fbpx

Ceria Dengan Identiti Pakaian Seragam Pra-Sekolah

Ceria Dengan Identiti Pakaian Seragam Pra-Sekolah

Ceria Dengan Identiti Pakaian Seragam Pra-Sekolah

GERIK, PERAK, 15 Jul 2023 – Terpancar seri kegembiraan di wajah anak-anak orang asli, bangga kerana kini mereka tergolong dalam kumpulan elit pertama Kampung Air Banun yang bersedia untuk dididik menjadi golongan yang tidak akan lagi buta huruf.

Dengan memakai pakaian seragam baharu yang ditempah khas oleh HALUAN, anak-anak kecil antara 5-12 tahun ini adalah perintis projek EDU Banun yang bakal mengorak langkah mengajak lebih ramai anak kampung untuk buang rasa malu, tampil untuk belajar ABC dan kira 1-10 sambil belajar menulis dengan girang.

Penyediaan baju dan seluar khas sebagai pelajar projek EDU Banun kelolaan HALUAN Pulau Pinang ini menjadi mercu tanda bahawa sudah ada kemahuan kepimpinan dan penduduk kampung untuk ganjak paradigma menelusuri jalan ke arah mencari ilmu asas yang bakal meletakkan anak di kampung mundur ini ke dalam sistem persekolahan yang disediakan oleh kerajaan.

“Dan kami adalah pemangkinnya. Sebagai aktivis di sini selama lebih lima tahun, kami semakin nampak jalan kejayaan yang akan ditempa mereka, terutama generasi kanak-kanak yang menjadi golongan sasar kami. Pemberian pakaian seragam sebagai pelajar ini bukan calang kesan di hati mereka. Mereka yang terpilih nampak sangat teruja dan ceria; seolah usaha mereka datang ke kelas selama ini berbaloi. Dan sememangnya pun berbaloi,” berkata sukarelawan dan koordinator projek EDU Banun, Cikgu Dalmataksiah Mohd Zain.

Kata beliau, tiga fasilitator orang asli yang beliau latih telah mengenalpasti murid yang konsisten datang belajar dan memantau pencapaian mereka. Cikgu Dalmataksiah ada kaedah skema khusus untuk mendidik anak-anak buta huruf menjadikan mereka cepat tangkap akan ilmu yang diajarkan.

“Secara peribadi saya kagum dengan sebahagian daripada mereka. Ada yang sangat cepat tangkap apa yang kita ajar; minggu depan kita tanya dia sudah boleh jawab. Tidak seperti dahulu kami masuk hanya sebulan sekali, kini dengan terlatihnya para fasilitator, kelas khas ini dapat dijalankan tiga kali seminggu dan ini mempercepatkan proses pembelajaran mereka. Yang berpotensi dan rajin hadir kami berikan perhatian. Mereka ini adalah pemangkin kepada ramai lagi kanak-kanak kecil antara 5-12 tahun di kampung mundur ini untuk berani tampil ke hadapan untuk belajar. Kumpulan pertama ini ibarat duta kepada usaha-usaha EDU Banun,” tegas beliau yang merupakan pesara guru yang banyak pengalaman.

EDU Banun juga membuka ruang kepada sukarelawan luar yang ingin menyumbang bakti masa dan kemahiran mereka.