fbpx

Korban 2023 – Gandingan Mantap Pemuda Orang Asli & HALUAN

Korban 2023 – Gandingan Mantap Pemuda Orang Asli & HALUAN

Korban 2023 – Gandingan Mantap Pemuda Orang Asli & HALUAN

GERIK, PERAK, 2 Jul 2023 – Gandingan mantap pemuda-pemudi orang asli Kampung Sungai Raba dengan sukarelawan HALUAN serta alumni Sekolah Menengah Sains Kedah (ASSAK) menyaksikan program korban terpantas dalam rekod aktiviti tahunan itu setakat ini.

Seawal pukul 8.00 pagi semalam, para sukarelawan telah berkumpul di hadapan Surau Al-Fatah di kampung tersebut menantikan ketibaan daging lembu yang telah disembelih lebih awal untuk diproses. Menurut pengarah program korban 2023, Ustaz Fazlon Abdul Rahim, modus operandi pada tahun ini diubah khusus dengan menyembelih lembu di rumah sembelih di Kulim pada petang sebelumnya dan dibawa kesemua bahagian lembu awal pagi pada hari berikut.

“Apa yang menarik pada tahun ini adalah pelancaran kerja yang sangat mantap setibanya tiga ekor lembu berkenaan di lokasi kami. Daging itu telah disejukbekukan di rumah sembelihan dan diangkut ke lokasi seawal 5.00 pagi ke sini dan tiba pada 9.30 pagi. Petugas kami terdiri daripada 15 orang pemuda orang asli dan beberapa orang sukarelawan HALUAN dari Pulau Pinang dan Perak terus melaksanakan aktiviti memotong daging dan tulang untuk proses menimbang dan memasukkan ke dalam beg plastik untuk agihan. Setiap keluarga mendapat 2kg daging dan tulang. Semuanya berjalan lancar dan kami siap seluruhnya dalam masa dua jam sahaja,” tegas beliau yang juga merupakan pensyarah di Politeknik Seberang Perai.

Manakala sukarelawan pemudi orang asli seramai tujuh orang turut terlibat dalam penyediaan memasak di dapur surau berkenaan. Suasana semakin meriah bila tiba lewat pagi semasa masakan sup, nasi dan sayur istimewa mula mengeluarkan aroma di sekitar surau, disambut gelak ketawa sukarelawan dan kanak-kanak orang asli yang mula berkumpul. Ceria sungguh pada tahun ini. Menjelang 12.30 tengahari, jamuan makan pun dimulakan.

Program korban 2023 ini adalah kali yang kelima dilaksanakan di kampung berkenaan atas inisiatif ASSAK, memanfaatkan lebih 350 orang penduduk termasuk di Kampung Air Banun dan tiga lagi kampung lain di jarak yang lebih jauh.

“Komitmen alumni kami memang mantap setiap tahun. Kami berkempen di kalangan ahli-ahli kami seluruh negara dan juga menjemput orang awam untuk berkongsi pahala melaksanakan korban demi orang asli yang tinggal jauh terpencil dalam hutan Belum ini. Ini komitmen yang ASSAK berikan sejak dahulu selain usaha berterusan melonjakkan nama orang asli di persada seni mainstream,” jelas wakil ASSAK di lokasi, Encik Mohd Mazlan Ayub.

Beliau dan rakan-rakan ASSAK yang sememangnya bergiat di bidang seni muzik telah menubuhkan kumpulan muzikal bernama Kotaraya Alam, terdiri daripada enam orang pemuzik dan vokalis pemuda orang asli. Band ini unik kerana mengkaryakan dan menyampaikan lagu-lagu dalam bahasa Jahai dan melayu berlandaskan tema pemuliharaan alam semulajadi di rimba Belum. Album sulung mereka sudah siap menantikan pelancaran sedikit masa lagi.

Pengurus operasi korban 2023, Encik Shahrul Rahmat berkata korban tahun ini membolehkan operasi berjalan lancar tanpa perlu menambat, menjaga, menumbangkan dan menyembelih lembu pada hari korban seperti tahun-tahun lepas. Semuanya diproses di rumah sembelih.

“Pengalaman getir kami di tahun 2022 adalah bila lembu terbesar dan paling ganas berwarna hitam pekat telah terlepas dari ikatan pokok. Masa kami banyak terbuang kerana terpaksa kejar dan sembelihnya di lokasi 2 kilometer dari surau ini. Jadi penyusunan tahun ini adalah terbaik dan kami dapat melaksanakan aktiviti sepatutnya dengan lebih efisyen dan pantas. Tahun ini lembu-lembunya agak besar dan setiap seekor melebihi 100kg dagingnya sahaja,” ujar sukarelawan HALUAN dari Kuala Kangsar itu.

YDP HALUAN Pulau Pinang, Encik Iznan Husainy Hasbollah yang turut tiba di  surau berkenaan bersama ahli keluarga turut memuji kerjasama erat oleh pemuda-pemudi orang asli. Menurutnya, gandingan ini adalah hasil dakwah dan tarbiah sejak lebih tujuh tahun lalu yang diterokai HALUAN demi meningkatkan ekonomi dan tahap pendidikan penduduk setempat.

Laporan Biro Kebajikan

HALUAN cawangan Pulau Pinang