fbpx

Kolaborasi Jabatan Pertanian Demi Bantu Orang Asli

Kolaborasi Jabatan Pertanian Demi Bantu Orang Asli

Kolaborasi Jabatan Pertanian Demi Bantu Orang Asli

GERIK, PERAK, 11 Mei 2023 – Projek tanaman limau nipis secara komersial di plot pertanian orang asli Kampung Air Banun dan tanaman pokok roselle di Kampung Sungai Raba di sini telah menampakkan kejayaan.

Dalam keadaan HALUAN berhadapan dengan kekangan dana dan material sepenuhnya untuk menjayakan projek ini, pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Pertanian Hulu Perak telah memberikan sokongan penuh bagi menjayakan projek ini.

Delegasi empat orang pegawai Jabatan Pertanian Hulu Perak yang diketuai oleh Pegawai Pertanian Daerah, Encik Muhammad Nizam Adha b. Abd Raoff, telah mengadakan lawatan kerja dan menyampaikan bantuan baja untuk projek tanaman limau nipis. Ketibaan rombongan tersebut telah disambut oleh Ketua Biro Kebajikan HALUAN, Encik Abdul Halim Khudri, bersama Tok Batin dan anak-anak buahnya.

Dalam perbincangan semasa lawatan tersebut, pihak Jabatan Pertanian bersetuju untuk mengadakan sesi latihan dan tunjuk ajar kepada penduduk kampung dan relawan-relawan HALUAN mengenai selok-belok pertanian. Lanjutan itu, HALUAN telah bersetuju untuk membentang maklumat gerak kerja projek pertanian limau nipis dan roselle bagi memohon bantuan seterusnya dalam aspek kepakaran, bahan bantuan pertanian dan khidmat nasihat.

Selepas kunjungan tersebut, HALUAN telah mengadakan kunjungan hormat kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan RPS Air Banun. Dalam perbincangan bersama beliau, pihak sekolah telah bersetuju untuk bekerjasama membantu HALUAN dalam melaksanakan projek Edu Banun. Projek ini bertujuan meningkatkan kadar literasi dalam kalangan kanak-kanak Kampung Air Banun yang majoritinya adalah buta huruf, seterusnya menggalakkan pendaftaran kanak-kanak mengikuti pendidikan formal di sekolah tersebut.

Kesemua gerak kerja bakti masyarakat ini tidak dapat kami teruskan tanpa dana sumbangan daripada orang awam. Andalah orangnya yang bakal mengubah hidup dan untung nasib golongan mundur ini. Kutiplah pahalanya di akhirat nanti.

Orang ramai yang ingin turut serta menjayakan projek ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun berikut:
Bank: Maybank Islamic Berhad
Nama akaun: Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia Caw. Pulau Pinang
No. akaun: 5572 5506 2982

Sila hantarkan slip transaksi melalui Whatsapp ke telefon 019-4644357.

—–

Laporan Biro Kebajikan HALUAN