fbpx

Bantuan Awal Persekolahan Untuk Mangsa Banjir

Bantuan Awal Persekolahan Untuk Mangsa Banjir

Bantuan Awal Persekolahan Untuk Mangsa Banjir

HULU DUNGUN, 14 Mac 2024 – Seramai 257 orang pelajar daripada lapan buah sekolah yang terjejas banjir di Hulu Dungun telah menerima bantuan awal persekolahan berbentuk kewangan untuk pembelian uniform dan alatan persekolahan.

Bantuan awal ketika mangsa berada di pusat pemindahan sementara (PPS) telah disampaikan oleh ibu pejabat HALUAN dengan kerjasama HALUAN cawangan Pahang. Setelah penilaian kerosakan dijalankan dan berdasarkan sokongan data daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun, HALUAN yang disokong oleh Yayasan Hasanah telah menyediakan bantuan kepada pelajar-pelajar terjejas terbabit.

Pada awal tahun 2024, Hulu Dungun telah dilanda banjir besar yang melebihi paras air banjir tahun 2014. Banyak rumah penduduk yang rosak akibat arus deras, kemudahan jalan kampung rosak, dan kebanyakan mangsa hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang.

Turut sama menerima bantuan ialah 143 buah keluarga mangsa yang  diberikan bantuan kewangan untuk pembelian makanan asas.

Acara penyampaian bantuan tersebut telah diadakan di Dewan E-Man SK Kuala Jengal, Hulu Dungun. Majlis yang  mendapat kerjasama pihak Pejabat Pendidikan Daerah telah dihadiri oleh Pegawai PPD Dungun, Guru Besar, wakil pelajar serta wakil PIBG daripada sekolah-sekolah yang terlibat. HALUAN Malaysia telah diwakili oleh Ketua Biro Misi Kemanusiaan, Prof. Dr Mohtar Ibrahim. Yang Dipertua HALUAN cawangan Terengganu, Encik Aziz Nordin Endut, bersama beberapa orang kepimpinan HALUAN negeri turut hadir.

Hampir setiap tahun HALUAN melalui sokongan rakan strategik Yayasan Hasanah bertindak menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana dalam negara. Semoga kerjasama dan bantuan ini akan dapat meringankan sedikit bebanan yang dialami oleh pelajar dan keluarga mereka.

Laporan Mohd Jamil Muda

Pengurus Pembangunan Program HALUAN