Suntikan Ilmu Fiqah Untuk Wanita Orang Asli
GERIK, PERAK, 15 Jul 2023 – Rupanya ramai yang dahagakan ilmu. Bukan setakat anak-anak kecil sahaja.
Program bersiri HALUAN Pulau Pinang bergelar Edu Banun yang dilancarkan lebih lima tahun dahulu daripada segi matlamat utamanya adalah mendidik anak anak berumur 5-12 tahun yang buta huruf untuk kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Namun setiap kali program pendidikan awal kanak-kanak ini berlangsung, penyertaan sukarela ini bukan sahaja dihadiri belasan kanak-kanak Kampung Air Banun malahan juga ibu-ibu mereka, sesetengahnya mengendong bayi yang masih kecil diikat rapi ke tubuh mereka dengan kain batik lusuh. Mereka turut teruja dan dahagakan ilmu asas 3M itu.
HALUAN telah merangka sesi yang khas untuk mereka dengan melancarkan kelas fiqah untuk kumpulan wanita ini, bertujuan meningkatkan pengetahuan dan amalan mereka di segi Deen Islam. Mereka mengakui bahawa walaupun mereka Islam, mereka tidak tahu beramal secara Islam apatah lagi kerana mereka semua buta huruf. Ini termasuklah bab-bab taharah, wuduk dan solat.
Buat permulaan, HALUAN telah memulakan aspek EDU Banun ini dengan membawa lapan orang pensyarah daripada Politeknik Seberang Perai (PSP) untuk menyumbang tenaga mereka khusus untuk itu. Ustazah Nurul Shaheeda Azmi telah membimbing ibu-ibu berkenaan berkenaan tatacara dan adab taharah, mandi hadas dan penjagaan kebersihan dan kesihatan wanita.
“Rata-rata mereka masih perlu dibimbing untuk bersuci diri. Ibu-ibu itu banyak bertanya soalan yang sering bermain dalam fikiran mereka selama ini menjadikan kelas sangat hidup dan semua mereka aktif mengambil bahagian. Ini suatu perkembangan minda yang baik untuk masyarakat kampung ini yang sejak dahulu agak memencilkan diri kerana perasaan rendah diri berbanding orang lain. InsyaAllah kami akan teruskan lagi aspek pendidikan wanita dewasa ini walaupun sasaran EDU Banun yang utama adalah 3M tadi,” jelas penyelaras program EDU Banun, Cikgu Dalmataksiah Mohd Zain.
Kami mengajak anda berkongsi pahala dengan menyumbang seikhlas hati demi menganjak paradigma masyarakat miskin orang asli ini di gagasan RPS Air Banun. Sumbangan online anda boleh dibuat di akaun berikut:
Nama Akaun : TABUNG KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN HALUAN
Nama Bank : Maybank Islamic
No. Akaun : 5622 6350 2611