fbpx

Tajribah JDK: Tudung Oh Tudung

Tajribah JDK: Tudung Oh Tudung

Tajribah JDK: Tudung Oh Tudung

SHAH ALAM, 10 Februari 2013 – Bagi Siti Sarah Shamsul Anuar, 18, berat hatinya hendak sertai Kursus Jati Diri & Kesukarelawanan Remaja (JDK) ke-4 yang dilancarkan di Kem Bumi Jati di sini.

“Ayah saya melihat promo JDK ini dalam TV Hijrah dan menggesa saya pergi. Dia rasa macam bagus selepas mendengar penjelasan dua orang panelis HALUAN Malaysia di kaca TV. Mulanya saya tak nak sebab tiga minggu terasa lama sangat. Saya lebih rela lepak di rumah dan main komputer kerana itu kegemaran saya. Saya pun search JDK di YouTube; nampak macam best juga,” jelas Siti Sarah menceritakan rasahati awal terhadap program bertatangkan remaja ini.

Anak remaja bermata jeli ini berasal dari Setapak, Kuala Lumpur, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah, sudah terbiasa hidup dalam arus moden serba berteknologi tinggi dan tidak pernah tinggal di asrama.

“Sesampai di kem kampung ini, saya mulanya rasa sedih, tidak pernah hidup di asrama, semua mak ada nak bantu, tak pernah basuh baju sendiri. Orang lain pun macam tak dikenali sangat. Hati ini ada sedikit memberontak. Itu cerita dululah,” katanya tersenyum kepada wartawan mediaHALUAN.

Anak keempat daripada enam beradik ini memegang janji dengan ayahnya, 46 tahun, bahawa dia harus cekal membekal diri untuk masuk ke menara gading nanti. Apa taknya, abang dan kakaknya semua sudahpun merantau keluar. Abang sulung sedang belajar medic di UIA Kuantan, kakak pertama di Amerika Syarikat dan kakak kedua sedang mengambil pergigian di UiTM Sungai Buloh. Jadi, Siti Sarah harus menjejaki jalan yang sama.

“Cita-cita saya nak jadi multimedia designer. Saya ajak juga kawan-kawan saya yang lain join sama tapi masing-masing ada alasan. Antara tajribah penting yang saya perolehi daripada JDK ini adalah macam mana nak disiplin diri, ikhtiar berdikari dan fikir yang positif. Masa nak masuk ke IPT, saya kena bijak kenali orang lain. Masa di sekolah saya dulu, tak ada pelajar perempuan yang bertudung labuh macam di kem ini.”

“Di sekolah dulu saya seorang saja yang pakai stokin tapi di sini tak; semua orang berstokin menjaga aurat sungguh-sungguh. Saya ni kan kaki computer, jadi saya pun mulalah cari kawan-kawan yang suka pakai stokin (menjaga aurat). Saya sangat gembira sekarang. Saya terkejut juga berjumpa kakak-kakak fasilitator sini yang solehah sangat. Macam kakak sendiri. Sekarang saya rasa diterima oleh semua rakan peserta dan sebati dengan JDK ini,” rujuk beliau kepada siswi-siswi daripada Kelab Siswa HALUAN. “Dulu saya tak bergaul sangat dengan rakan sebaya yang bertudung labuh, walhal mereka peramah dan baik. Di sini mereka menerima saya seadanya,” katanya tersenyum puas, anggun memakai tudung labuh berwarna hitam.

Ditanya apa yang mengesani jiwanya setakat lebih dua minggu di kem, “Anjakan paradigma! Saya masih teringat pesanan motivator Haji Ibrahim Abdul Rahman – bahawa di sebalik setiap musibah yang menimpa diri ini, ada hikmahnya. Dengan syarat kita segera mencari kesalahan diri dan menjadi lebih rapat dengan Allah SWT. Ini pesanan yang berharga untuk diri saya”.

Beliau mensasarkan IPT tempatan untuk dirinya dan akan memastikan adik-adiknya juga nanti akan sertai JDK ini bila tiba masanya. “Saya sendiri akan hubungi kakak-kakak HALUAN di IPT nanti, insyaAllah”.

Kepada kakak-kakak di Kelab HALUAN Siswa, sudilah terima Siti Sarah dan seangkatannya untuk bersama berbakti kepada Allah SWT.


Laporan oleh: MediaHALUAN