fbpx

Runtunan Jiwa di Penghujung Projek EduConnect@GRIK

Runtunan Jiwa di Penghujung Projek EduConnect@GRIK

Runtunan Jiwa di Penghujung Projek EduConnect@GRIK

TASIK BANDING, GERIK, 28 Feb 2024 – Suatu pengalaman yang banyak menginsafkan dan membuka mata hati peserta mahasiswa daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menelusuri ekspedisi lima hari bersama orang asli Kampung Air Banun di sini dari 16 hingga 20 Februari lepas. Seribu satu kenangan dibawa pulang bersama ke kampus.

Ketika kami selesai majlis perasmian penutupan pada hari terakhir itu, beberapa orang kanak-kanak orang asli telah menghampiri kami dan meminta izin untuk memeluk kami. Kami sebak tiba-tiba. Mungkin hari ke-5 kami di sana terasa terlalu pendek untuk mereka yang baru hendak berkenalan dan bermesra dengan 29 orang peserta projek ini. Ternyata perpisahan itu amat perit di jiwa anak-anak yang masih kecil itu. Mereka yang pada awalnya sangat pemalu kini hendak menzahirkan rasa terima kasih atas program yang kami laksanakan dan amat berharap kami akan kembali lagi ke sana. Kata mereka, esok kampung ini akan sunyi, bila kami tidak lagi membuat program bersama mereka. Berkaca mata-mata kami di pagi perpisahan itu,” kata Cik Nor Shaerah Abd Rasid, pensyarah pengiring dan Fasilitator Kursus Kokurikulum Berkredit Pembangunan Kesukarelawanan UPM.

Sememangnya saat-saat perpisahan menjadi memori ingatan tulus kekal abadi bagi semua orang yang mendampingi kegiatan kemanusiaan dan kemasyarakatan, seperti berdekad lamanya HALUAN menyantuni berbagai masyarakat terpinggir dalam dan luar negeri.

Pelaksanaan program berjalan lancar mengikut perancangan yang dibuat dan mahasiswa dapat mempamerkan nilai pemikiran kritis dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul ketika program berlangsung. Peranan HALUAN sebagai penggerak kerjasama antara mahasiswa dan komuniti dilihat dapat mengukuhkan lagi hubungan antara masyarakat serta menjadi kunci utama pelaksanaan aktiviti program, jelas Nor Shaerah.

Katanya lagi: “Umumnya peserta dapat menyelami kehidupan sebenar serta budaya tradisi masyarakat orang asli kaum Jahai di RPS Air Banun. Selain daripada itu, peserta dilihat berjaya memupuk semangat kerjasama, perpaduan, komunikasi serta kepimpinan melalui aktiviti yang dijalankan. Pengalaman ini tidak akan diperolehi melalui pembelajaran di dalam kelas sahaja. Selain daripada objektif untuk mendidik komuniti orang asli dalam ilmu pertanian, objektif yang lain tercapai seperti meningkatkan pembelajaran kanak-kanak orang asli dan memperkukuh kemahiran sosial antara masyarakat dan peserta”.

Bagi peserta Encik Yap Yong Chun, ini adalah kali pertama beliau dapat memasuki perkampungan orang asli. “Projek ini sudah semestilah memberi manfaat kepada saya. Projek ini telah mengajar saya untuk merasa bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang. Hal ini kerana mereka sangat gembira dan bersyukur walaupun kami hanya menghadiahkan sepeket snek sahaja. Oleh itu, projek tersebut memberi kesan kepada saya untuk lebih bersyukur dan sentiasa bergembira dengan benda yang telah saya miliki,” jelas beliau penuh insaf.

Bagi pengarah program EduConnect@Grik, Cik Anis Najiha Azlan Reeza, Kampung Air Banun mempunyai banyak potensi untuk menjana sumber pendapatan bagi penduduk kampung itu sendiri, namun penduduk tidak mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan tidak berganding bahu ke arah itu.

