fbpx

Remaja Hindu Turut Berkhitan

Remaja Hindu Turut Berkhitan

Remaja Hindu Turut Berkhitan

MERU, KLANG, 8 Jun 2014 – Kebaikan berkhitan yang menjadi kelaziman penganut Islam kini bukan asing lagi bagi mereka yang belum Islam. Di satu majlis berkhitan beramai-ramai di sini anjuran Persatuan Penduduk Taman Desa Indah Meru, dua orang remaja berketurunan India beragama Hindu turut sama menyertai belasan peserta lain untuk berkhitan.

Menurut YDP persatuan penduduk, Encik Mohimin Abdul Fatah, 47, taman perumahan yang 90% penduduknya adalah Muslim merasa bangga dengan penyertaan dua remaja tersebut yang merupakan anak-anak kariah yang saling dikenali ramai penduduk di situ. Ashvin a/l Anbalagan, 15, dan adiknya Vivenraj, 14, antara peserta remaja yang menyertai upacara tersebut pada 1 Jun lepas yang dikendalikan oleh pasukan perubatan Kelab Kesihatan HALUAN (KKH).

Ayah remaja-remaja berkenaan, Encik Anbalagan memberitahu mediaHALUAN bahawa khitan lebih menyihatkan tubuh badan di samping mudah bagi seseorang itu menjaga kebersihan diri. Beliau sendiri telah berkhitan sejak usia muda dan mengakui tentang kebaikannya.

Majlis berkhitan beramai-ramai yang melibatkan 15 peserta itu adalah anjuran persatuan penduduk serta Rukun Tetangga taman berkenaan, Muslim Care dan Pertubuhan Kebajikan & Penyayang USWAH. Menurut Naib Presiden USWAH Encik Halim Mohd Redzuan, usaha kerjasama sulung di taman itu adalah antara aktiviti kalendar USWAH untuk menyantuni penduduk setempat di negeri Selangor sambil memupuk semangat mahabah dan toleransi yang boleh mengintegrasikan masyarakat tidak mengira bangsa ataupun agama.

Menurut penyelaras KKH Dr Ahmad Zabidin Zakaria, seramai lima orang doktor KKH telah melaksanakan prosidur berkhitan berkenaan dengan kerjasama pasukan KKH seramai 12 orang termasuk doktor pembantu, jururawat terlatih dan pelajar perubatan. Bermula pada 9.00 pagi, majlis berkhitan berkenaan selesai menjelang jam 12.00 tengahari.

Sementara itu, ahli kariah Surau Muhajirin tempat berlangsungnya majlis khitan itu turut disajikan dengan ceramah kesihatan oleh Pertubuhan USWAH. Penceramah jemputan adalah Puan Noormah Mohd Darus, seorang pakar farmasi daripada Kementerian Kesihatan yang bercakap berkenaan pengubatan ibu dan anak.

Taman Desa Indah Meru yang terdiri daripada 350 buah rumah adalah Johan peringkat Negeri Selangor bagi Kategori Pengurusan Jiran Muda Cemerlang tahun 2013 anugerah Kualiti Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. Encik Mohimin, seorang guru, berkata pelbagai aktiviti yang menarik minat remaja dan golongan muda telah dilaksanakan untuk mempertingkatkan ukhuwah tanpa mengira agama atau bangsa. Aktiviti seperti sukan perpaduan, kem motivasi, kem solat, kelas memasak, kuliah mingguan dan pelbagai latihan yang sesuai telah diadakan terutama semasa cuti panjang sekolah. Di samping itu, golongan muda dilibatkan bukan saja dengan aktiviti surau tetapi apa jua aktiviti yang dirancang oleh rukun tetangga taman berkenaan.

Laporan mediaHALUAN