fbpx

Relawan HALUAN Berlepas ke Lokasi Pelaksanaan Korban

Relawan HALUAN Berlepas ke Lokasi Pelaksanaan Korban

Relawan HALUAN Berlepas ke Lokasi Pelaksanaan Korban

SEPANG, 27 Jun 2023 — Buat pertama kali selepas dunia dilanda pandemik COVID-19, HALUAN Malaysia mula menghantar pasukan relawan ke luar negara bagi melaksanakan ibadah korban. Semalam, dua orang relawan telah berlepas ke Kenya sementara pasukan kedua akan bergerak ke Vietnam bagi melaksanakan korban bersama masyarakat Islam di sana.

Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Encik Abdul Halim Khudri bersama Ustaz Nasrul Islam Darus Sanawi memikul tanggungjawab melaksanakan amanah para peserta di daerah Garissa di Kenya, serta kem pelarian Somalia Dadaab. Menurut beliau, mereka akan memantau pelaksanaan sembelihan 846 ekor kambing, termasuk untuk tujuan akikah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Ibadah Korban HALUAN 1444H/2023M amat berterima kasih kepada para peserta rakyat Malaysia yang memilih untuk melaksanakan korban di kem Dadaab yang menempatkan ribuan pelarian Somalia. 

Sekitar 250,000 orang masih menumpang hidup di sana. Mereka terpaksa tinggal dalam khemah-khemah usang sejak awal, bahkan ada daripada kalangan mereka kini sudah mencecah sehingga tiga generasi.InsyaAllah kami akan pastikan ibadah korban tuan-puan dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Semoga Allah menerima ibadah korban kita, serta melipatgandakan ganjaran kerana pada masa yang sama kita membantu golongan yang daif,” jelas beliau.

Sementara itu, Naib Presiden 3 HALUAN Malaysia, Dr. Baharudin Suri akan mengetuai pasukan ke Vietnam. Mereka akan melaksanakan ibadah sembelihan dan agihan daging korban di Perkampungan Islam Chau Pong dan Chau Doc di wilayah An Giang.

Tahun ini HALUAN akan melaksanakan 2,574 bahagian korban, termasuk 1,923 bahagian di luar negara. Pelaksanaan di 16 lokasi-lokasi lain di luar negara termasuklah Palestin, Lubnan, Syria, Aceh, Yaman, Thailand, Mindanao, Kemboja, Mesir, India, Togo dan juga Eriteria akan dilaksanakan oleh rakan NGO atau wakil HALUAN yang diyakini kejujuran gerak kerja mereka  di lokasi terbabit melalui kerjasama sebelum ini.

Laporan Unit Media dan Komunikasi Korporat HALUAN