fbpx

Revolusi Era Baru – Ke Mana Halatuju Yang Sebenarnya?

Revolusi Era Baru – Ke Mana Halatuju Yang Sebenarnya?

Revolusi Era Baru – Ke Mana Halatuju Yang Sebenarnya?

Dunia kini tertumpu kepada satu kebangkitan revolusi di Bumi Anbia, Mesir. Selepas kejayaan rakyat Tunisia yang menggulingkan presiden diktator, Ben Ali yang memerintah selama 23 tahun, api semangat suara rakyat terus membara dan mulai merebak ke Mesir dan negara-negara Asia Barat yang lain. Ia dilihat sebagai salah satu revolusi era baru yang akan mencorak pemerintahan kepimpinan dunia pada masa hadapan.


Dewasa ini, struktur kepimpinan politik negara dunia ditentukan oleh dua sistem yang utama iaitu demokrasi dan sosialisme atau komunisme. Kebanyakan negara-negara di dunia, sama ada  yang terletak di negara barat mahupun timur melaksanakan sistem ini sebagai cara dan kaedah untuk mengangkat kepimpinan dan pemerintah negara.

Jika dilihat dari segi sistem demokrasi, ia mengambil pungutan suara ramai sebagai cara untuk menentukan kepimpinan negara melalui proses pilihan raya. Manakala, sistem sosialisme lebih tertumpu kepada suara pihak tertentu sahaja.

Demokrasi kelihatan lebih bersifat natural, tabii dan menepati law of nature kerana ia menerima suara ramai sebagai konsep asasnya. Ia berbeza dengan sistem sosialisme atau komunisme yang bertentang dengan tabii manusia dan berlawanan dengan kehendak serta kebebasan manusia. Contoh yang mudah, kerajaan yang berasaskan sistem komunisme di China dan Rusia akhirnya tumbang kerana mendapat tentangan yang hebat daripada golongan massa.

Perlaksanaan pemerintahan secara kuku besi, zalim, menindas dan menidakan suara rakyat tidak dapat berdiri kukuh dan bertahan lama. Ia tidak akan mendapat sambutan rakyat malah akan ditentang dengan kesepaduan suara masyarakat yang akan menuntut keadilan dan keamanan.

Dalam konteks ini, Islam sebenarnya lebih memihak kepada satu sistem yang dipanggil sistem syura seperti yang dilaksanakan oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat. Dan, demokrasi dilihat mirip kepada sistem syura ini, dan ia mendapat tempat di kalangan masyarakat. Namun, haruslah difahami bahawa demokrasi bukanlah Islam dan Islam bukanlah demokrasi.

Sistem yang tidak berasaskan kepada Islam dan tidak menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan akan menerima nasib yang sama, iaitu ia akan tumbang dan tidak mampu bertahan lama. Oleh yang demikian, kita perlu kepada satu ramuan baru yang akan memberikan keadilan, kesaksamaan dan keharmonian kepada masyarakat dunia.

Namun, harus dinyatakan juga bahawa kita sedar dan tahu bahawa sistem Islam itu baik dan benar tetapi jika pemerintahan dan perlaksanaan kepimpinan Islam tidak mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan oleh Islam, maka ia akan runtuh jua.

Justeru, ramuannya ialah kita harus kembali kepada Islam yang sebenarnya. Islam yang menjadi asas prinsip kehidupan dalam segala aspek kehidupan manusia bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan. Prinsip kehidupan yang dilaksanakan oleh baginda Rasulullah SAW di zaman awal Islam mula berkembang iaitu 14 abad yang lalu, harus dijadikan contoh dan teladan bagi umat manusia masa kini demi menjamin keharmonian hidup dunia dan akhirat.

Usaha-usaha penyebaran kesedaran Islam iaitu takwin way’un Islami harus diteruskan tanpa sebarang kelalaian dan kealpaan. Gerak kerja dakwah dan tarbiah perlu diperkasa sehingga ummah ini benar-benar menghayati Islam dan bersedia untuk menjalankan syariat Islam sepenuhnya di dalam kehidupan mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
Sungguh, telah datang kebenaran kepadamu daripada Tuhan-mu, maka janganlah sekali-kali engkau termasuk orang yang rugi.” (Surah Yunus (10) : 94)

————————————-

Dr Abdullah Sudin Abd Rahman
Presiden HALUAN Malaysia

9 Februari 2011 bersamaan 6 Rabiulawal 1432H