fbpx

Revolusi Dunia Arab – Pengajaran dan Iktibar

Revolusi Dunia Arab – Pengajaran dan Iktibar

Revolusi Dunia Arab – Pengajaran dan Iktibar

Pergolakan yang menular di beberapa buah negara Arab selepas jatuhnya kerajaan Ben Ali di Tunisia dan Husni Mubarak di Mesir, telah memperlihatkan perubahan landskap politik dunia secara amnya.


Kini, dunia sedang menumpukan perhatian kepada rusuhan yang berlaku di Libya yang melibatkan demostrasi secara besar-besaran oleh rakyatnya yang menuntut keadilan dan menggesa pemimpinnya Muammar Gaddafi berundur daripada pemerintahan. Gaddafi yang memegang jawatan pemerintah semenjak tahun 1969 adalah antara pemimpin Afrika dan negara Arab yang paling lama memerintah.

Jika dilihat dan diamati, jatuh bangun sesebuah tamadun dan pemerintahan berkait rapat dengan banyak faktor. Antaranya ialah faktor ekonomi, pembangunan, keadaan sosiopolitik dan pendidikan sesebuah bangsa. Namun, jika diteliti dengan lebih halus dan mendalam, kita akan dapat membuat satu kesimpulan bahawa kejatuhan sesebuah tamadun dan pemerintahan adalah disebabkan keruntuhan akhlak serta perlanggaran peraturan Islam dalam masyarakatnya sehingga melampaui batasan basic human morality.

Sejarah membuktikan bahawa pemimpin yang tidak mempunyai akhlak yang baik, tidak melaksanakan lunas-lunas Islam dalam pemerintahannya dan menindas rakyat bawahan, tidak akan berada lama di tampuk pemerintahan kerana rakyat yang tertindas, dizalimi dan dianiayai akan bersatu hati dan berpadu suara menuntut keadilan, kebebasan dan kesejahteraan. Suara rakyat adalah suara keramat. Jika hak tuntutan keadilan dinafikan dalam pemilihan kepimpinan secara adil, bersih dan saksama, akhirnya mereka akan terpaksa memilih jalan raya sebagai penyelesaiannya.

Prof Dr Yusof Al-Qaradawi (2001) menyatakan dalam bukunya ‘Min Fiqh al-Dawlah Fi al-Islam’ (Fiqh Daulah dalam Islam):

‎”Kekuatan rakyat jelata yang bersatu, ibarat kekuatan ombak di lautan ataupun banjir besar yang tidak dapat ditahan oleh sesiapa meskipun kekuatan ketenteraan sendiri. Ini kerana tentera pada akhirnya akan bersama-sama mereka kerana rakyat jelata itu tidak lain melainkan ahli keluarga mereka sendiri, ayah, anak, atau saudara mereka.”

Kekuatan inilah yang telah membuktikan kepada dunia bahawa kejatuhan rejim-rejim diktator dunia pada awal tahun 2011 ini disebabkan oleh kuasa kesatuan, perpaduan dan kerjasama rakyat jelata yang cintakan keamanan, keadilan dan kesaksamaan dalam kehidupan. Mana-mana pemimpin yang zalim, menindas, tidak berakhlak, suka merampas harta rakyat dan hidup dalam kemewahan, akan tumbang dan runtuh dengan izin Allah SWT. Boleh kita katakan bahawa “People are united because they have common problem.”

Rasulullah SAW menyeru agar pemimpin yang zalim dihalang dan ditolak segala kezaliman, penindasan dan segala kerosakan yang dilakukannya. Ini sejajar dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya selepasku ini akan ada para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan daripadaku dan aku bukan daripadanya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia daripada kalanganku dan aku daripada kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga).” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan Ibn Abi ‘Asim. Dinilai oleh al-Albani) 

Kekuatan secara individu walaupun kelihatan hebat, gagah dan kuat, hakikatnya bukanlah satu kekuatan yang sebenar. Tetapi kerja-kerja yang dilakukan secara berkumpulan, ramai dan berjemaah akan menjadi satu nadi kekuatan yang hakiki walaupun dilihat lemah dan tidak berupaya. Sunnah inilah yang akan menguatkan ummah Islam di mana sahaja mereka berada. Usaha-usaha untuk menyebarluaskan kefahaman Islam, kesedaran pembentukan ummat secara bersepadu, konsisten dan bertunjangkan Islam harus menjadi kekuatan utama umat Islam.

Rahsia kekuatan ummat Islam terletak pada keimanan, kesabaran dan keteguhan mereka berpegang kepada prinsip perjuangan Islam yang sebenar. Hakikat kekuatan ummat Islam menjadi kayu ukur yang terpenting bagi menjamin kelangsungan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah yang telah diasaskan oleh baginda Rasulullah SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin itu untuk berjihad (berperang). Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti.” (Al-Anfal 8 : 65)

Jelasnya, kekuatan seorang mukmin yang beriman, bertaqwa dan bersabar adalah bersamaan dengan sepuluh orang kafir. Hakikat kekuatan ini bukan diukur dari segi fizikal sahaja, tetapi menjangkaui kekuatan berbentuk kejiwaan, kemahuan dan semangat juang yang tinggi berteraskan aqidah yang jitu. Inilah yang harus dilihat secara mendalam oleh kepimpinan dunia Islam masa kini. Agenda merancang, merencana dan membangunkan generasi masa depan ummat Islam harus menjurus ke arah pembangunan keimanan yang sebenarnya kepada Allah SWT.

Kesatuan dan hubungan kerjasama dalam menuju ke arah matlamat yang satu harus menjadi agenda utama dalam proses pembentukan masyarakat yang kuat dan utuh. Kekuatan ummat Islam adalah kekuatan persaudaraan, dan talian ikatan yang kuat atas dasar aqidah dan keimanan mereka kepada Allah SWT. Oleh itu, hal ini harus menjadi fokus utama dalam proses membangunkan semula ummat Islam yang akan memacu perubahan dan memimpin ummat manusia bagi menjamin keharmonian dan keamanan dunia. Walau bagaimanapun kesatuan yang dicetuskan atas dasar permasalahan yang sama (common problem) sahaja tidak akan kekal lama kerana hanya kesatuan ummat yang berpaksikan aqidah Islamiyah yang mampu bertahan seperti yang telah dibuktikan di dalam sejarah.

Kesimpulannya, asas pembangunan, pembinaan dan pembentukan generasi manusia harus menitikberatkan soal pembentukan aqidah dan akhlak seperti yang telah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah SAW. Syed Qutb dalam bukunya, Petunjuk Sepanjang Jalan, menyatakan asas utama pembangunan generasi awal yang dididik oleh Rasulullah SAW ialah didikan aqidah yang bersih dan terhindar daripada sebarang unsur yang meragukan serta bersumberkan al-Quran dan Hadis. Inilah tapak asas pembangunan yang telah dilakukan dan akan terus dilaksanakan sehingga ke akhir hayat ummat ini.

Semoga generasi ummat Islam yang akan terbina nanti adalah generasi yang mempunyai kekuatan keimanan yang mantap, keyakinan yang teguh, kepasrahan yang membulat kepada janji-janji Allah SWT dan segala bentuk ancaman-Nya.

————————————-

Dr Abdullah Sudin Abd Rahman 
Presiden HALUAN Malaysia 
24 Februari 2011 bersamaan 19 Rabiulawal 1432 H