fbpx

Kursus Kepimpinan Pengawas Sekolah Angkat HALUAN

Kursus Kepimpinan Pengawas Sekolah Angkat HALUAN

Kursus Kepimpinan Pengawas Sekolah Angkat HALUAN

BACHOK, 12 Mei 2018 – HALUAN dan Majlis Pengetua, Institut Pengajian Swasta HALUAN buat julung kalinya telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Kebangsaan 2018 khas untuk kepimpinan pengawas sekolah selama empat hari di Kem Sri Chap, Bachok, Kelantan.

Seramai 36 orang kepimpinan pengawas sekolah daripada enam buah sekolah angkat HALUAN iaitu Maahad at-Tarbiah al-Islamiah (MATRI), SM Ibn Khaldun (SMIK), SMA Kg Laut (SMAKL), SM Islam As-Syddiq (SMIAS), SMA Ibrah (IBRAH) dan Maahad Tahfiz Sains Darul Muttaqin (MASDAR) telah menyertai kursus ini. Kursus yang bertemakan “Islah Nafsaka, Wad’u Ghairaka” ini bertujuan melahirkan dan membentuk kepimpinan pelajar yang berwibawa dan serba boleh dalam membantu pentadbiran sekolah. Hal ini bertepatan dengan matlamat dakwah dan tarbiah untuk melahirkan pemimpin khairul ummah dengan segala kompetensinya.

Kem Komandan, Encik Burhanudin Mohd Amir memberikan taklimat kursus, seterusnya memulakan aktiviti ice breaking, team building dan juga mindsetting. Para peserta berpeluang untuk saling mengenali dan membina jaringan ukhuwah serta kerjasama antara satu sama lain.

Hari kedua Kursus Kepimpinan ini dimulakan dengan Slot 1 yang bertajuk “Kepimpinan Islam” yang disampaikan oleh Setiausaha Kerja HALUAN Pulau Pinang, Encik Mohamad Shahril Mat. Beliau telah mengupas tentang kualiti seorang pemimpin Islam dan bagaimana membina kualiti tersebut dalam kepimpinan sekolah. Kursus diteruskan dengan taklimat dan persediaan modul Outreach yang akan dilaksanakan pada hari ketiga oleh Ketua Fasilitator, Encik Mohd Afham Mohd Ariff. Pada sesi petang program Perkongsian Pintar berjalan di mana para peserta berkongsi dan bertukar idea tentang dua buah program istimewa yang telah dilaksanakan di peringkat sekolah masing-masing.

Sesi malam diteruskan dengan Slot 2 iaitu Bicara Tokoh menampilkan Timbalan YDP HALUAN Kelantan, Ustaz Mahamed Senik. Para peserta didedahkan tentang contoh-contoh kepimpinan yang telah dibawa oleh Rasullullah SAW dan para sahabat.

Modul Outreach yang bertujuan mendedahkan peserta kepada pengalaman mengurus, mentadbir dan melaksana sesuatu program secara terancang dan kolektif merupakan modul utama dalam kursus ini. Para peserta disediakan medan untuk menguruskan sebuah program motivasi untuk pelajar tahun enam di lima buah sekolah yang terpilih iaitu SK Changgal, SK Gong Garu, SK Wakaf Raja, SK Kg Kandis dan SK Pasir Puteh (P). Modul Outreach ini bertujuan membentuk keyakinan diri, seni berkomunikasi selain berupaya melatih para peserta kursus untuk menyelesaikan masalah ketika mengendalikan sesuatu program dengan lebih kreatif. Semua peserta memberikan respon positif dengan modul ini.

Menurut fasilitator Modul Outreach, Encik Hasyimi Mat Noor, “modul ini adalah satu medan amal yang terbaik untuk semua peserta kursus mempraktikkan teori yang diperolehi selama ini.” Hari ketiga melabuhkan tirai dengan Slot Plan Tindakan dan Pembentangan Outreach.

Hari terakhir kursus diisi dengan Slot Rumusan sebelum diteruskan dengan Majlis Perasmian Penutupan yang disempurnakan oleh Penasihat Biro Pendidikan HALUAN, Encik Asri Abd Hamid. Beliau menekankan tentang keperluan kepimpinan Islam dalam mewujudkan suasana kecemerlangan di sekolah dan mencadangkan agar peserta diberikan tugasan khas untuk melaksanakan program seumpamanya di peringkat sekolah rendah. Menurut Kem Komandan, Encik Burhanudin,“kursus sebegini amat bermanfaat kepada kepimpinan sekolah kerana para peserta dapat mengetahui dan menguasai teknik-teknik pengurusan kepimpinan secara lebih berkesan.”

Salah seorang pengawas dari SMAKL, Cik Wan Aina Balqis Wan Noor Azli pula berkata, “melalui kursus kepimpinan ini saya dapat belajar tentang konsep dan kemahiran dalam membentuk kepimpinan yang kemas dan sistematik. Saya berharap kursus ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana manfaatnya sangat besar dalam melahirkan pemimpin yang serba boleh.”


Laporan Nurul Hana’ Mahmud, Setiausaha Kursus Kepimpinan Kebangsaan 2018

Para peserta Kursus Kepimpinan Kebangsaan 2018 bersama fasilitator
Para peserta, fasilitator, urusetia bersama Encik Asri Abd Hamid dan pengarah Kursus Kepimpinan Kebangsaan 2018, En Mahmud Jaaffar

Kumpulan OutReach ke SK Pasir Puteh (P) Bersama guru besar dan guru-guru sekolah
Sesi LDK bersama pelajar SK Changgal dalam modul OutReach
Para peserta kursus bersama pelajar SK Kampong Kandis dalam modul Outreach