Mereka kurang sifat “open mindedness” untuk pembaharuan, kecuali segelintir. Saya berharap golongan anak-anak mereka akan mula pergi ke sekolah untuk meneruskan pelajaran. Ilmu pelita hidup. Ilmu akademik sangat penting dalam kehidupan untuk mereka memperbaiki diri segi aspek pemikiran, sikap, ekonomi dan juga aspek budaya. Apabila mereka melibatkan diri dalam pembelajaran, pemikiran mereka akan lebih mudah terbuka kepada ilmu yang baharu dan akan nampak peluang untuk lebih berjaya dan mengubah kehidupan keluarga dan kampung mereka,” jelas pemimpin mahasiswa itu.

Rata-rata, peserta mahasiswa EduConnect@Grik paling suka dengan aktiviti berbentuk interaksi terus dengan orang asli Kampung Air Banun seperti sukaneka dan permainan yang melibatkan semua penduduk iaitu golongan kanak-kanak dan juga ibu-ibu. Sukaneka misalnya dapat mengeratkan hubungan mahasiswa sebagai orang luar dengan penduduk di sana.

Dan juga saya merasa sangat gembira apabila tengok muka anak-anak yang menerima hadiah kereta mainan,” ujar Yap tersenyum.

Lain pula bagi mahasiswa Encik Adriel Ajis. Beliau lebih meminati acara menanam pokok di sekitar kampung berkenaan. Pihak urusetia UPM telah membawa bersama mereka berbagai pokok buah-buahan serta hiasan tanaman bermutu tinggi untuk dihadiahkan kepada orang asli. Peserta memilih beberapa lokasi untuk menanam pokok buah di kampung berkenaan sambil pokok hiasan ditanam dalam perkarangan Sekolah Kebangsaan RPS Air Banun berdekatan kampung mereka. Adriel sendiri adalah orang asli bandar berketurunan Semai dibesarkan di Kuala Lumpur. Namun beliau agak terkejut melihat perbezaan yang ketara antara status ketamadunan Kampung Air Banun dengan Kampung Sungai Raba.

Kampungnya seperti yang saya jangkakan, manakala penduduknya pula, saya tidak dapat cukup peluang berinteraksi dengan mereka kerana skop tugasan saya banyak di dapur urusetia. Namun sedikit kesempatan bercakap dengan beberapa kanak-kanak di Air Banun, seperti kanak-kanak orang asli pada umumnya, mereka memang tidak berminat untuk belajar dan pergi ke sekolah. Harapan saya ialah supaya anak-anak muda di kampung ini berubah fikiran. Agar lebih sedar akan pentingnya pelajaran dalam kehidupan dan bukannya sekadar untuk meluaskan peluang kerjaya,” tegas beliau penuh yakin selaku mahasiswa orang asli.

Menurut Puan Nor Shaerah, pihak HALUAN banyak membantu mereka dalam aspek pengangkutan dan koordinasi di peringkat urusetia seperti makan-minum dan penginapan. Di segi peserta pula, beliau amat berpuas hati dengan peribadi mahasiswa yang turuti prosidur, tidak bertindak tanpa arahan yang boleh membahayakan diri, dan sangat menjaga hubungan dengan komuniti orang asli. Isu keselamatan peserta menjadi kerisauan pihak HALUAN kerana kelibat binatang buas seperti harimau belang dan kumbang serta gajah semakin kerap dikesan oleh kamera Jabatan Perhilitan dan pihak Taman Negara.

Meskipun saya pensyarah, saya juga banyak belajar dan berterima kasih kepada pengurusan HALUAN kerana dapat memberi tunjuk ajar kepada peserta kami. Saya akan sentiasa “engage” dengan HALUAN dalam mana-mana projek komuniti yang berkaitan masa hadapan. InsyaAllah jika masih diberikan amanat, saya akan membawa UPM bersama dalam projek sebegini,” jelas beliau.

Cik Nor Shaerah (tengah) dan Cik Anis (kiri) bersama beberapa AJK penggerak projek EduConnect@Grik.
Peserta gembira bergambar dengan kanak-kanak orang asli Air Banun.
Bersama membersihkan sungai di kampung mereka.
Kaum ibu gembira untuk turut sama menjayakan projek ini.
Orang kampung turut persembahkan acara budaya Sewang di acara penutup.

Laporan Abdul Halim Khudri
Ketua Biro Kebajikan HALUAN