fbpx

Reunion Tunas Barakah Intimkan Famili

Reunion Tunas Barakah Intimkan Famili

Reunion Tunas Barakah Intimkan Famili

SHAH ALAM, 8 Jun 2014 – Pendidikan merupakan modal yang terpenting dalam pembangunan ketamadunan sesebuah bangsa, negara dan agama. Hubungan antara ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat amat penting bagi memastikan pendidikan generasi muda berlaku dalam erti kata yang sebenarnya.

Menyedari hakikat ini, Biro Haluanita Unit Klang dengan kerjasama Barakah Health Care & Services Sdn Bhd telah menganjurkan satu program pertemuan semua anak-anak yang pernah dilahirkan di Pusat Bersalin Barakah melalui program “Reunion Tunas Barakah”.

Program yang julung kali diadakan ini telah berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Ibnu Khaldun bertujuan mewujudkan jaringan mesra di antara ibu bapa dan institusi pendidikan badan bukan kerajaan NGO bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan berlandaskan modul yang bersepadu dan terancang.

Menurut Pengerusi Reunion Tunas Barakah, Prof Dr Mohd Zamrin Dimon, Barakah Health Care merupakan satu alternatif yang ditawarkan kepada masyarakat untuk perkhidmatan bersalin dan perawatan yang terbaik dan selesa untuk muslimah.

“Namun, ianya tidak terhenti setakat itu saja bahkan menjangkau lebih jauh iaitu penekanan kepada pengisian pendidikan anak-anak yang telah dilahirkan. Anak yang bagaimanakah yang ingin kita bina sebagai pewaris agama ini? Di manakah tempat yang selamat untuk mereka membesar dengan ilmu yang mapan mengenai Islam, sains dan teknologi secara seimbang? Ini lebih penting dan Barakah Health Care ingin turut bersama ibu bapa dalam menjayakan proses pendidikan ini, bukan setakat membantu proses kelahiran saja,” tegas beliau yang juga seorang pakar bedah kardiotorasik dan paru-paru.

Reunion Tunas Barakah tersebut telah dirasmikan oleh Puan Norizan Mohd Noh, Ketua Biro Haluanita Selangor. Memetik ucapannya, “Ibubapalah yang akan dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak. Alangkah ruginya anak yang kita lahirkan, yang kemudian kita jaga penuh kasih sayang sepanjang hayat kita tetapi akhirnya menjadi bahan api neraka. Mari kita berubah kepada sesuatu yang lebih baik daripada itu.”

Majlis tersebut diserikan lagi dengan slot perkongsian ceramah keibubapaan oleh Jurulatih Famili Mithali, Encik Mohd Razali Maarof bertajuk Pendidikan Anak-anak. Beliau menekankan bahawa tanggungjawab pendidikan anak-anak terletak sepenuhnya di bahu ibu bapa. Tugas dan peranan ini tidak wajar dilepaskan kepada orang lain bahkan rumahtangga yang dibina perlu selari dengan sunnah Rasulullah SAW.

Salah seorang ibu kepada anak Tunas Barakah, Puan Fatimah Syarha Mohd Noordin teruja terhadap keprihatinan dan program yang dianjurkan itu. Katanya, “program ini sangat bagus sebab saya tidak pernah dengar lagi sebuah pusat bersalin yang membuat follow-up sebegini untuk anak yang dilahirkan di sana hinggalah ke tadika, sekolah rendah, sekolah menengah seterusnya Institusi pengajian tinggi. Ini merupakan satu sumbangan yang besar kepada masyarakat daripada segi keperluan fizikal, intelektual dan rohani anak serta ibubapa itu sendiri. Semoga usaha – usaha sebegini dapat dicontohi oleh hospital bersalin yang lain.”

Selain itu, Puan Rafidah Abdul Malik, 44 tahun, berpandangan bahawa program seperti ini perlu ada kesinambungannya dan slot pengisian diperpanjangkan serta diadakan sesi soal jawab.

Berdasarkan kepada maklum balas yang positif terutama daripada kebanyakan ibu bapa, pihak penganjur akan meneruskan program ini secara berkala dengan hasrat agar anak-anak ini dapat membesar sebagai hamba Allah SWT yang bertaqwa dan beriman. Barakah Health Care merupakan pusat bersalin Muslim yang disokong oleh HALUAN Malaysia yang menawarkan perkhidmatan bersalin berisiko rendah, perawatan ante-natal dan juga sebuah klinik perubatan am untuk pesakit biasa. Ia terletak di Lorong Sanggul 1F, Bandar Puteri di Klang, dengan perancangan pembinaan Pusat Perubatan serba baru dan lengkap di Jalan Johan Setia, Klang tahun hadapan.

Laporan oleh Puan Ummu Hani Mohd Nasaruddin, Setiusaha Kerja Biro Haluanita.