fbpx

Tajribah JDK: Sekarang Baru Ku Tahu

Tajribah JDK: Sekarang Baru Ku Tahu

Tajribah JDK: Sekarang Baru Ku Tahu

SHAH ALAM, 10 Februari 2013 – Sebagai anak sulung daripada enam adik-beradik, sifat dominan semestinya ada. Farah Nadhirah Fakhrul Anuar, 17, tidak terlalu kekok menjejak kaki ke Kursus Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja (JDK) ke-4 yang dilancarkan di Kem Bumi Jati di sini.

Bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga Bangi itu dianjurkan hadir ke kem tersebut oleh makciknya sendiri. Selama seminggu di kem tersebut, tidak ramai yang kenali sehinggalah masuk minggu kedua, ukhwah sesama peserta semakin akrab terjalin menghangatkan hubungan kasih-sayang di antara mereka.

“Saya pula ditugaskan menjadi ketua kumpulan. Nak tak nak kena berani berinteraksi walaupun agak malu mulanya,” Farah Nadhirah memberitahu wartawan mediaHALUAN. Ayahnya berkerja sendiri sementara emaknya dekan perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia, Pandan. Pendedahan berharga bagi dirinya adalah bila dapat berkenalan rapat dengan peserta lain serta kakak-kakak fasilitator. “Kat sekolah dulu memang suasana agak sosial. Macam tiada batasan pergaulan kami. Ramai juga kawan-kawan saya jenis “free hair”. Dengan penyertaan saya di kem ini, serba sedikit ilmu tentang akhlak Islam saya tertingkat.”

“Saya teringin nak berdakwah sebenarnya. Di sekolah dulu ada juga saya berdakwah dan ada kawan-kawan yang tersedar, tapi takat itu saja. Saya tidak berani buat lebih daripada itu. Sekarang selepas hadiri dua minggu di JDK ini, saya menjadi lebih yakin,” katanya tersenyum manis berlesung pipit.

Ditanya bagaimana hendak berdakwah di kampus nanti, dia berkata, “saya nak cari akak-akak HALUAN nanti. Saya sedar saya tak akan keseorangan lagi”. Beliau yang berjurusan akaun semasa SPM ingin menjadi seorang pensyarah matematik satu hari nanti. “Dulu saya tidak meminati matematik langsung sehingga ayah sabar mendidik saya untuk sukainya. Tanggungjawab anak sulung besar. Adik-adik saya ramai dan meminati hiburan seperti dari Korea. Akan saya didik mereka sikit demi sikit agar lebih meminati Islam”.

Ditanya apakah content paling berharga semasa di JDK, Farah menjawab, “sahsiah Islam. Ini yang akan saya bekalkan di kampus nanti. Saya berazam mengajak penuntut Melayu lain supaya kembali kepada Islam”.

“Mula-mula saya masuk ke JDK ini rasa macam tak ngam. Ramai budak aliran agama di sini dan saya pula sekolah biasa. Tetapi lama-kelamaan suasana bertukar menjadi mesra, macam bersaudara. Ayah berhasrat sangat saya sertai JDK ini tapi saya yang tidak mahu. Mulanya saya memberontak tetapi parents saya pujuk juga. Hati tidak seronok tapi sekarang baru saya tahu hikmahnya ikuti program khas HALUAN untuk lepasan SPM ini. Saya kagum berkawan dengan rakan sebaya yang menghafal Quran. Saya sendiri hafal sikit-sikit namun teruja dengan kesungguhan mereka mendampingi Quran. Bagi saya, kawan-kawan sebeginilah yang saya cari. Alhamdulillah, ada hikmahnya saya sertai JDK ini. Saya nak orang lain pun menikmatinya nanti,” kata Farah lagi.

Bagi Abdullah Azim Khairuddin, 18, beliau juga tidak gemar menyertai JDK pada awalnya. “Perasaan saya memang tak nak join. Rasa macam nak dok kat rumah lagi best, cari kerja dan dapat sedikit pengalaman. Tapi ayah dan mak suruh juga datang,’’ kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Beliau pernah dengar tentang JDK di radio IKIM dan membaca berkenaannya. “Terasa macam terangsang sikit. Tapi sekarang dah masuk minggu kedua memang saya rasa tidak menyesal langsung dah. Masuk minggu kedua semua jadi best,” katanya kepada wartawan mediaHALUAN.

Pelajar lepasan Sekolah Menengah Sains ini bercita-cita menjadi seorang jurutera lulusan luar negara. Abangnya belajar bidang perubatan di Kahirah, Mesir. “Content JDK paling berharga adalah kerapatan ukhuwah sesama peserta dan juga fasilitator dan pakcik-makcik HALUAN yang bertugas di sini. Saya juga dapat mempertingkatkan kualiti solat berjamaah. Saya yakin kita jadi kuat bila ramai di kalangan kita ini terdiri daripada kawan-kawan yang soleh.”

“Di sekolah lama saya kawan-kawan saya bermacam perangai. Ada yang baik, ada yang nakal. Di JDK tidak kedengaran lagi ungkapan-ungkapan lucah dan saya merasa lega. Ukhuwah sini terjaga begitu juga akhlak yang murni. Saya agak terkejut bersama budak-budak baik sebegini, juga abang-abang fasilitator yang baik.”

“Saya seorang pemalu dan agak senyap sebenarnya. Tapi JDK telah menggilap saya untuk boleh berani bercakap di hadapan, sesuatu yang tak pernah saya duga dapat buat. Saya gemar topik public speaking kerana itulah kelemahan saya yang ketara. JDK telah beri nilai pada diri saya. Kini saya lebih yakin untuk menggalakkan kawan-kawan saya berbuat baik,” katanya lagi.

Bagi Abdullah Azim, adiknya yang masih di tingkatan tiga akan digalakkan untuk sertai JDK bila sampai masanya nanti. Sebagai remaja yang sedang membesar, beliau tidak sunyi dengan tarikan duniawi sekeliling. Futsal, permainan komputer, internet, Facebook serta Twitter kini akan bergema dengan nada syuur Islam dan keinsafan.

“Saya nak jadi jurutera aeronautik atau awam. Saya impikan gelaran Ir. Islami. Nasihat saya kepada adik-adik sekolah, kalau hendak mengubah diri, datanglah ke JDK ini. Kita tambah ilmu, fahami dakwah dan bergaul dengan peserta-peserta dari sekolah agama. Suasananya sangat elok untuk membentuk minda kita ke arah kebaikan”, katanya lagi.

Ditanya samada dia akan mencari abang-abang HALUAN di kampus nanti, jawabnya “sudah pasti”.

Kepada HALUANSiswa kampus dalam dan luar negara, bersiap sedialah menerima adik-adik alumni JDK ini.


Laporan oleh: MediaHALUAN