan Banjir 14 Disember ‘07

Terkini Misi Bantuan Banjir 14 Disember ‘07

Sehingga 14 Disember, 17 kematian telah dilaporkan sepanjang musibah banjir yang melanda enam negeri sejak sejak minggu lalu. Seramai lebih 29,000 orang telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.

Beberapa jalan utama, termasuk Lebuhraya Pantai Timut (LPT) antara Temerloh dan Lanchang, masih ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air. Sementara Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kelantan ditutup kepada kenderaan ringan. Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, 54 laluan kampung di Kelantan di tenggelami air. Di Pahang, daerah Bera masih lagi tidak dapat dimasuki kenderaan dan terputus hubungan.

Relawan-relawan HALUAN tempatan dan dari negeri-negeri lain kini sangat aktif turun ke lapangan membantu mangsa-mangsa banjir. Tumpuan operasi bantuan adalah di negeri-negeri Kelantan, Pahang dan Johor.

Di Pahang, satu kumpulan 6 orang relawan telah berkhidmat di Pusat Penempatan Banjir Dewan Sri Melati di Penjara Penor sejak awal pagi. Mereka juga telah mengadakan ceramah motivasi di dewan tersebut. Sementara itu, beberapa kumpulan relawan medik dari Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Pahang dan KKH cawangan luar turut berbakti di kawasan Temerloh, Maran dan Chenor. Satu kumpulan medik dengan 7 anggota membantu mangsa-mangsa di Chenor. Rawatan kesihatan kepada mangsa-mangsa banjir juga diadakan di Sekolah Menengah Seberang Temerloh, diketuai oleh Dr Azman dari KKH Terengganu dan relawati-relawati dari HALUANITA. Satu lagi kumpulan relawan seramai 5 anggota bergerak ke kawasan banjir di Ubai.

Di Kelantan, relawan dari KKH Kelantan telah mengadakan khidmat rawatan kesihatan di Pusat Pemindahan PASTI, Kg Kedai Buloh, DUN Kijang. Pasukan yang diketuai oleh Dr Arif ini juga telah memberikan khidmat yang sama di Pusat Penempatan Sekolah Kebangsaan Indera Putera, Kota Bharu. Satu kumpulan relawan lain telah menziarahi pusat penempatan di JKR 10, Kg Sireh, DUN Bunut Payong dan Pusat Banjir Negeri di pejabat SUK Negeri. Menurut laporan relawan HALUAN, setakat jam 10 malam tadi, keadaan banjir di Kota Bharu semakin surut, tetapi paras air di sungai-sungai di Kuala Krai, Jeti dan Gua Musang semakin naik.

Di Johor, bantuan perubatan dan ceramah-ceramah motivasi bertumpu kepada kawasan-kawasan banjir di Segamat dan Johor Bharu. Relawan-relawan medik dari KKH yang diketuai Dr Arba’in telah berbakti di Johor Bharu, sementara relawan medik di Segamat diketuai oleh Dr Samsul. Seramai 15 orang relawan dari pelbagai daerah luar negeri Johor, termasuk HALUAN Pulau Pinang, Selangor dan Kedah kini bergerak ke Segamat. Manakala Ketua HALUANITA, Prof Madya Dr Wan Muhaizan, bersama-sama kumpulan medik KKH dan HALUANITA juga bergerak ke Segamat.