Tahniah Atas Kemenangan PH Dan Pelantikan Sebagai Perdana Menteri
YAB Tun Dr Mahathir Mohamad,
TAHNIAH ATAS KEMENANGAN PH DAN PELANTIKAN SEBAGAI PERDANA MENTERI
Terlebih dahulu didoakan semoga YAB Tun dan isteri berada dalam keadaan sihat sejahtera sentiasa.
2. Saya dan seluruh pimpinan dan ahli Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan PH serta pelantikan YAB Tun sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7 dan seterusnya membentuk kerajaan Malaysia yang baru.
3. Kami percaya dengan pengalaman sejak lebih lima dekad dalam politik negara sehingga menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, Yang Amat Berhormat Tun akan dapat memimpin dan memacu negara serta rakyat menuju ke arah kesejahteraan, kemakmuran, keamanan dan kestabilan. Hatta meletakkan semula Malaysia pada mercu yang tinggi dan dihormati di persada dunia.
4. Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai kira-kira 4,000 ahli lepasan pelbagai institusi pendidikan, kami berharap kerajaan baru pimpinan YAB Tun membawa Malaysia menjadi negara maju dengan model yang tersendiri melalui pengemblengan semua sektor khususnya NGO sebagai sektor ketiga di samping Sektor Awam dan Sektor Swasta. Kami juga amat mengharapkan agar kerajaan akan terus menyokong dan mengiktiraf peranan NGO dalam pembangunan masyarakat dan negara, mempromosi kebebasan bersuara serta meningkatkan penglibatan rakyat Malaysia khususnya generasi muda dalam kegiatan kesukarelawanan dan kemasyarakatan.
5. Kami menyertai seluruh rakyat Malaysia mendoakan semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan kesihatan kepada YAB Tun untuk memimpin negara dan rakyat Malaysia bagi membina masa depan negara, bangsa dan agama yang lebih telus, berintegriti, bermaruah, cekap dan cemerlang.
Sekian, terima kasih.
Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden,
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)