fbpx

Tawaran Istimewa Yang Kekurangan Pelanggan

Tawaran Istimewa Yang Kekurangan Pelanggan

Tawaran Istimewa Yang Kekurangan Pelanggan

Sekiranya manusia mengetahui nilai ganjaran yang akan diperolehi terhadap amalan-amalan ini umpama diperlihatkan kepada mereka gaji atau ganjaran yang diterima pada setiap hujung bulan, nescaya mereka akan berusaha sedaya upaya untuk merebutnya, bahkan mereka terpaksa membuat giliran untuk membuat agihan kepada orang–orang yang ingin mendapatkan peluang seperti itu.

عَن اَبِي هُرَيْرَةَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال : لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ والصَّفِّ الأَوَلِ ثمَُّ لمَْ يجَِدُوْا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوْا عَلَيْهِ وَلَوْ يَعْلَمُوْنَ مَا فِي التَّهْجِيْرِ لاَسْتَبَقُوْا إِلَيْهِ وَلَوْ يَعْلَمُوْنَ مَا فِي الْعَتَمَةِ وَالصُّبْحِ لَأَتَْوهُمَا وَلَوْ حَبْوًا .
(متفق عليه)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawasanyaRasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda : Sekiranya manusia mengetahui betapa besarnya pahala azan dan menepati saf pertama dalam solah berjemaah, kemudian mereka tidak menemukan jalan untuk memperolehinya melainkan dengan membuat undi (giliran) nescaya mereka akan berbuat demikian. Begitu juga seandainya mereka mengetahui betapa besarnya pahala bersegera ke masjid untuk meunaikan solah secara berjemaah nescaya mereka akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Demikian juga seandainya mereka mengetahui betapa besar pahala solah Isyak dan Subuh secara berjemaah, nescaya mereka akan datang untuk menghadirinya sekalipun mereka terpaksa berjalan dengan merangkak-rangkak.
(Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Seruan azan, menepati saf pertama dalam solah berjemaah, bersegera menunaikan solah ke masjid dan mengerjakan solah Isyak dan Subuh secara berjemaah adalah di antara amalan yang akan diberikan pahala yang amat besar sekali pada hari Kiamat nanti. Sekiranya manusia mengetahui nilai ganjaran yang akan diperolehi terhadap amalan-amalan ini umpama diperlihatkan kepada mereka gaji atau ganjaran yang diterima pada setiap hujung bulan, nescaya mereka akan berusaha sedaya upaya untuk merebutnya, bahkan mereka terpaksa membuat giliran untuk membuat agihan kepada orang–orang yang ingin mendapatkan peluang seperti itu.

Namun, malangnya pada realitinya bukannya begitu. Banyak orang yang tolak menolak dalam melaksanakan amalan-amalan ini. Kita sering terserempak dengan fenomena seperti terkadang kalau ternampak saf pertama atau saf hadapan itu kosong ketika menunaikan solah secara berjemaah, yang seorang mempersilakan orang lain untuk memasukinya dan yang lain pun begitu juga. Padahal dalam masalah seperti ini makruh hukumnya kita mendahulukan orang lain. Sepatutnya kita kena berebut dan jangan abaikannya kerana ia adalah satu peluang yang sangat besar sebenarnya.

Sebenarnya, amalan-amalan yang disebut dalam hadis di atas, membicarakan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kesempurnaan solah yang merupakan tiang kepada agama Islam. Selain itu, ia juga berkaitan dengan solah secara berjemaah yang merupakan syiar bagi orang Islam. Justeru, amalan-amalan ini sangat penting untuk diperkemaskan dan disempurnakan dengan sebaik mungkin. Jika kita menoleh ke belakang, dengan melihat apa yang berlaku pada zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, tidak ada sahabat yang ketinggalan dari menghadiri solah secara berjemaah bersama-samanya selain daripada orang munafik atau orang yang berada dalam keuzuran.

Tetapi, berbalik kepada realiti yang ada pada hari ini, banyak masjid–masjid besar kosong dari solah berjemaah dan banyak pula masjid-masjid yang hanya dihadiri oleh orang-orang tua dan pegawai-pegawai masjid sahaja. Malah yang lebih teruk lagi, ada juga masjid yang tidak sampai satu saf orang yang hadir solah berjemaah di dalamnya. Oleh itu, marilah sama-sama kita memakmurkan masjid dan menegakkan syiar umat Islam di muka bumi Allah SWT selaku khalifah yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk mengajak manusia supaya kembali mengambil syariat Islam yang telah ditegakkan sejak zaman dahulu lagi.

Sebenarnya, untuk merebut tawaran yang semakin kekurangan pelanggan ini terutamanya pada zaman sekarang, tidak dapat tidak bagi mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan dalam keagamaan dan diberikan kefahaman yang jelas tentang Islam hendaklah sama-sama bergembeling tenaga, masa, wang ringgit untuk turun ke padang bersama masyarakat yang semakin kepincangan akhlaknya. Masyarakat pada hari ini sangat memerlukan perhatian dan petunjuk ke jalan yang benar daripada golongan cerdik pandai untuk membimbing mereka ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Bagi kita yang diberikan kesedaran dan kefahaman tentang Islam maka menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengajak manusia kepada amal ma’aruf nahi mungkar.

Justeru, saya mengajak diri saya dan semua umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah supaya sama-sama kita berlumba-lumba mengerjakan amal ibadat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan mudah-mudahan dengan cara ini kita dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, sudah tentu Allah SWT akan dekat dengan kita, tetapi sebaliknya sekiranya jika menjauhkan diri dengan Allah SWT nescaya Allah SWT menjauhkan diri daripada kita. Marilah sama-sama kita merebut tawaran istimewa yang kekurangan pelanggan ini. Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kepada kita kekuatan untuk terus istiqamah melaksanakan segala perintah dan suruhanNya dalam rangka untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Susunan : Ustaz Mohd Khusyairie Marzuki
Sarjana Muda Kepujian Usuludin (Al Quran & Hadith)
Universiti Malaya.