fbpx

Terkini Banjir: Sabtu 15 Disember ‘07

Terkini Banjir: Sabtu 15 Disember ‘07

Terkini Banjir: Sabtu 15 Disember ‘07

Hujan lebat di pendalaman Kelantan menyebabkan keadaan banjir di negeri ini semakin buruk. Paras air di Sungai Golok kini berada di tahap bahaya dan semakin meningkat. Sehingga pukul 9 malam tadi, hampir 3500 orang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir di Kelantan.

Sementara di Pahang, keadaan di beberapa tempat semakin buruk, terutamanya di daerah Pekan. Laluan dari Pekan ke Kuantan kini ditutup kepada semua kenderaan. Lebih 19,000 orang kini dipindahkan ke pusat-pusat penempatan banjir seluruh negeri Pahang.

Pasukan relawan HALUAN dan juga medik dari Kelab Kesihatan HALUAN telah berjaya sampai ke kawasan banjir di Pekan dengan menaiki bot angkatan tentera. Perjalanan menaiki bot selama 45 minit tersebut telah diketuai oleh YDP HALUAN Pahang, Hj Ramli Ngah.

Relawan di Pekan telah bertugas di Mukim Ganchong. Hj Ramli telah dibantu oleh Dr Asmarawati dan relawan-relawan lain berkhidmat di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Ganchong, di mana terdapat 250 orang mangsa banjir menginap. Sementara di pusat pemindahan Sekolah Agama Ganchong terdapat 150 orang mangsa banjir. Kedua-dua pusat penginapan tersebut kini dinaiki air setinggi satu meter menyebabkan penghuni terpaksa menginap di tingkat 2 bangunan.

Relawan juga telah pergi ke sebuah rumah mangsa yang enggan berpindah dengan menaiki bot. Terdapat 2 pesakit darah tinggi di rumah tersebut.

YDP HALUAN Pahang yang mengetuai misi bantuan di Pekan, Hj Ramli Ngah, telah sempat menziarahi Pejabat Daerah Pekan bagi memaklumkan kehadiran pasukan bantuan relawan HALUAN. Beliau telah disambut oleh En Shahid, pegawai dari Bahagian Kebajikan.

Malam tadi, relawan HALUAN telah membantu menyiapkan pusat pemindahan baru di Sekolah Agama Tengku Ampuan Fatimah. Dijangka 400 hingga 500 orang mangsa banjir akan berpindah ke pusat tersebut.

Di Temerloh pula, relawan HALUAN bersama pasukan medik Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) telah berkhidmat di Kg Batu Kapor, Mentakab. Seramai 28 orang pesakit mendapat rawatan. Mereka hanya berjaya memasuki kawasan tersebut dengan menggunakan bot.

Di Johor, ramai mangsa banjir dilaporkan berada di Simpang Loi. Kawasan ini terputus hubungan sejak 5 hari lalu. Seramai 15 orang relawan HALUAN beserta medik telah sampai untuk berkhidmat di kawasan tersebut dan juga kawasan pendalaman di Padang Kiambang dengan menaiki trak angkatan tentera.

Bantuan medik di Johor kini dibahagikan kepada 3 kumpulan. Bantuan di kawasan Pogoh di ketuai oleh Dr Fauzanah manakala Dr Wan Muhaizan, yang juga merupakan Ketua HALUANITA, mengetuai bantuan medik di kawasan Simpang Loi. Dr Suraya memimpin bantuan medik di kawasan Batu Enam dan Tedong. Dilaporkan mereka telah membantu dan memberi rawatan kepada 250 orang pesakit dari kalangan mangsa-mangsa banjir.

Sementara relawan-relawan umum HALUAN terus memberikan bantuan seperti kerja-kerja pembersihan sekolah dan kaunseling. Mereka juga mengadakan sesi-sesi motivasi untuk membantu mangsa-mangsa menghadapi suasana tekanan dan emosi akibat musibah banjir.