fbpx

Projek EDU-Banun Mula Tempa Kejayaan

Projek EDU-Banun Mula Tempa Kejayaan

Projek EDU-Banun Mula Tempa Kejayaan

GERIK, PERAK, 15 Jul 2023 – Seramai empat orang anak kecil orang asli kaum Jahai telah mendaftar di sekolah rendah Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun di sini hasil penat lelah sukarelawan HALUAN Pulau Pinang melaksanakan program EDU-Banun khusus untuk pendidikan awal kanak-kanak sejak lima tahun lalu.

Pencapaian membanggakan ini membolehkan mereka mengikuti pendidikan formal di sekolah kerajaan di mana sebelum ini mereka enggan ke sekolah. Penduduk Kampung Air Banun tersebut seramai hampir 200 orang adalah antara pemastautin kampung penempatan semula orang asli terawal di gagasan Gerik sebelum siap terbinanya empangan Temenggor. Namun hampir 99% penduduknya adalah buta huruf dan hidup dalam serba kemiskinan dan dibayangi amalan mistik walaupun beragama Islam. 

“Mendidik adalah salah satu cabang visi kami di HALUAN. Kami terima cabaran buta huruf mereka ini sebagai galasan tanggungjawab utama transformasi kami untuk mereka, walaupun dua tahun lebih kekangan dihadapi akibat wabak COVID-19 yang melanda negara dan dunia. Namun sukarelawan kami terus usaha berganjak mendidik mereka dengan mendapatkan permit polis merentas negeri dan daerah. Ada beberapa ketika kami melaksanakan kelas untuk anak-anak kecil mereka yang berusia antara lima ke 12 tahun itu menggunakan teknologi internet dengan capaian 4G di lembah sana,” berkata YDP HALUAN Pulau Pinang, Encik Iznan Husainy Hasbollah ketika ditemui di majlis korban Aidil Adha di surau kampung orang asli berdekatan baru-baru ini.

“Sukarelawan kami tidak mengalah dan akhirnya selepas COVID-19, guru pesara pakar dan ketua unit pendidikan kami Cikgu Dalmataksiah Mohd Zain dan pasukannya terus mara dan melatih tiga fasilitator dari kampung sebelah untuk mempercepatkan proses pengajaran di sana. Orak langkah inilah yang menghasilkan empat pelajar baharu tersebut yang kini berjaya bersekolah. Dengan ilmu, kami berharap masyarakat terpinggir ini akan tempa kejayaan baharu untuk generasi mereka di masa hadapan,” tegas beliau.

Menurut Ketua Biro Kebajikan HALUAN Pusat, Encik Abdul Halim Khudri, sasaran transformasi untuk penduduk kampung berkenaan adalah serampang dua mata. Pertamanya ialah projek pertanian ladang limau nipis dan serai sebagai sumber pendapatan yang lebih stabil.

“Yang keduanya adalah pendidikan awal kanak-kanak sebagai persediaan mereka menghadapi persekolahan formal yang lebih teratur. Masyarakat sini amat pemalu dan merasa rendah diri hanya kerana mereka buta huruf serta miskin; lebih rendah daripada B40. Tapi kami ingin mengajar mereka untuk keluar daripada kepompongan palsu ini, tidak lagi terbelenggu dengan stigma yang mereka sendiri cipta. Biro kami cuba mencari dana dengan berkempen untuk mereka, dan tidak sedikit yang telah kami belanjakan untuk menaikkan keyakinan diri mereka; daripada membina semula dewan pembelajaran yang dulunya menjadi sarang ayam dan anjing berteduh, memasukkan elektrik dan memasang lampu kipas, membeli bahan mengajar dan peralatan, dan menyediakan sarapan ringkas untuk murid-murid kami serta ibu-ibu mereka yang teruja hadiri bersama. Perjalanan logistik kami melebihi tiga jam sehala untuk sampai ke penempatan di hutan ini, tapi itu semua rasa terbayar bilamana ada murid didikan kami kini telah berani daftar diri menjadi pelajar sekolah secara sah. Umur mereka mungkin terlebih, tetapi keyakinan baharu mereka itu yang menjadi pemangkin buat kami sukarelawan HALUAN,” jelas beliau.

Anda pembaca artikel ini boleh turut berkongsi pahala dengan usaha pendidikan kami ini. Dermalah seikhlas hati untuk membantu kami melaksanakan projek transformasi pendidikan anak-anak orang asli di Kampung Air Banun ini.

Nama Akaun : TABUNG KEBAJIKAN DAN KEMANUSIAAN HALUAN 

Nama Bank : Maybank Islamic 

No. Akaun : 5622 6350 2611

Laporan Biro Kebajikan HALUAN

Cawangan Pulau Pinang