fbpx

HALUAN Bantu UPM Jayakan Projek Kemasyarakatan EduConnect@GRIK

HALUAN Bantu UPM Jayakan Projek Kemasyarakatan EduConnect@GRIK

HALUAN Bantu UPM Jayakan Projek Kemasyarakatan EduConnect@GRIK

TASIK BANDING, GERIK, 21 FEB 2024 – Seramai 29 orang mahasiswa ditemani seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melaksanakan Projek EduConnect@Grik di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Air Banun dekat sini.

Mereka dibantu 10 anggota sukarelawan HALUAN sebagai fasilitator bergilir di Kampung Air Banun dalam Rimba Belum, sekitar satu jam perjalanan dari pekan Gerik.

Projek lima hari berkampung dari 16 hingga 20 Februari itu adalah anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM disertai mahasiswa Kursus Kokurikulum Berkredit Semester 1 Sesi 2023/2024. Ia berjalan dengan kerjasama HALUAN cawangan Pulau Pinang dan Biro Kebajikan HALUAN Malaysia. Keseluruhan RPS Air Banun terdiri daripada lapan buah kampung penempatan orang asli daripada suku kaum Jahai dan Temiar. Projek berkenaan mensasarkan dua buah kampung; Air Banun dan Sungai Raba.

Menurut pengarah projek, Cik Anis Najiha Azlan Reeza, objektif utama projek ini, selain melengkapkan kerja kursus pelajar, bertujuan membantu dan mendorong pengalaman mereka untuk melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap golongan yang daif. EduConnect@Grik merupakan projek komuniti sebagai satu inisiatif untuk mengetengahkan pendidikan asas dalam kalangan kanak-kanak komuniti orang asli. Ia juga bagi meningkatkan lagi kemahiran pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak orang asli di samping dapat memperkukuhkan kemahiran bersosial antara masyarakat.

Selama lima hari keberadaan peserta projek dan sukarelawan HALUAN, berbagai aktiviti dijalankan seperti sukan dan permainan untuk kanak-kanak, penyediaan perpustakaan mini, gotong royong pembersihan kampung, pembinaan taman mini di Sekolah Kebangsaan RPS Air Banun dan kerja pertanian di kebun limau nipis dan serai milik orang kampung. Ceramah tentang kesihatan dan penjagaan kebersihan kendiri serta sumbangan barangan dapur turut diadakan.

Perasmian penutupan projek disempurnakan oleh Naib Presiden 4 HALUAN, Dr. Baharudin Suri. Beliau mengucapkan tahniah kepada para peserta yang sudi turun dari Selangor untuk menyantuni masyarakat orang asli. HALUAN bersedia untuk membantu mana-mana pihak yang ingin menjayakan projek-projek yang memberikan manfaat kepada komuniti yang terpinggir seperti mereka.

“Apa yang kami laksanakan di RPS Air Banun sejak hampir sembilan tahun sekarang ibarat usaha yang kami laksanakan untuk mendidik golongan Bajau Laut di Sabah sejak lebih 16 tahun lalu yang langsung tidak tahu membaca atau menulis. Mendidik adalah antara tiga teras utama kami di HALUAN di mana tidak sepatutnya ada seorang pun warga Malaysia yang buta huruf. Di Air Banun ini, teras utama kami adalah meningkatkan rezeki mereka dengan projek pertanian bawah sektor sosio-ekonomi manakala sektor pendidikan pula berhasrat mendidik anak-anak kecil mereka supaya berani tampil memasuki persekolahan rasmi,” jelas beliau.

Dalam ucapan balasnya, Penghulu Kampung Air Banun, Encik Cheknekleg telah menekankan akan keperluan hidup aman damai walaupun berasal dari tempat atau bangsa yang berbeza. Sempena dengan penutupan majlis tersebut, jamuan makan dan sumbangan cenderahati kepada jemputan kenamaan yang hadir telah diadakan. Turut memberikan kerjasama yang baik kepada HALUAN adalah warga pendidik sekolah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) wilayah Gerik.


Laporan Abdul Halim Khudri
Ketua Biro Kebajikan HALUAN